Cikgu Aminah bagaikan ibu kami, bila sakit giliran kami pula berbakti… demikian perkongsian Ustazah Mawaddah Mohd Nor, Guru Bahasa Arab di SK Bertam Perdana, Pulau Pinang tentang gurunya, Cikgu Aminah Awang.

Terdahulu, coretan hati Ustazah Mawaddah yang tersiar di GPS Bestari ini pernah tular di media sosial. Keluhuran dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Ustazah Mawaddah dan beberapa bekas pelajar Cikgu Aminah telah menyentuh hati ramai pihak. Masing-masing berlumba-lumba menghulurkan bantuan dan memberi bakti.

Namun kini, semuanya tinggal kenangan… tanggal 4 Mei lalu, Cikgu Aminah Awang yang menjadi kesayangan semua bekas pelajarnya telah  kembali ke Rahmatullah.

Ikuti perkongsian Ustazah Mawaddah berkenaan bakti terakhir buatmu guruku…

Kucoretkan kisah akhir yang indah ini di laman muka bukuku ini.

Kisah hubungan seorang guru mulia Almarhumah Cikgu Aminah Awang dengan para pelajarnya.

Semoga kekal menjadi ingatan dan kenangan terindah kepada generasi penuntut ilmu hari ini dan akan datang.

Gambar bersama cikgu dua tahun yang lalu.

Hayatilah kisah guru ini. Selami hati tulus ikhlasnya mendidik pelajar-pelajarnya.

Ramuan ilmu, ikhlas, kasih dan ketaatan kepada ALLAH itu semuanya sebati mengindahkan kisah luar biasa ini.

Biarpun setelah berpuluh dan berbelas tahun pelajar-pelajarnya melangkah pergi meninggalkan cikgu membina dunia kehidupan mereka di luar sana. Cikgu Aminah tetap menjadi insan yang sentiasa diingati dan dikasihi.

Biarpun jauh beribu batu, biarpun sekian lama berpisah tidak bertemu. Kasih kami kepada cikgu sebagai pelajarnya sesekali tidak akan pernah berkurang.

Kasih pengganti ibu yang dicurahkan kepada kami telah mengikat erat hati-hati kami untuk terus mengingati dan menghormati beliau sebagai seorang guru dan juga ibu. Guru di lapangan ilmu. Dan ibu, saat kami membesar di sekolah dan juga asrama.

Buktinya, saat usia arwah sudah berada di penghujung nyawa, anak-anak pelajarnya berduyun-duyun hadir menyantuni dan menziarahi. Seumpama seorang anak kembali bertemu ibu yang sedang menghitung saat untuk kembali kepada Penciptanya.

Subhanallah. Wa Tabarakallah.

Manakala, yang jauh pula tidak henti-henti mengirimkan doa. Semoga ALLAH Taala mengangkat segala kesakitan yang ditanggung oleh guru mulia ini.

Namun, tanggal 4hb Mei 2020 yang lalu, ALLAH Taala telah menjemput guru kami ini kembali mengadap Ilahi. Allahu Akbar.

Kami akur dan pasrah. Sesungguhnya hidup dan mati itu menjadi rahsia ALLAH yang tidak mungkin akan dapat dilengahkan walau sesaat pun.

Ya ALLAH, Engkau rahmatilah guru kami ini. Engkau kasihilah guru kami ini. Engkau alirkan pahala kebaikannya mendidik dan mencurahkan ilmu kepada kami sehingga hari Akhirat.

Dan hari ini, khidmat terakhir kami selaku bekas-bekas pelajar cikgu, telah berjaya disempurnakan.

 

Team Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu yang dipimpin oleh Presiden Alumni, Ustaz Ahmad Ridzuan Salim dan Penasihat Sepanjang Hayat Alumni, Cikgu Adnan Bin Sulong telah menyempurnakan amanah besar ini.

Menyerahkan cek berjumlah RM28,807 hasil dana terkumpul yang disumbangkan oleh pelajar-pelajar cikgu kepada wakil keluarga cikgu iaitu kakaknya sendiri untuk difaraidkan.

Semoga harta ini bakal mengalirkan pahala buat cikgu apabila dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh waris-waris yang cikgu tinggalkan.

Terima kasih cikgu atas segala jasa dan kasih cikgu kepada kami. Walaupun secara zahirnya khidmat kami untuk cikgu terhenti di sini. Namun, percayalah, doa akan selalu kami titipkan buat cikgu agar berbahagia di alam sana.

Salam teristimewa buatmu cikgu, kini dan selamanya.

Mawaddah Mohd Nor dan rakan-rakan alumni SHAMS.

Pergimu guruku….

Pemergiannya turut dirasai oleh semua bekas pelajarnya, termasuk penceramah terkenal, Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang.

“Ya ALLAH...Ampunilah dosa-dosanya....Tempatkanlah dirinya bersama hamba-hambaMu yang solehah. Lapangkanlah kuburnya....Kami bersaksi....kasih sayangnya kepada kami… Nasihatnya, leterannya....sentiasa menjadi pedoman buat kami....moga ia menjadi amal solehnya.… Dalam keberkatan Ramadhan ini.… Rahmati hambaMu ini ya ALLAH.…”

Semoga ALLAH mengampuni segala dosa Cikgu Aminah

Hulanglah sudah segala kesakitan, pedih dan sesak dada beliau di dunia

Perginya seorang murabbiah yang disanjungi dan kusayangi

Hebatnya guru ini

Artikel berkaitan:

Cikgu McNor ajar empat langkah mudah buat sendiri cecair basmi kuman dengan kos hanya RM22 untuk satu liter

Sekolah perlu rancang SOP sendiri, pastikan pelajar patuh jarak sosial

Teruskan PdP dari rumah, pastikan murid dapat ilmu - Timbalan Menteri Pendidikan II

Demi cikgu, murid sanggup jual tin untuk beli kek hari lahir

'Cikgu Aminah bagai ibu kami, bila dia sakit giliran kami pula berbakti'