JIKA dah cinta, meredah perjalanan sejauh 106 kilometer pergi dan balik dari Sungai Petani ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Kedah sudah tidak menjadi halangan.

Begitulah yang cuba diterapkan guru bahasa Inggeris ini kepada pelajarnya supaya jatuh cinta kepada mata pelajaran itu.

"Jika tidak jatuh cinta maka tak lekatlah bahasa Inggeris dalam jiwa dan minda pelajar sebab mereka tak berminat langsung subjek ini. Otak dah 'set' subjek ini susah".

Demikian mula bicara Cikgu Saharah Abdullah yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Kedah sejak tahun 2009 lagi.

Cikgu Saharah

Kata guru bahasa Inggeris ini, mengajar mata pelajaran itu di sekolah luar bandar sangat mencabar kerana perlu banyak usaha untuk menarik perhatian mereka dan membuatkan pelajar minat.

"Saya tidak suka mengajar menghabiskan silibus semata-mata supaya pelajar lulus periksa, sebenarnya pelajar perlu mahir sebab kemahiran itu akan membantu dalam kehidupan sebenar.

"Oleh itu, saya suka guna teknik pengajaran yang berpusatkan pelajar dan mengambil hati pelajar," katanya.

Menurut beliau, untuk ambil hati pelajar saya suka ajar dengan cara berlawak dan gunakan teknik mengikut keperluan pelajar," katanya.

Kaedah berpusatkan pelajar membuatkan pelajar mudah faham bahasa Inggeris.

Cikgu Saharah atau gelaran mesra yang diberi pelajarnya 'Mummy Saharah' berkata, masih terngiang-ngiang kata-kata pelajarnya ketika mula-mula berkhidmat di sekolah itu.

"Minggu pertama di sekolah ini saya tergamam dengan kata-kata seorang pelajar, 'cikgu, saya belajar macam manapun saya akan gagal, jadi cikgu tak perlulah nak pulun sangat, lagipun saya nak buka kedai burger' je.

"Saya balas, 'saya pun tahu, tapi kalau tiba-tiba kedai burger kamu ada pelancong asing datang dan buat pesanan 50 burger kalau awak tak tahu bahasa Inggeris habisla rezeki hang hari itu. Mendengar jawatan saya, dia terus mula fikir," katanya.

Katanya, walaupun pelajar itu kelas belakang, mereka perlu menjalani kehidupan dalam dunia sebenar.

"Ya, sebab itu saya sebolehnya mengasah skil mereka sehabis baik kerana ia sangat penting untuk mereka selain mengajar dengan main 'game' dan kerja kumpulan," katanya.

Wakili Malaysia

Cikgu kelahiran Sungai Petani, Kedah itu sebenarnya pernah mewakili negara bersama dua lagi guru dari negeri lain ke kursus Specialist Training in Teaching Reading and Writing di Singapura pada tahun 2018.

"Pada mulanya saya mendapat maklumat daripada rakan-rakan luar negara yang pernah menghadiri kursus Specialist Training in Teaching Reading and Writing di Singapore pada tahun 2018.

"Dari situ, saya cuba memohon, menghadiri temuduga yang dianjurkan oleh Malaysian-American Commission On Educational Exchange (MACEE)," katanya.

Setelah menduduki peperiksaan Test of English as a Foreign Language (TOEFL) beliau dipanggil temuduga dan kertas peperiksaan dihantar ke ahli panel di Washington DC untuk melalui saringan akhir dan akhirnya terpilih.

Kata Cikgu Saharah lagi, selepas pulang dari Amerika Syarikat, beliau amat berazam untuk melibatkan pelajar menggunakan aplikasi Google Classroom.

"Penggunaan aplikasi Google Classroom dalam pembelajaran dan pengajaran (PnP) adalah salah satu topik dalam program di Amerika Syarikat.

"Selain itu, pembelajaran berasaskan projek dan Flipped Classroom juga antara teknik yang saya guna supaya pelajar mudah faham sesuatu konsep," katanya.

Cikgu Saharah ketika melakukan pembelajaran berasaskan projek bersama pelajar.

Cikgu Saharah ketika melakukan pembelajaran berasaskan projek bersama pelajar.

Menurutnya, seiring dengan perkembangan pendidikan beliau mula menggunakan kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK21) yang berpusatkan pelajar pada tahun 2015 untuk pelajar Tingkatan Satu.

"Pada mulanya agak susah sebab pelajar tak biasa. Masa itu baru berjinak-jinak. Saya nampak pelajar lebih mudah faham dan sentiasa tertunggu-tunggu kehadiran saya dalam kelas.

"Tahun 2017 saya mula 'all out' dengan pelajar Tingkatan Empat dan Lima. Mereka berikan reaksi positif terhadap PdP.

"Saya buat kajian tindakan tentang pengajaran pembelajaran berasaskan projek dan kesannya terhadap pelajar. Semuanya berikan kesan positif. Pelajar kelas belakang pun suka kaedah berpusatkan pelajar dan mereka mudah faham," katanya.

Bagaimanapun, Cikgu Saharah turut berdepan beberapa cabaran sepanjang menjalankan PAK21.

"Cabaran saya ialah diri saya sendiri kerana saya terlalu ‘ambitious’ so bila cuba lebih banyak cara dan tak dapat keputusan positif saya rasa 'down'.

"Jadi saya kena tepuk bahu saya sendiri dan sedar tentang keadaan atau realiti sebenar tapi alhamdulillah saya bukan seorang yang mudah putus asa... Jadi, cubala lagi dengan teknik lain," katanya.

Kaedah berpusatkan pelajar membuatkan pelajar mudah faham bahasa Inggeris.

Kaedah berpusatkan pelajar membuatkan pelajar mudah faham bahasa Inggeris.

REAKSI

"Kami belajar sambil bermain dengan Mummy Saharah membuatkan kami lebih faham apa yang diajar. Kami amat suka akan sikap dan pengajaran beliau. Kami harapkan kaedah pengajaran Mummy Saharah tidak akan berubah atau mungkin akan menjadi lebih baik serta 'sporting' dan gembira selalu."

- Nurul Nur Alia Shafie, Tingkatan Lima Seroja

"Beribu yang datang, tak akan sama dengan Mummy Saharah kami yang seorang. Cara Mummy Saharah mengajar majoriti semua suka dan cepat faham. Sangat mendalam. Beliau ajar cara yang mudah tapi efektif. Jika kami kena 'brainwash', satu kelas mula sedar diri."

- Nur Sajida Mohamad Nizam,  Tingkatan Lima Seroja

"Kaedah Mummy Saharah mengajar kami amat menarik. Yang paling seronok adalah belajar secara bermain permainan yang dicipta oleh cikgu sendiri. Cikgu juga sentiasa pastikan kami betul-betul faham apa yang cikgu ajar."

- Nur Amina Syauqina Mohd Sohimi, Tingkatan Lima Seroja

Artikel lain:

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Guru ini perkenal teknik ‘ulat beluncas hijau’ bantu murid menulis karangan dengan baik

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain