Inovasi simulasi arkeologi dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang dihasilkan Guru Sejarah Sekolah Kebangsaan (SK) Kerupang, Labuan ini ternyata berjaya menyelesaikan masalah muridnya suka mengingati topik Zaman Prasejarah (Sejarah Tahun 4).

Cikgu Louis Pulong berkata, keluhan murid setiap kali mengikuti kelasnya membuatkan beliau mencari kaedah pembelajaran abad ke-21 yang memenuhi elemen komunikasi, kreativiti,  pemikiran kritis, kolaborasi serta nilai dan etika (4K1N).

Murid meraikan kejayaan setelah berjaya menyelesaikan tugasan di lapangan.

“Proses PdPc Zaman Prasejarah ini dimulakan dengan murid membuat pengimbasan pada isi topik yang diajar.

"Melalui kaedah ini, murid dibahagikan dalam beberapa kumpulan bagi melaksanakan simulasi kaedah arkeologi di kawasan lapang sekolah," katanya.

Menurut beliau, setiap ahli dalam kumpulan mempunyai tugas masing-masing seperti penggali, pencatat dan penganalisis.

Murid menghasilkan peta buih berganda untuk membuat perbandingan dapatan mereka.

Katanya, melalui cara itu lima elemen PAK21 iaitu 4K1N akan dapat diterapkan selain membantu murid mengingat fakta sejarah masyarakat prasejarah dengan mudah.

Amalan terbaik yang diperkenalkan itu telah membolehkan guru yang berasal dari Pandiwan, Sabah ini muncul sebagai penerima Anugerah Adiwira PAK 21 peringkat kebangsaan sempena Kempen Guru PAK21, baru-baru ini.

“PdPc ini dilaksanakan mengikut teori pembelajaran masteri, iaitu terdapat empat lapisan warna tanah yang mewakili setiap zaman prasejarah. Pembelajaran diakhiri dengan proses diskusi antara guru dan murid.

Cikgu Louis sentiasa disenangi anak muridnya.

“Perkongsian murid secara lisan dan perbincangan akan mewujudkan perubahan fikiran dan perwatakan, serta emosi mereka yang lebih matang dan mantap,” jelas guru muda yang baharu setahun lebih bergelar pendidik ini.

Katanya lagi, pembelajaran dan faktor perlaksanaan persekitaran PdPc yang menyeronokkan mendorong penglibatan murid sepenuhnya secara aktif dan dapat memberi impak pemahaman yang menyeluruh kepada murid.

“Pelaksanaan amalan terbaik pendidikan ini sebenarnya telah saya praktikkan dan mulakan sejak saya menjalani latihan praktikum sebagai guru pelatih ketika masih menuntut di Institut Perguruan (IPG) Bahasa Melayu, Kuala Lumpur lagi.

“Kekangan masa adalah cabaran dan masalah yang terpaksa dilalui, namun ia bukan halangan terbesar buat saya. Sebagai guru, kita bukan sahaja melaksanakan PdPc semata-mata, tetapi turut terlibat dengan pelbagai aktiviti dan komitmen lain sama ada di dalam mahupun luar sekolah,” katanya.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik ini lagi, walaupun kedudukan sekolah di kawasan bandar tetapi beliau berhadapan dengan bahan bantu belajar yang agak terhad.

Katanya, bagi melengkapkan bahan untuk melaksanakan PAK21, beliau terpaksa membeli barang luar dari Labuan dan menggunakan kreativiti sendiri untuk menginovasikan bahan yang tersebut agar sesuai dijadikan bahan bantu belajar,” ujarnya.

Murid menggali dan mendapatkan tinggalan zaman prasejarah.

Menyentuh tentang reaksi murid dan penerimaan warga sekolah katanya, murid sangat teruja dan sentiasa ternanti-nanti aktiviti pembelajaran yang bakal mereka laksanakan pada pembelajaran seterusnya.

“Penerimaan mereka juga baik, selain objektif dan kriteria pembelajaran lebih mudah tercapai. Murid menunjukkan tindak balas dan minat untuk belajar yang lebih positif berbanding sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Guru Besar, Aini Salleh dan rakan guru turut menyokong kelainan konsep yang dibawakan Louis.

"Saya mendapat sokongan penuh daripada guru besar dan rakan guru untuk melaksakan PdPc PAK21 dan mereka berharap agar PdPc seumpama ini dapat terus dilaksanakan, memandangkan  murid sudah mula menampakkan minat, khususnya subjek Sejarah,” katanya.

Kata beliau, kerjaya perguruan adalah satu kerjaya yang sangat penting dalam pembangunan dan kemajuan negara dan bangsa.

Bermula daripada kerjaya perguruan ini jugalah berlakunya kemenjadian manusia yang sebenar, pembentukan modal insan berterusan, dan juga pembelajaran kehidupan yang bermakna.

"Saya yakin murid akan dapat impak semaksimum mungkin melalui PdPc yang dilaksanakan, dalam memastikan kemenjadian mereka secara holistik.

“Apabila murid mulai menunjukkan perubahan gaya pemikiran, pembawaan watak, cara komunikasi yang lebih matang dan sebagainya. Itu maksudnya murid juga sudah berada dalam proses  perkembangan secara menyeluruh,” katanya.

Profil

Nama: Louis Pulong

Sekolah: SK Kerupang, Labuan

Subjek: Sejarah

Asal: Kampung Pandiwan, Sabah

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Sejarah Pendidikan Rendah)

Pencapaian:

1. Adiwira PAK 21 Peringkat Kebangsaan

2. Adiwira Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

3. Penceramah Jom Kick (Kongsi Inovasi dan Cerita Kreativiti) peringkat kebangsaan

4. Memenangi Pingat Perak Sempena Progam Maitah Be’Inovasi peringkat kebangsaan 2018