MARANG - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang di sini, memerlukan sumbangan dana bagi menaiktaraf surau sekolah berkenaan.

Surau berkenaan mampu untuk memuatkan lebih 400  jemaah dalam satu masa apabila selesai dinaiktaraf sekaligus  dapat dijadikan pusat program keagamaan di sekolah itu di masa depan.

Pengerusi PIBGnya, Mohd  Atan Abidin berkata, dana berkenaan dilancarkan sejak lima  bulan lalu dengan jumlah terkumpul sebanyak RM68,000, iaitu sudah 60 peratus dari jumlah diperlukan. 

“Pada awalnya kita hanya  mahu membaiki kerosakan surau pada bahagian tertentu  sahaja tetapi seorang guru yang mahu bersara menderma sebanyak RM30,000, jadi jumlah wang itu agak banyak.

“Kami kemudiannya mengambil keputusan menaiktaraf surau tambahan guru guru lain, ibu bapa murid turut  menderma serta menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Pendidikan negeri.

“Surau sedia ada juga kurang selesa dan menyukarkan murid dan pihak sekolah untuk melaksanakan aktiviti keagamaan yang berskala besar,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mohd Atan berkata, pihaknya sedang berusaha mengumpulkan  dana secepat mungkin agar pembinaan surau itu dapat disegerakan dan pihak luar juga boleh  menderma melalui PIBG sekolah.

“Bilangan murid sudah mencecah 900 orang dan jumlah  itu bakal meningkat untuk tahun depan. Kita perlukan surau yang lebih besar untuk menampung jumlah murid pada setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, pihak sekolah  juga tidak ketinggalan mengambil inisiatif mengutip  dana melalui program yang dianjurkan termasuk penjualan barang terpakai  sempena Hari Kokurikulum Bersama Komuniti, semalam.