Rawang – Bagi mewujudkan suasana kondusif untuk murid dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa 2 mengadakan Gotong-royong Perdana pada 11 Mei lalu.

Guru Perpustakaan dan Media Jamnah Zolkefli berkata, program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu mendapat sambutan daripada 115 guru dan ibu bapa.

"Gotong-royong Perdana itu turut bertujuan sebagai persediaan pihak sekolah yang terpilih ke Pertandingan Pusat Sumber Cemerlang Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada 4 Ogos lalu yang dijangka keputusannya diumumkan Februari tahun depan.

"Pada program itu kami turut menceriakan pusat sumber, mengecat dan melakukan kerja pembersihan," katanya.

 

 

Cikgu Jamnah yang juga Setiausaha PIBG berkata, selain warga sekolah, kakitangan dan pelajar Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd turut menyumbang tenaga.

"Kakitangan Global Ikhwan turut berganding bahu bersama pelajar menceriakan kawasan sekolah, kami membuat taman herba, mengecat jeriji dan menghias kelas bagi mewujudkan suasana ceria," katanya.

Program Gotong-royong Perdana itu dirasmikan YDP PIBG Datuk Syed Ali Syed Atta Mohiuddin.

Guru Besar Siti Rohana Saabin (kanan) mengecat jeriji bersama rakan guru.

Pelajar dan kakitangan Global Ikhwan Sdn Bhd yang terbabit pada Program Gotong-royong Perdana  SK Taman Desa 2.

Kakitangan dan pelajar Global Ikhwan Sdn Bhd bertungkus-lumus menceriakan sekolah.

Taman Herba SK Taman Desa 2 yang cantik selepas dilakukan secara bergotong-royong.