DI sebalik COVID 19 yang diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), musibah yang melanda ini secara tidak langsung telah mengubah  landskap sistem pendidikan negara.

Selepas cuti penggal persekolahan yang bermula 14 Mac lalu selama seminggu kemudian bersambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu membuatkan para guru mula mengambil inisitif bagi memastikan anak murid mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Masing-masing mula mengaplikasikan ilmu digital yang ada supaya kelas boleh dibuat secara maya. 

Beberapa guru yang ada dalam grup Telegram Guru GPS Bestari berkongsi aplikasi yang mereka gunakan supaya boleh disiarkan di portal www.gpsbestari.com agar guru-guru lain turut melakukan perkara sama. 

Langkah awal sebenarnya telah dibuat sebelum arahan dalamam dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Daripada perkongsian mereka, saya boleh rumuskan ada tiga aplikasi yang popular digunakan untuk membuat kelas maya, iaitu Google Meet, Zoom dan Team, tambahan pula buku teks sudah ada dalam bentuk PDF.

Langkah demi langkah bagaimana untuk menggunakan aplikasi itu, boleh diperoleh menerusi artikel yang kami siarkan di laman web dan Facebook GPS Bestari.

Malah, anak saya turut mengikuti kelas maya setiap hari selama dua jam untuk tiga subjek berlainan yang dijalankan gurunya sejak seminggu yang lalu.  

Selain daripada kakitangan perubatan yang menjadi barisan hadapan dalam memerangi bencana ini, para guru juga merupakan golongan yang perlu kita tabik hormat. 

Dalam apa keadaan sekalipun, di mana jua mereka berada jiwa pendidik itu tetap membara untuk memandaikan anak bangsa. 

Jika dimanfaatkan sebaiknya, pembelajaran melalui talian ini membolehkan murid tidak perlu ke sekolah dalam keadaan tertentu dan mereka boleh mengikuti pembelajaran seperti biasa seakan di dalam kelas.

Namun, sehingga ke hari ini saya masih tertunggu-tunggu kemunculan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Mohd Jidin mengeluarkan sebarang kenyataan akhbar dalam keadaan gawat ini.

Mungkin sedikit kata dua daripada beliau akan lebih memberi semangat kepada para guru untuk mencurah ilmu sepanjang PKP ini atau sesuatu yang boleh dijadikan panduan kepada golongan pendidik untuk bergerak lebih tersusun dan sistematik.

Di Turki, kerajaan mula melaksanakan pembelajaran jarak jauh bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurut  agensi berita Anadolu, sesi pembelajaran itu dimulakan oleh Menteri Pendidikan, Ziya Selcuk, membabitkan jutaan pelajar bermula jam 9 pagi waktu tempatan. 

Pada 13 Mac lalu, Turki mengumumkan semua kemudahan pendidikan bermula dari sekolah rendah sehingga ke universiti ditutup.

Pelajar boleh mengikuti pembelajaran secara dalam talian menerusi Rangkaian Maklumat Pendidikan (EBA), dengan enam saluran televisyen khas disediakan.

Bergantung kepada gred dan pelajar, pelbagai mata pelajaran termasuk bahasa Turki, Matematik, Sains Sosial dan Fizikal, bahasa Inggeris, Biologi dan Geografi, disiarkan selama 20 minit setiap satu subjek.

Pelajar juga boleh mengikuti pembelajaran pada sebelah petang menerusi laman web EBA. 

Indonesia pula membatalkan Ujian Nasional atau peperiksaan persekolahan tahun 2020 dan tidak menggalakkan orang ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri pada Mei ini, bagi mengekang penularan virus COVID-19. 

Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Makarim berkata Ujian Nasional tahun 2020 untuk sekolah Dasar (di Malaysia Ujian Penilaian sekolah Rendah), ujian nasional di peringkat sekolah Menengah Pertama (di Malaysia peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dan ujian nasional sekolah Menengah Atas (seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia) dibatalkan dan perkara itu telah dipersetujui Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (Parlimen Indonesia).

"Pembatalan ini disebabkan faktor keamanan (keselamatan), kesihatan dan timbulnya risiko kesihatan (akibat virus COVID-19), kerana Ujian Nasional 2020 melibatkan lapan juta pelajar," katanya dalam siaran di televisyen tempatan.

Dalam kekalutan kita berhadapan dengan COVID-19, pencapaian gemilang dua lagi guru Malaysia yang tersenarai finalis Top 50 Global Teacher 2020 seakan tenggelam.

Guru Sains, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Ayer Hitam, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib dan guru bahasa Inggeris, Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Muadzam Shah, Pahang, Samuel Isaiah merupakan dua Guru Adwira lantikan KPM yang memang tersohor dalam kalangan pendidik di negara ini. 

Cikgu Norhailmi yang terkenal dengan pembelajaran berkonsepkan digital classroom dan banyak berkongsi membuat video pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan rakan guru di seluruh negara kini usahanya mendapat pengiktirafan dunia. 

Begitu juga dengan Cikgu Samuel Isaiah yang berjaya menarik minat anak-anak orang asli untuk belajar bahasa Inggeris dengan kaedah sekolah pokok yang diperkenalkan.

Ini hanya secebis kisah guru-guru kita yang hebat, ada banyak lagi 'unsung' hero yang di luar sana yang siang dan malamnya, tidur dan jaganya hanya memikirkan bagaimana untuk memandaikan anak bangsa.

Oleh itu, dengan sedikit suntikan semangat disokong oleh sistem pendidikan yang mantap, kita pasti boleh melonjakkan kemenjadian murid kita merentasi garis sempadan.

Kita tidak perlu berusaha kuat untuk kelihatan sama dengan orang lain kerana kita punya keunikan tersendiri, satukan semua sekolah di bawah payung KPM. 

Hapuskan sekolah jenis kebangsaan dan masukkan pendidikan tahfiz dalam silibus kebangsaan, saya pasti murid-murid kita akan terbang lebih tinggi.

(Penulis ialah Editor GPS Bestari)

Artikel lain:

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain