PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan sub-kluster baharu di Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merupakan satu kluster yang melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya di beberapa lokaliti dalam daerah berkenaan iaitu Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

Beliau berkata setakat 12 tengah hari ini semalam, terdapat 27 orang dikenal pasti positif COVID-19, termasuk dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 adalah positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah.

"Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan di mana ia dihadiri kes indeks (kes ke-448) yang merupakan seorang peserta perhimpunan di Sri Petaling" katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini semalam.

Menurutnya, beberapa guru dan kakitangan sekolah itu yang positif COVID-19 telah menjangkiti ahli keluarga mereka serta penduduk kampung sehingga menyebabkan tiga generasi jangkitan.

"Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan jumlah kes jangkitan terbaharu daripada kluster Itali adalah seorang menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 41 kes.

Beliau berkata kes jangkitan persidangan gereja di Kuching pula mencatatkan peningkatan sebanyak 24 kes; kluster tabligh sebanyak 25 kes; manakala kluster kenduri di Bandar Baru Bangi mencatatkan pertambahan dua kes, semalam.

Mengulas mengenai 69 kes sporadik yang dikesan, beliau berkata terdapat kemungkinan kes itu mendapat jangkitan daripada komuniti.

"Kemungkinan kes-kes tersebut dijangkiti virus itu daripada komuniti. Terdapat pelbagai kluster di sini, jadi mungkin 69 kes itu mendapat jangkitan daripada komuniti," katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

'Internet pun kurang capaiannya... kami belajar guna Whatsapp je,' - luah guru pedalaman Sarawak

50 latihan peribahasa disediakan Guru Cemerlang SBP Integrasi Kubang Pasu

Guru Cemerlang kongsi kuiz subjek Sains untuk pelajar Tingkatan Tiga dan Lima jawab

Ustazah Zulfa sediakan 10 soalan mudah untuk calon UPSR jawab – Boleh rujuk buku teks