SABAK BERNAM - Seorang guru menunjukkan kemahirannya menggunakan alat muzik angklung bagi mengiringi lagu Guru Malaysia sempena Hari Guru, 16 Mei lalu.

Idi Johan Mohd Zohdi, 38, berkata, persembahan alat muzik tradisional itu dipilih kerana ingin mencipta sesuatu yang baharu berbanding hanya menyanyikan lagu seperti sambutan Hari Guru pada tahun sebelumnya.

“Kepuasan untuk berkarya tidak terbatas. Saya masih juga mencipta lagu tetapi kali ini saya memilih angklung kerana mampu menghasilkan getaran lembut dan memberi kesan terapi kepada pendengar,” katanya.

Guru matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mustaffa itu berkata, selain lagu Guru Malaysia, beliau turut menggunakan alat muzik tradisional yang diperbuat daripada buluh itu mengiringi persembahan lagu popular lain.

Katanya, mereka yang berminat melihat persembahan angklung boleh melayari Facebook ‘sentuhan angklung moden’.

“Saya berharap dapat berkolaborasi bersama pencinta angklung di negara ini dalam satu persembahan pentas,” katanya yang membeli set angklungnya ketika melancong di Bandung.

Idi Johan memberitahu, beliau turut menerima undangan daripada pelbagai pihak bagi mengetengahkan persembahan bunyi mempesona itu.

 

 

Bagaimanapun beliau menolak kerana menganggap persembahan masih amatur dan memerlukan persediaan yang lebih baik.

Idi Johan berkata, beliau turut melatih pelajar menggunakan alat seni tradisional dan menubuhkan kumpulan caklempong, cempuling, kompang dan kugiran di luar waktu sekolah.

“Kumpulan angklung masih tidak dapat ditubuhkan kerana tiada set alat muzik itu yang baik setakat ini. Tetapi jika ada pihak yang sudi untuk menaja set angklung saya sendiri akan menubuhkan kumpulan itu di sekolah ini,” katanya.

Sebelum ini tular video Idi Johan membuat persembahan menggunakan angklung mengiringi lagu Guru Malaysia di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Artikel berkaitan:

Cikgu pakai baju 'pink purple' tarik perhatian ramai kerana gaya menarinya yang menghiburkan

'Rezeki dapat pindah' - Guru dari Sarawak kongsi berita gembira mengenai EGtukar

'Orang luar seronok naik bot, tapi kami di sini sengsara' - Ini luahan Orang Asli

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan... Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

'Semua ingat nak masuk matrikulasi, akhirnya IPG merosot' - Lepasan cemerlang SPM digalak mohon IPG