KUALA LUMPUR - Situasi pandemik Covid-19 tidak menghalang Pertubuhan Negara Islam Bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO) terus komited memperkasakan bahasa Arab di Malaysia, menerusi beberapa inisiatif dan program yang disusun secara maya.

Pengarah ICESCO cawangan Malaysia Dr Abdul Razif Zaini berkata antara inisiatif itu ialah "Zidni Ilman” iaitu program yang mengumpulkan pandangan pakar ICESCO berkaitan isu dan cabaran pendidikan bahasa Arab dalam kalangan bukan penutur jati.

Beliau berkata, pembelajaran bahasa Arab secara maya dapat menggantikan pertemuan bersemuka, di samping guru dan pensyarah universiti berusaha mencari kaedah terbaik untuk memperkasakan bahasa yang digunakan 246 juta penduduk dunia itu.

"Covid-19 memberi kesan kepada pembelajaran bahasa Arab di Malaysia, khususnya di sekolah, universiti dan kelas pengajian umum dengan hampir tiada pembelajaran secara bersemuka berlaku ketika ini, namun, penerimaan masyarakat Malaysia terhadap pembelajaran bahasa Arab masih kekal baik,” katanya dalam temu ramah dengan Bernama sempena sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia (WALD) 2020, baru-baru ini.

WALD disambut pada 18 Disember setiap tahun bersempena pemilihan bahasa itu oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu daripada bahasa rasmi pertubuhan dunia berkenaan.

Sempena sambutan WALD 2020, ICESCO turut menganjurkan bengkel latihan guru, seminar secara dalam talian, simsposium antarabangsa dan kemuncaknya adalah pertandingan video pendek 2020 dalam bahasa Arab.

Razif berkata, WALD merupakan satu daripada program tahunan ICESCO Malaysia dan pada 2020, ia mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menganjurkan aktiviti berkaitan bahasa Arab.

Katanya, program tahun ini turut disambut bersama majlis penutupan Tahun Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan KPM. Kesemua aktiviti itu diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bermula hari ini (Jumaat) hingga 30 Dis 2020.

Ditanya mengenai fokus ICESCO dalam mengembangkan bahasa Arab di  negara ini, Razif berkata Malaysia antara yang komited dengan ICESCO di Rabat, Maghribi, selain kedudukan geografi yang strategik serta kemudahan yang baik menjadikan negara ini dipilih sebagai pusat pendidikannya di rantau Asia Tenggara.

"Sistem pendidikan Malaysia menetapkan bahasa Arab sebagai satu daripada mata pelajaran dalam aliran utama kebangsaan merupakan keunikan yang tiada di negara jiran lain di rantau ini.

"Komitmen Malaysia dalam menganjurkan program latihan juga menjadi sebab mengapa Malaysia dipilih, " katanya.

Pusat ICESCO cawangan Malaysia  ditubuhkan pada 22 Okt 2015 dan bernaung di bawah ICESCO yang berpangkalan di Rabat, Maghribi.

Sebanyak 54 negara menganggotai pertubuhan itu, antaranya Malaysia, Arab Saudi, Brunei, Myanmar, China, Taiwan, Laos, Sri Lanka, Turki, Jordan, Singapura, Filipina, Thailand, Kemboja, Indonesia dan Vietnam.

Pertubuhan ICESCO Malaysia juga telah menganjurkan banyak program dan aktiviti tahunan antaranya seminar dan bengkel dua kali setahun, penganjuran siri wacana akademik, penyelidikan dalam bidang bahasa Arab dan pendidikan Islam.

Di samping penganjuran ekspo dan pertandingan bahasa Arab di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi, sambutan hari bahasa Arab sedunia, kelas intensif bahasa Arab dan penubuhan perpustakaan khas ICESCO di Malaysia – BERNAMA

Artikel menarik

'Saya bimbang anak murid akan ketinggalan' - Guru luar bandar kongsi pengalaman sukar dilupakan

Cabaran pembelajaran online, guru dan pelajar perlu tahu langkah mengatasinya

Takwim Penggal Persekolahan 2021 KPM. Mohon semua peka dengan tarikh-tarikh penting ini!