IPOH - Bermula dengan sekadar menyimpan mangkuk seramik dan jam milik nenek yang berusia lebih 100 tahun, mengumpul barangan antik kini menjadi hobi seorang pesara guru dengan lebih 6,000 koleksi.

Minat yang ditanam sejak berumur lapan tahun itu, membawa Ramli Abu Itam, 63, mengembara hingga ke luar negara bagi mendapatkan barangan lama yang unik dan eksklusif serta sukar dijumpai di negara ini.

"Mangkuk seramik dan jam milik nenek itu diberikan oleh ibu pada usia lapan tahun sekitar tahun 60-an.

"Lama-kelamaanya ia menjadi satu hobi dan saya mula membeli barang-barang lama antaranya di Chow Kit, Pasar Karat selepas menamatkan pengajian di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara)," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Medan Klebang Restu, Chemor di sini baru-baru ini.

Ingin kami siarkan video anda? Emelkan kepada [email protected]

Menurut Ramli, antara barangan antik dalam simpanannya termasuk kamera lama, radio, poster, kipas angin, kad telefon, gelas, botol, pelbagai koleksi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, koleksi pelukis kartun Datuk Lat serta koleksi seniman agung Tan Sri P. Ramlee dan kad ucapan Selamat Hari Raya yang dibuatnya sendiri.

Katanya semua koleksi disusun atur dalam almari kaca di sebuah bilik khas di kediamannya bukan sahaja untuk keluarga sendiri 'mencuci mata', malah dijadikan rujukan khususnya pelajar sekolah serta penuntut universiti.

"Pernah satu bas membawa pelajar datang ke rumah saya untuk mencari maklumat mengenai Dr Mahathir dan P.Ramlee, malah ada juga pengunjung dari negeri lain datang melihat barang antik ini," katanya.

Ramli berkata beliau pernah mengembara ke Greenwich, England semata-mata ingin berkunjung ke kedai barangan antik dikenali sebagai 'The Junk' bagi mendapatkan barangan seperti telefon, radio, buku-buku sejarah selain membeli barangan Malaysia yang terdapat di sana seperti setem.

Beliau juga mengembara ke Turki untuk membeli barangan antik antaranya gramafon, barangan seramik serta lampu lama di bazar terbuka Kodikoy di selatan Istanbul.

Tanpa menyatakan jumlah wang yang dilaburkan, Ramli tidak pernah berhasrat menjual semula koleksinya kerana barangan antik itu bukan sahaja sukar ditemukan, malah amat berharga padanya dan ada antaranya diperoleh dengan bertukar-tukar sesama rakan.

Menurut Ramli, hobinya itu mendapat sokongan daripada isteri yang menyarankan beliau mempamerkan koleksinya itu di ruang tamu rumah berbanding hanya menyimpannya dalam stor.

"Saya sudah membuat satu bilik khas kerana ruang tamu rumah tidak muat untuk mempamerkan barangan lama yang sekarang ini mencecah lebih 6,000 koleksi," katanya sambil menambah barangan antik memerlukan penjagaan rapi dan teliti bagi mengelak rosak, reput serta berkarat.

Lebih menarik Ramli juga mengumpul barangan jenama Coca-Cola dari pelbagai negara termasuk botol edisi terhad dalam kejohanan sukan dunia serta musim perayaan selain 10 siri botol Coca-Cola yang pertama masuk ke negara ini.

"Saya juga berhasrat untuk mempamerkan koleksi jenama Coca-Cola itu di satu ruangan khas kerana masih belum ada galeri mempamerkan barangan Coca-Cola edisi istimewa ini di Asia," katanya.

Ingin berkongsi pengetahuan mengenai barangan antik dengan masyarakat, pesara guru itu menanam hasrat agar satu hari kelak dapat mempamerkan koleksinya dalam bangunan lebih selesa atau baginya 'galeri rakyat'.

Ramli berharap mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri, swasta, pemain industri pelancongan mahupun orang persendirian dapat sama-sama membantunya menyediakan tempat yang sesuai untuk mempamerkan koleksinya. - Bernama

Artikel Menarik:

'Bertakwalah kepada ALLAH' - Antara ayat terakhir Allahyarham Ustaz Ku Yaacob

Ketupat Mak Tok-Sama-sama kita saksikan bingkisan istimewa Dr. Maszlee ini

Bekas pelajar kongsi pesanan Allahyarham Ustaz Ku Yaacob semasa di SMKA Kedah