“DISEMBER sudah mendatang dan cuacanya sangat sejuk. Hari ini suhu mencecah 0 darjah celcius dan saya ke sekolah dengan memakai empat lapis baju beserta satu jaket tebal, tapi, murid-murid hanya pakai baju T. Pelik tapi benar.” Antara pengalaman menarik guru matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris, Wan Suhaimi Wan Abdul Ghani, 35, yang mengikuti Korea Malaysia Teacher Exchange Programme 2018.

Anak kelahiran Perlis ini berpeluang menjejak kaki ke bumi Korea Selatan sejak 2 September lalu dan menjadi pendidik di Ucheon Elementary School, Gangwondo.

Di sekolah, anak didiknya memanggil beliau dengan panggilan Wan Songsaenim (Cikgu Wan).

“Sebelum menjejak kaki ke sini, saya agak risau mengenai penerimaan guru-guru dan murid-murid di sini terhadap kedatangan saya. Pelbagai perkara bermain di benak ini. Pada saya tanggapan itu normal kerana keadaan sini tidak sama dengan tempat sendiri.

“Rupa-rupanya tanggapan itu tidak benar!, guru besar dan guru-guru menyambut dan meraikan kedatangan saya. Murid-murid sangat gembira sebab di sekolah rendah ini cuma ada dua guru lelaki. Murid-murid di sini sangat beradab dan sangat-sangat hormatkan guru,” katanya kepada GPSBestari.com.

Menurut Wan Suhaimi, sikap murid-murid di sini sangat terpuji, bayangkan setiap kali berjumpa guru mereka akan mengucapkan selamat.

Terbelit-belit lidah berbahasa Inggeris

Di Ucheon Elementary School, Cikgu Wan Suhaimi mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani. Beliau berkongsi bahawa, murid-murid dalam kelasnya adalah dalam kalangan yang tidak mudah berputus asa.

“Yang mencuit hati bila tengok murid-murid berusaha nak cakap Bahasa Inggeris bila jumpa saya. Walaupun terbelit-belit lidah untuk menyebut, tapi mereka berusaha sedaya mungkin.

“Ada yang sanggup guna telefon pintar untuk menterjemah apa yang mereka nak bagi tahu. Tapi bila dapat sampaikan apa yang mahu dikatakan, terpancar cahaya kegembiraan di wajah mereka. Bila dikenang kembali situasi itu berasa lucu pun ada kagum pun ada,” ceritanya.

Menurutnya, walaupun lidah terbelit-belit untuk menyebut, tetapi mereka berusaha sehingga berjaya menyebut dan ia adalah sesuatu yang sangat membanggakan guru sepertinya.

Tambahnya, Bahasa Inggeris mula diajar untuk grade 3 (darjah 3) dan Bahasa Inggeris diajar sebagai bahasa asing dan bukan sebagai bahasa kedua.

Bagi beliau, keletah anak muridnya sangat comel dan murid-muridnya sangat gemar bermain permainan tradisional Malaysia dan turut menggemari masakan Malaysia.

Hampir sama

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dengan kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan mempunyaiDiploma Pendidikan Jasmani dari Institusi Perguruan (IPG) Kampus Ilmu Khas Cheras berkata, tidak ada banyak perbezaan jika dibandingkan sistem pendidikan di Korea Selatan dan Malaysia. Semuanya hampir sama, yang berbeza cuma beberapa perkara seperti:

1: Guru kelas mengajar semua subjek.

2: Guru subjek cuma Sains dan Pendidikan Jasmani.

3: Guru dari luar hanya untuk mengajar tarian, bermain alat muzik tradisional dan tenis.

4: Tiada punchcard atau thumbprint, sebaliknya log masuk di komputer untuk kehadiran.

5: Tiada peperiksaan.

6: Penilaian sepanjang tahun oleh guru kelas.

7: Tiada denda.

8: Tiada perhimpunan setiap minggu.

9: Cuma ada dua jawatan pentadbir di sekolah iaitu guru besar dan timbalan guru besar.

10: Tiada kantin.

11: Tidak perlu membuat rancangan mengajar kerana telah disediakan.

Dan hanya sembilan subjek diajar untuk sekolah rendah iaitu:-

1: Pendidikan Moral

2: Bahasa Korea

3: Pengajian Sosial

4: Matematik

5: Sains

6: Pendidikan Jasmani

7: Muzik

8: Seni Halus

9: Seni Praktikal

“Sesi persekolahan di sini dibahagikan kepada dua semester. Semestar pertama bermula pada bulan Mac hingga Julai. Manakala semestar kedua pula mulai September hingga Februari. Dan sekarang sedang berlangsungnya semester kedua.

“Dan sekarang semua akan kesejukan kerana Disember sudah menjelang dan Januari biasanya penuh bersalji,” katanya.

Cikgu Wan Suhaimi juga menjelaskan bahawa, di Korea Selatan, semua kanak-kanak wajib ke sekolah dan jika mereka bersekolah daripada rumah (homeschooling) atau bersekolah swasta, ia perlu dimaklumkan ke pejabat pendidikan. Dan tidak ada apa-apa yuran dikenakan kepada yang bersekolah rendah kerana ia percuma.

Menurutnya lagi, guru kelas sangat menghargai hasil kerja murid-muridnya dan akan menyimpan semua hasil-hasil kerja murid di dalam fail dan diletakkan dalam kelas.

 

33 perkara tentang sekolah saya, Ucheon Elementary School, Gangwondo, Korea Selatan:

1:  Sekolah bermula jam 9:10 pagi dan berakhir jam 5:00 petang.

2:  Sesi pengajaran dan pembelajaran (Pnp) mula jam 9:10 pagi dan berakhir jam 3:00 Ptg.

3:  Ada waktu rehat selama 10 minit selepas satu waktu.

4:  Satu waktu 40 minit.

5:  Guru kelas sentiasa berada dalam kelas dan mengajar hampir semua subjek kecuali subjek yang ada guru khas seperti Pendidikan Jasmani, Sains dan Bahasa Inggeris.

6:  Subjek Sains hampir setiap kelas ada eksperimen walaupun eksperimen yang simple.

7:  Alatan untuk pnp memang lengkap dan sangat banyak.

8:  Setiap kelas dilengkapi dengan tv dan komputer. Aircond dan heater. Alat tulis berkotak kotak.

9:  Bilik muzik penuh dengan alat muzik.

10:  Hasil seni murid ditampal di luar kelas dan di dinding sekolah. Ada yang diletakkan dalam almari kaca walaupun tidak cantik tetap dihargai.

11:  Guru dan murid berkongsi tandas yang sama.

12:  Tandas ada mesin pengering tangan, sabun dan sinki macam tandas hotel.

13:  Gelanggang tenis ada dua. Bola tenis empat troli. Siap ada mesin untuk pasang tali raket tenis.

14: Jurulatih tenis luar diguna untuk melatih murid setiap petang.

15: Jurulatih tarian luar untuk melatih murid menari. Jurulatih muzik luar untuk ajar muzik.

16: Ada seorang guru Bahasa Inggeris dari United Kingdom di bawah program EPIC (English Programme in Korea) mengajar setiap hari Khamis. Hari lain guru kelas akan ajar.

17: Bahasa Inggeris hanya diajar bermula grade 3 pada umur 9 tahun.

18: Setiap hari murid akan minum susu pukul 10:40 pagi dikenali sebagai Milk time.

19: Makan tengah hari pukul 12:30 sampai 1:00 tengah hari. Makanan disediakan di kafe dan tak perlu bayar.

20: Guru makan di kafe dan bayar bulanan. Makanan disediakan dan tidak ada khidmat pesanan.

21: Seluruh sekolah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang dihubungkan terus ke balai polis.

22: Pernah sekali saya dan mentor balik lewat malam dan polis menelefon mentor bertanyakan jika ada masalah sebab pintu tak kunci.

23: Cuaca sejuk sekarang. Kalau pagi 4 - 10 darjah celcius. Tengah hari antara 10 - 14 darjah celcius. Kalau malam 0 - 4 darjah celcius.

24: Murid sekolah tidak mempunyai uniform dan memakai pakaian biasa dan ikut suka. Berseluar Jeans pun boleh.

25: Cikgu pun boleh pakai apa sahaja. Tak perlu pakai tali leher dan kot. Biasanya kena pakai dua hingga tiga lapis baju sebab sejuk.

26: Tak boleh pakai kasut dalam bangunan sekolah. Kena pakai selipar yang disediakan.

27: Walaupun majlis rasmi pakai tali leher dan kot, boleh pakai juga kasut sukan. Tidak diwajibkan pakai kasut kilat.

28: Guru subjek tidak perlu pergi ke kelas. Murid akan datang ke bilik khas seperti makmal Sains dan bilik Bahasa Inggeris. Jadi cikgu tak perlu usung barang-barang ke kelas. Tunggu sahaja dan murid datang. Jadi banyak masa untuk persediaan mengajar.

29: Sekolah saya cuma ada 68 murid. Satu kelas ada tujuh murid dan paling ramai 15 murid.

30: Tiada punch card atau thumbprint. Guru melog masuk di komputer masing-masing bila sampai ke sekolah. Jadi guru besar tahu bahawa guru berkenaan ada di sekolah.

31: Oleh sebab ada 10 minit waktu rehat setiap kelas, jadi jarang sangat murid-murid akan ke tandas semasa cikgu mengajar. Sesiapa yang mahu ke tandas perlu pergi semasa waktu rehat, waktu rehat sekejap atau makan tengah hari.

32: Dalam bilik guru ada dua kerani dan seorang timbalan guru besar. Dalam bilik guru juga dilengkapi dengan pemanas air, kopi dan minuman 3 in 1. Sekolah sediakan untuk guru. Pagi-pagi biasanya guru akan bersarapan dalam bilik guru kerana tidak ada kantin.

33: Kelebihan guru kelas mengajar semua subjek amat memudahkan. Cuma satu aras sahaja diajar. Semua subjek sudah ada buku aktiviti dan panduan guru. Juga sudah disediakan video untuk PDP dalam komputer. Setiap tajuk dan apa cara nak ajar semuanya ada. Tinggal guna sahaja. Tak perlu nak rancang apa nak ajar. Buku teks pun dah ada dalam komputer. Tinggal klik sahaja.

Itulah serba sedikit tentang sekolah saya di Korea Selatan ni.

FB - Abu Raisha

Cikgu Wan Suhaimi bersama isterinya, Sitti Aradiah Stawasil dan anak, Wan Irdina Raisha semasa melawatnya di sana.

Persekitaran yang bersih… Cikgu Wan Suhaimi di hadapan bangunan Ucheon Elementary School, Gangwondo.

Murid-murid sedang menikmati capati buatan Cikgu Wan Suhaimi dan mereka sangat gemarkan makanan Malaysia.

Guru-guru di sekolah ini sangat menghargai hasil kerja tangan murid-muridnya dan semuanya akan difailkan serta tersusun kemas dalam almari.

Bahan-bahan pengajaran semuanya terdapat dalam komputer, hanya klik.


Bahan-bahan pengajaran semuanya terdapat dalam komputer, hanya klik.

Cikgu Wan Suhaimi menunjukkan cara memakai samping kepada salah seorang murid lelaki dalam kelasnya.

 Cikgu Wan Suhaimi semasa sesi PDP.