Setiap minggu, seawal jam empat pagi, dia dan bebarapa guru lain sudah memulakan perjalan untuk ke sekolah yang jaraknya 100 kilometer dari Sri Aman.

Kadang-kadang perjalanan hanya mengambil masa empat hingga lima jam, tetapi adakalanya berlarutan sehingga lapan jam.

Dia terpaksa menolak motosikal meredah selut lumpur merah malah ada kalanya kehabisan minyak di tengah laluan balak di kelilingi hutan tebal.

Beginilah cabaran yang terpaksa dihadap guru muda ini dan beberapa guru lain yang berkhidmat di Lubok Antu, Sarawak setiap kali ingin kembali ke kuarters guru yang terletak di dalam kawasan sekolah setelah cuti hujung minggu.

Namun, walau segunung dugaan melanda tidak sesekali mematahkan semangat Cikgu Ahmad Faqih Pauzi untuk terus mendidik anak-anak muridnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lemanak, Lubok Antu.

Cikgu Ahmad Faqih sudah biasa dengan keadaan berselut dan berlumpur merah

Berkongsi kisah dengan GPS Bestari, Cikgu Ahmad Faqih berkata, perjalanan sejauh 100 kilometer itu dengan 60 kilometer jalan berturap manakala 40 kilometer lagi terpaksa meredah selut merah di laluan balak merupakan pengalaman yang akan dikenang sepanjang hayat.

"Setia hujung minggu, tiap kali persekolahan bermula, saya dan beberapa guru lain dari sekolah yang berbeza akan memulakan berjalanan seawal jam empat pagi dari Sri Aman untuk pulang ke kuarters guru yang terletak di dalam kawasan sekolah.

Cikgu Ahmad Faqih terpaksa merentasi perjalanan berselut sejauh 40 kilometer untuk tiba di SK Ulu Lemanak.

Guru yang berasal dari Pulau Chondong, Kelantan ini terpaksa membeli motosikal jenis scrambler untuk membolehkan dia meredah jalan berselut.

Cikgu Ahmad Faqih ketika dihubungi memberitahu, pada hari biasa dia tinggal di kuarters guru cuma hanya pada hujung minggu sahaja dia balik ke rumah sewa yang terletak di Sri Aman.

Menurutnya, setiap kali ingin kembali ke sekolah, dia perlu bertolak awal pagi kerana mahu sampai ke destinasi sebelum malam menjelang.

"Tapi saya pernah juga sampai lewat malam ke sekolah dan cabarannya makin rumit kerana jalan gelap.

Rakan guru yang dikenal dengan nama Guru Geng Ulu (dari kanan) Cikgu Joe Wadle anak Rober (SK Ulu Engkari); Cikgu Ahmad Faqih Pauzi (SK Ulu Lemanak);  Cikgu Muhammad Saiful Aiman (SK Ulu Engkari); Cikgu Mohamad Daniel Zolkepli (SK Ulu Kabo); Cikgu Muhammad Firdaus Yusof (SK Nanga Menyebat); Cikgu Nik Mohd Azrol Nik Mohd Azmi (SK Ulu Engkari) dan Cikgu Hamizan Sahari (SK Ulu Lemanak)

"Apabila hari hujan jalan terlalu licin, berselut dan sukar dilalui... sedangkan kenderaan pacuan empat roda pun boleh terbalik, inikan pula kami yang menunggang motosikal," katanya.

Kata Cikgu Ahmad Faqih, dia dan rakan guru lain akan bergerak secara berkumpulan, apabila hari hujan biasanya mereka akan berpatah balik kerana tidak sanggup untuk menanggung risiko.

"Walau bagaimanapun, ia bukanlah penghalang terbesar buat kami. Sehebat manapun cabaran yang terpaksa dilalui, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat saya untuk terus berbakti kepada anak bangsa, khususnya anak-anak kaum Iban yang rata-ratanya beragama Kristian di sekolah ini,” jelas Cikgu Ahmad Faqih yang kini sudah boleh bertutur dalam bahasa Iban.

Pemandangan indah di SK Ulu Lemanak.

Bekalan lektrik dicatu

Ternyata guru pra sekolah ini bukan calang-calang pendidik, beliau wira yang tidak didendang membawa sinar kepada anak-anak pedalaman yang dahagakan ilmu.

Perjalanan sukar yang dilalui setiap hujung minggu bukanlah satu-satunya cabaran yang dihadapi Cikgu Ahmad Faqih yang baharu tujuh tahun bergelar pendidik.

"Saya anggap, pengalaman hujung minggu adalah ujian kecil yang terpaksa dilalui, banyak lagi cabaran lain yang perlu dihadapi.

Keadaan jalan yang terpaksa dilalui oleh penduduk dan warga pendidik

"SK Ulu Lemanak merupakan penempatan pertama saya sebagai pendidik, mula mengajar pada bulan Julai, 2013 sebagai guru bahasa Inggeris Tahun Satu. Namun kini, saya guru pra sekolah, walaupun opsyen sebenar saya ialah Pengajian Sosial," katanya.

Mengenang kembali hari pertama beliau menjejakkan kaki ke bumi kenyalang ini, perasaannya bercampur baur.

“Mula-mula ke sini, perasan saya bercampur baur, ada rasa teruja, janggal, terkejut dan gembira, sebab inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di Sarawak. Namun lama-kelamaan saya sudah mula boleh menyesuaikan diri dengan keadaan dan permasalahan sepanjang berkhidmat di sekolah ini," katanya.

Cikgu Ahmad Faqih meratakan jalan berselut yang mengganggu perjalanannya ke sekolah.

Katanya, beliau berhadapan dengan kemudahan asas yang terhad dan peruntukan tidak mencukupi hinggakan para guru terpaksa mengumpul dana sendiri hanya untuk menyediakan kipas dan pendawaian elektrik di sekolah.

"Bekalan elektrik perlu dicatu kerana kemudahan genset tak cukup manakala bekalan air diperoleh dari sungai berdekatan," katanya.

Cikgu Ahmad Faqih memikul gergaji rantai untuk menebang balak bagi mendapatkan kayu untuk membina dewan serbaguna SK Ulu Lemanak

Masuk hutan cari balak

Lebih membanggakan, guru sekolah itu sanggup bergotong-royong membina dewan serbaguna untuk memudahkan pihak sekolah mengadakan aktiviti dan menjadi tempat murid belajar dengan selesa.

Warga sekolah, PIBG dan penduduk sama-sama memberi sumbangan mengumpul dana bagi menampung kos pembinaan dewan tersebut.

Ahmad Faqih memeriksa alat untuk penarik sebelum membawa balak ke seberang sungai

Malah mereka turut berganding bahu menebang balak, membuat papan dan batu bata serta memunggahnya ke tapak pembinaan.

Guru Besar SK Ulu Lemanak, Chanking anak Jawa, turut sama-sama memerah keringat membantu menyiapkan pembinaan kemudahan akan memberi manfaat besar kepada murid sekolah itu.

Mengenang kembali pembinaan dewan serba guna yang berjaya disiapkan tahun ini, Cikgu Ahmad Faqih berkata, mereka membuat sendiri bahan binaan.

Cikgu Ahmad Faqih kepenatan setelah berhempas pulas mencari balak di hutan.

"Kami terpaksa menebang balak untuk dibuat papan dan membuat sendiri batu-bata serta memunggahnya ke tapak pembinaan.

“Jarak untuk mencari balak kira-kira 10 kilometer ke dalam hutan. Kami bergotong-royong menebang dan memunggah balak yang sudah siap dipotong ke lokasi kedua yang berhampiran dengan sekolah.

“Lebih mencabar, kami perlu menyeberang sungai dengan membawa papan yang telah siap dibentuk dan dipotong manakala batu-bata pula kami bentuk sendiri dengan simen, pasir dan batuan dari sungai,” jelasnya.

Katanya, setelah berhempas pulas harungi pelbagai cabaran kini hatinya puas dapat melihat dewan serbaguna yang dibina memberi manfaat kepada murid SK Ulu Lemanak.

Pembantu Pengurusan Murid, Lawrence anak Tugang memotong kayu untuk dijadikan papan.

"Dewan serba guna ini hasil ganding bahu yang tidak kenal lelah warga SK Ulu Lemanak dan penduduk kampung yang terdiri dari suku kaum Iban dari rumah panjang Utum, Nanga Uyau Ulu Lemanak.

"Kami hanya mahukan yang terbaik untuk anak murid kami. Biarpun terpaksa meredah onak dan duri, kami sanggup demi mereka. Harapan saya, anak didik saya ini akan dapat merasai kemudahan sama seperti murid di luar sana.

Guru Tahun Enam, Cikgu Mohd Azam Sulai memeriksa alat untuk menarik balak ke seberang sungai sebelum dibawa ke tapak pembinaan

"Saya yakin, mereka mampu untuk berjaya mengharumkan nama keluarga, sekolah dan bangsa jika diberikan kemudahan dan peluang yang sepatutnya," katanya.

Bekas penuntut Institut Perguruan Islam Bangi dan Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa di Bangsar (IPBA) ini berkata, beliau bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan daripada isteri, Farahdila Asaad yang merupakan guru bahasa Melayu di SK Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.

Malah ibu bapanya juga guru yang sentiasa memberi dorongan untuk terus sabar dalam mendidik anak bangsa.

“Semangat merekalah yang menjadikan saya kuat dan terus bersemangat di sini. Biarpun terpaksa berjauhan dengan keluarga, saya yakin doa merekalah yang menjadi kekuatan buat saya,” katanya.

Penduduk dan guru bertungkus-lumus membantu menyiapkan dewan serbaguna untuk kegunaan anak mereka.

Profil:

Nama: Ahmad Faqih Pauzi

Umur: 29

Asal: Pulau Chondong, Kelantan

Mengajar: SK Ulu Lemanak, Lubok Antu, Sarawak

Isteri: Farahdila Asaad

Cikgu Ahmad Faqih (kanan) bersama rakan guru bertungkus-lumus menebang balak untuk dijadikan papan.

Keadaan motor Cikgu Ahmad Faqih yang berlumpur

Cikgu Ahmad Faqih (empat dari kiri) bersama rakan guru, murid dan penduduk membaiki laluan utama ke sekolah

Cikgu Ahmad Faqih (kanan) bersama rakan guru dan penduduk meratakan tanah, sebelum membuat binaan dan simen konkrit dewan serbaguna.

Antara guru yang bertungkus lumus membanting tulang menyiapkan dewan serbaguna

Batu-bata yang dibuat sendiri dengan kerjasama penduduk.

Antara rakan guru yang bertungkus lumus menyiapkan dewan

Keadaan dewan yang hampir siap sepenuhnya

Dewan yang hampir siap dicat

Sedang menyiapkan meja dan kerusi untuk kegunaan murid di SK Ulu Lemanak

Sudah siap sepenuhnya, hanya menanti dana untuk pendawaian dan kipas angin untuk kegunaan murid.

Sekiranya cikgu mempunyai pengalaman menarik yang ingin dikongsikan kepada kami, boleh emel ke [email protected]

ARTIKEL MENARIK:

'Jaga hubungan dengan ALLAH dan manusia' - Muhammad Irham pelajar huffaz terbaik Selangor

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Ini cara paling seronok belajar Sejarah - Guru ini kongsi enam tip skor A subjek ini

Guru pakar Sains, Cikgu Zazolnizam kongsi tip mudah lulus Sains (MULUS) UPSR

Lonjak B dan C menjadi A - Guru Tahun Enam ini kongsi tip berkesan belajar saat akhir