"Bila tangan anak murid berseni sangat, cikgu tengok pun ternganga"

Demikianlah posting Cikgu Norafiza Razilah di laman facebooknya, baru-baru ini.

Menurut guru Biologi dan Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sabak Bernam, Selangor itu, lukisan cantik berkenaan adalah hasil lakaran pelajar Tingkatan Empat Ibnu Sina iaitu Kunorania Ain Isnizam.

"Ketika saya sedang mengajar Biologi Tingkatan Empat bagi topik Sistem Peredaran Manusia, saya telah meminta semua pelajar melukis dan melabel struktur jantung.

"Dalam masa sama, saya telah meminta pelajar mewarnakan struktur jantung supaya mereka dapat membezakan ruang yang membawa darah beroksigen dan terdeoksigen di dalam jantung.

"Tidak lama kemudian, ketika menyemak hasil kerja pelajar, saya terkejut dan cukup kagum melihat lukisan Kunorania atau Kunor yang sangat berseni. Dia melukis gambar jantung begitu cantik sekali. Tidak pernah saya lihat lukisan yang sebegini indah bak pelukis profesional," katanya dengan menambah, dia seterusnya bergurau dengan pelajar-pelajarnya dan melakukan aksi seakan-akan pengsan ketika melihat lukisan Kunor.

Hasil lukisan oleh Kunorania. Cantik dan kemas sekali. 

Cikgu Norafiza berkata, Kunor bukan sahaja menghasilkan lukisan dan nota-nota yang menarik untuk subjek Biologi, tetapi dia juga turut menggunakan bakat seninya itu dengan melukis dan menulis nota bagi mata pelajaran lain juga.

"Saya harap Kunor tidak akan mensia-siakan bakat anugerah Allah ini," ujarnya.

Kunorania merupakan anak pasangan Isnizam Sajuti dan Norazlin Ahmad. Anak sulung daripada empat beradik ini bercita-cita menjadi Pakar Pemakanan kelak.

Menurut Cikgu Norafiza, Kunor sememangnya seorang yang berbakat dalam bidang lukisan dan mempunyai koleksi peribadi sendiri.

"Jika ada masa luang, dia akan melukis potret dan pelbagai karakter komik.

"Kawan-kawannya juga sentiasa menyokong apa yang dia buat. Ada yang sering memberikan dorongan dan kata-kata motivasi supaya Kunor terus menghasilkan lukisan yang cantik, menarik dan mengagumkan," katanya dengan menambah sebagai guru...dia cuba untuk mengintergrasikan elemen STEAM iaitu Science, Technology, Engineering, Art, Mathematics di dalam PdP dan dia bangga apabila melihat Kunor berjaya menggabung jalinkan Sains dan Seni di dalam lukisannya.

Turut melukis karakter komik ketika ada masa luang.

Sementara itu, dua rakan Kunorania tampil berkongsi berkaitan keperibadian pelajar Tingkatan Empat itu.

Kata M.Aidil Nur Iman,

"Kunorania telah menjadi mentor mewarna saya kerana dia mempunyai bakat yang tinggi dalam seni"

M.Nazirul Fahmi pula berkata,

"Saya mula berminat dengan seni apabila melihat lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh Kunorania. Saya sangat teruja apabila Cikgu Fiza meminta untuk melukis struktur seperti jantung, neuron dan tindakan antibodi dalam pelajaran Biologi dan saya cuba melukis dengan sebaik mungkin"

Kunorania disamping lukisan planet yang dihasilkan, baru-baru ini.

Cikgu Norafiza (kanan) cukup kagum dengan bakat yang dimiliki pelajarnya dan berharap dia sentiasa berjaya dalam apa jua bidang yang akan diceburi kelak.

Artikel menarik

Tiada ilmu pertukangan, guru wanita dan suami ubah suai rumah, terus nampak mewah dan elegan!

Cikgu boleh guna tiga bahan ini untuk halau cicak dalam kelas. Dijamin berkesan!