ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera kepada semua adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM tidak berapa lama sahaja lagi.

Adakah adik-adik semua telah melakukan persediaan sebaiknya untuk menghadapi peperiksaan besar yang bakal tiba?

Sedarkah kita semua bahawa setiap peperiksaan ini bakal membawa peerubahan besar dalam hidup kita pada pelbagai peringkat?

Jika kita tidak berusaha sebaiknya untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang, kita pasti akan melepaskan banyak peluang baik yang ada di depan mata.

Hari ini Cikgu Ridzuan ingin berkongsi beberapa tip kepada adik-adik yang cikgu kasihi semua untuk membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

Tip-tip ini telah saya kongsikan dengan banyak sekolah yang menjemput saya untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada calon-calon UPSR, PT3 dan SPM.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada adik-adik yang memerlukannya.

#TIP1 KEKAL FOKUS

Bagaimana untuk adik-adik kekal fokus di dalam kelas sewaktu guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran?

Melalui pemerhatian saya, kebiasaanya, pelajar akan mula hilang fokus apabila masuk 15 minit pertama proses pembelajaran.

Hal ini berlaku kerana apabila kita berada dalam keadaan duduk dan tidak melakukan apa-apa pergerakan, otak kita tidak menerima bekalan oksigen yang mencukupi dan kita akan mula hilang fokus atau mengantuk.

Ada pelbagai cara untuk kita mengekalkan fokus kepada guru sepanjang proses PdP berlangsung di dalam kelas.

Antaranya ialah melakukan beberapa pergerakan ringan di tempat duduk kita tanpa perlu bergerak ke tempat lain seperti menggosok kedua tapak tangan, menggosok dan menumbuk paha secara berselang-seli atau mengangkat tangan kita ke atas, ke kiri, ke kanan dan ke belakang secara berkala.

#TIP2 MEMANFAATKAN DERIA PEMBELAJARAN

Tip seterusnya ialah adik-adik perlu berusaha untuk memanfaat sebanyak mungkin deria yang dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. Seperti deria melihat, mendengar dan bercakap.

Daripada kita membuang masa melihat, mendengar dan bercakap perkara yang sia-sia, lebih baik kita memanfaatkannya untuk proses pembelajaran. Tahukah adik-adik?

Apabila kita membaca dengan hanya melihat sahaja perkataan-perkataan tersebut, kita hanya akan mengingati 10 peratus daripada apa yang kita baca.

Berbeza apabila kita melihat, membaca(menyebut dengan kuat) dan mendengar apa yang disebut ketika membaca, otak kita berupaya untuk mengingati apa yang dibaca sebanyak 70 peratus!

Nak ingat lebih lagi? Banyakkan membuat ulangkaji dan latihan apa yang telah diajar oleh guru.

#TIP3 ULANG KAJI PANTAS

Tahukah adik-adik, menurut kajian yang telah dilakukan, otak kita akan lupa sebanyak 80 peratus apa yang telah diajar oleh guru di sekolah apabila kita tidak membuat ulang kaji pantas. Apakah ulang kaji pantas?

Ulang kaji pantas bermaksud selepas cikgu mengajar tentang sesuatu topik pembelajaran, jangan tunggu sehingga pulang daripada sekolah untuk mengulang kaji.

Adik-adik perlu terus mengulang kaji pelajaran tersebut secara pantas apabila mempunyai masa terluang sewaktu berada di sekolah. Jangan suka amalkan sikap bertangguh ya adik-adik.

#TIP4 KEMAHIRAN MENGINGAT

Ada pelbagai cara untuk kita mengingat apa yang telah kita pelajari di sekolah.

Antaranya, adik-adik boleh menampal nota-nota yang ditulis semula dengan saiz huruf yang besar di tempat-tempat yang adik-adik kerap lalu di dalam rumah.

Dengan cara ini, adik-adik akan kerap melihat nota-nota ini dan secara tidak langsung akan membuatkan otak kita mudah untuk mengingatinya.

Selain itu, adik-adik juga boleh menjadikan nota-nota lebih menarik dan berwarna-warni seperti membuat rajah, peta minda dan ilustrasi dengan pen-pen yang berbeza warnanya.

Hal ini kerana otak kita akan lebih mudah mengingat apabila menggunakan kod-kod warna yang berbeza.

#TIP5 REHATKAN MEDIA SOSIAL SEMENTARA

Media sosial jika tidak dikawal penggunaannya boleh memberi mudarat kepada masa hadapan adik-adik sebagai seorang pelajar.

Buat sementara waktu, adik-adik perlu merehatkan sementara penggunaan telefon dan fokus kepada persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Menggunakan aplikasi media sosial seperti facebook, wechat, instagram, dan whatsapp tanpa had dan kawalan akan membuatkan adik-adik hilang fokus, tidak minat untuk belajar dan membazirkan banyak masa yang berharga.

#TIP6 JANGAN PAKSA DIRI

Jika adik-adik penat belajar dan otak berasa tepu, berehatlah sekejap. Jangan memaksa diri sendiri.

Otak kita tidak akan dapat menerima dan memproses banyak maklumat apabila penat. Adik-adik perlu menyesuaikan keadaan diri dengan kaedah belajar mengikut kemampuan diri.

Contohnya, ada sesetengah pelajar yang hanya boleh belajar dan mengulang kaji pada waktu malam sahaja dan ada juga yang hanya boleh belajar selepas mandi.

Oleh hal yang demikian, belajarlah mengikut waktu yang sesuai dengan diri supaya usaha yang dilakukan tidak menjadi sia-sia.

Selain tip-tip yang telah Cikgu Ridzuan kongsikan di atas, cikgu ingin memberi pesanan dan nasihat kepada semua pelajar.

Berusahalah sebaik mungkin untuk berjaya dalam peperiksaan tetapi jangan dilupakan tip dan rahsia untuk berjaya dalam kehidupan, iaitu solat lima waktu, menyayangi ibu bapa, menghormati guru dan berbuat baik kepada semua.

Ini adalah kunci utama untuk kita berjaya di dunia dan akhirat.

Cikgu Ridzuan juga mendoakan semoga semua calon-calon UPSR, PT3 dan SPM berjaya dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.

Terima kasih.

 

oleh,

Cikgu Mohd Ridzuan Md Nasir

Artikel Menarik:

Cemerlang setiap kali peperiksaan, guru ini gariskan tujuh panduan untuk diikuti

Silibus Tabika Kemas terbaik... dapat pengiktirafan Reader’s Digest Trusted Brands

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi

Dua tajuk penting subjek Sains untuk calon UPSR hafal, ingat - Contoh soalan disediakan (Siri 1)