SHAH ALAM - Seorang guru tidak menyangka video yang dibuat secara suka-suka bersama anak muridnya menjadi viral hingga menarik perhatian Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Guru Muzik, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kubu Baru, Zulpadzle Ismail berkata, video yang tular dengan lagu 'Balik Kampung' nyanyian seniman negara Allahyarham Sudirman Arshad telah membuatkan Dr Maszlee terpanggil untuk menelefonnya.

"Saya amat terkejut apabila menerima panggilan daripada pembantu peribadi Dr Maszlee.. seminggu selepas raya Aidilfitri.

"Beliau berkata isteri dan anaknya tertarik dengan video itu sehingga tercetus dalam pemikirannya mengenai pengajaran dan pembelajaran kreatif dalam kelas," katanya.

Kata Zulpadzle, video itu dirakam dua tahun lalu bersama anak muridnya yang kini berada di tahun enam.

"Masa Ramadan dulu, kawan-kawan lama saling berkongsi video dalam kumpulan Whatsapp.. dari situ saya turut berkongsi dengan mereka yang lain.

"Memang saya tiada niat nak 'viral'.. hanya suka-suka berkongsi dengan kawan-kawan," katanya.

Kata Zulpadzle, dia amat terkejut apabila seorang kawan beritahu video yang berdurasi dua minit tiga saat tersebut sudah menjadi tular di pelbagai laman media sosial.

"Rupa-rupanya salah seorang rakan saya telah menghantar video itu kepada alumni Maktab Perguruan Ilmu Khas dan salah seorang ahli alumni itu yang tularkan," katanya.