Pengalaman lapan tahun bertugas di sekolah kategori luar bandar, membuatkan guru asal Kuantan Pahang ini terus meniti kecemerlangan dalam kerjayanya sebagai pendidik.

Terkini, Cikgu Samuel Isaiah, Guru Bahasa Inggeris, di Sekolah Kebangsaan Runchang (Sekolah Orang Asli), Pekan Pahang,  tersenarai dalam kelompok 50 finalis Hadiah Guru Global 2020 yang bakal berlangsung Oktober tahun ini di London.

Menerusi program anjuran Yayasan Varkey, berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Samuel Isaiah atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Sam tidak keseorangan, beliau bersama Guru Cemerlang Sains, SMK Jerlun, Kedah, Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib bakal bersaing untuk berebut hadiah wang tunai AS$1 juta ( RM 4.3 juta).

Beliau yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Kepimpinan  dan Polisi Pendidikan (Pendidikan Global dan Perbandingan) di State University of New York di  Albany, New York, Amerika Syarikat memanjatkan rasa syukur dan gembira kerana dapat membawa kecemerlangan dan kemenjadian murid orang  Asli ke peringkat antarabangasa.

Beliau yang pernah terpilih sebagai penerima saguhati AdiwiraPAK21 dalam Kempen Guru PAK21 ini menjelaskan, semangat yang sentiasa ditanam dalam hati adalah usaha keras, jangan menyerah kalah, dan sentiasa mempercayai kebolehan anak murid.

“Niat saya menghantar penyertaan adalah untuk berkongsi pengalaman dan kisah kemenjadian murid orang asli yang begitu dekat di hati saya.

Samuel Isaiah

“Sekiranya ada rezeki dan menang dalam anugerah itu, saya ingin kembangkan segala apa yang pernah saya lakukan bersama murid-murid dan komuniti orang asli.

“Saya tak sangka juga, percubaan sulung saya ini diterima dan terpilih sebagai salah seorang finalis dalam Top 50 Global Teacher Prize,”katanya kepada GPSBestari.

Katanya, dia mengetahui namanya tersenarai selepas dihubungi menerusi emel sekitar Februari lalu. Sebelum  diumumkan secara rasmi sebagai salah seorang finalis Top 50 Global Teacher 2020 pada 19 Mac baru-baru ini.

Sekolah Pokok, menarik minat murid untuk belajar

Menyorot kembali pengorbanan dan usaha gigih guru muda itu,  beliau pernah memperkenalkan ‘Sekolah Pokok’ dalam kalangan muridnya yang berketurunan suku Jakun di SK Runchang.

Amalan terbaik yang diperkenalkannya itu sedikit sebanyak dapat menarik minat dan perhatian anak pribumi untuk belajar.

“Murid saya banyak mengubah hidup dan membuka mata saya untuk membantu mereka dalam pendidikan. Mereka sudah saya anggap sebagai anak sendiri yang dahagakan perhatian,”katanya.

Katanya, amalan tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mengatasi masalah ketidakhadiran murid ke sekolah, malah menarik minat murid yang tidak pernah bersekolah dan mereka yang sudah berhenti untuk hadir ke ‘Sekolah Pokok’.

“Antara usaha yang saya lakukan adalah dengan melibatkan mereka aktiviti sukan permainan. Saya percaya, anak-anak yang tidak sukakan pelajaran ini masih boleh dibentuk, dan akan nampak hasilnya dalam jangkamasa panjang.

Kempen ‘Rumah Pokok’

“Sebab itulah, saya gabungkan pembelajaran PAK-21 berteraskan permainan berkumpulan dengan alatan teknologi, selain mengajar murid bermain alat muzik ‘Ukulele’ dan menyanyi lagu Bahasa Inggeris,”katanya.

Sekolah Pokok

Menurut beliau, sepanjang proses memperkenalkan sekolah pondok tersebut,  pembelajaran tersebut dilakukan dua kali seminggu selepas waktu sekolah di persekitaran perkampungan Orang Asli.

Mengapa ia dibuat di bawah pokok? Jelas pemegang Ijazah Sarjana Muda, Pengajaran Bahasa Inggeris, Universiti Sains Malaysia berkembar dengan Institut Perguruan Pulau Pinang itu, alam sekitar merupakan satu tempat anak-anak muridnya suka bermain tanpa kasut, memancing, dan melastik burung.

Tempat yang amat sinonim dengan kehidupan harian mereka itulah, beliau ubah menjadi sebuah kelas yang menghiburkan.

Menurut beliau, promosi ‘Sekolah Pokok’ dilakukan di sekitar kampung, selain membuat lawatan, beliau turut berbincang dengan ibu bapa, sebelum memilih lokasi sesuai.

“Pada mulanya, kurang daripada 15 murid yang hadir ke sesi ‘Sekolah Pokok’, namun selepas dua bulan, kehadirannya mula meningkat sehingga 40 murid untuk setiap lokasi ‘Sekolah Pokok,’”jelasnya.

Cikgu Samuel bersama murid SK Runchang (Sekolah Orang Asli), Pekan Pahang

Samuel berpendapat perubahan minda murid-murid itu sebenarnya boleh dibentuk, ditambah dengan keinginan mereka untuk belajar, sedikit sebanyak menunjukkan pembelajaran menjadi lebih bermakna, penuh keriangan dan seronok melalui PAK-21.

Keberkesanan idea yang diperkenalkan itu bukan sahaja diakui warga pendidik lain, malah kreativitinya membentuk ruang pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan mesra alam sekitar.

“Kini, sudah hampir 9 tahun saya bersama mereka. Saya tidak akan berhenti mencuba, memperbaiki, menambah projek dan program, serta memperkasakan proses PdPC di dalam dan luar kelas demi kemenjadian mereka,”katanya.

Atas dasar itulah, guru Guru Adiwira Kebangsaan 2019 itu berhasrat mahu berkongsi setiap pengalaman dan kemenjadian muridnya  ke peringkat antarabangsa.

Hatiku di sini

SK Runchang (Sekolah Orang Asli) adalah sekolah pertama yang membibitkan rasa cinta guru tinggi lampai ini kepada bidang pendidikan. Seterusnya menjadi permulaan kerjaya beliau sebagai Guru Komuniti Orang Asli.

“Sebenarnya dulu saya teringin nak berkhidmat di sekolah ‘urban,’ namun bila dapat tahu saya akan mengajar di sekolah luar bandar, hati saya sebak.

“Namun, setelah beberapa bulan mengajar di sekolah ini, hati saya mula tertarik dan jatuh hati dengan anak-anak murid orang asli,”katanya.

Sejak itu beliau terus berusaha keras demi kemenjadian mereka. ‘I believe we need good pedagogy to teach, I believe in the pedagogy of the heart,’ moto inilah yang menjadi pegangan beliau.

“Saya percaya tiada yang mustahil jika ia datang dari hati. Berbekalkan perasaan cinta dan sayang itulah saya tekad mengubah dan membantu anak-anak ini menguasai Bahasa Inggeris,”katanya.

Hasilnya, anak-anak Orang Asli ini mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Ia dapat dibuktikan menerusi prestasi mereka di dalam peperiksaan.

“Saya bersyukur peratusnya meningkat dan ada dalam kalangan mereka ini  memperoleh A dalam subjek itu,”ujarnya.

 

Anugerah Utama

1. Guru Adiwira Kebangsaan 2019

2. Guru Adiwira PAK21 2019, (Finalis top 10) - Peringkat Kebangsaan.

3. Anugerah Pencetus Inspirasi 2018, Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2017

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) - Peringkat Kebangsaan.

4. Anugerah Guru Inovatif Pekan, 2018 - Peringkat Daerah.

5. Anugerah “Best Teacher Award”, ASEAN-ELT Conference, 2018. - Peringkat Antarabangsa.

6. Anugerah ‘Gold Award Winner’, Malachi Edwin, Creative Teacher Showcase, 2017 - MELTA (Malaysian English Language Teaching Association) - Peringkat Antarabangsa.

7. Pemenang TN 50 – Pertandingan Menulis Essei, 2017, Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia. - Peringkat Kebangsaan.

8. Cikgu (Teachers) In M'sia Who Used Crowdfunding To Make A Difference In Their Students' Lives, 2016 Top 8 teachers in Malaysia, Vulcan Post - Peringkat Kebangsaan.

9. Finalis Top 50 Global Teacher Prize - 2020.

10. Golden Hearts Award, The Star (2019)

 

Artikel lain:

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain