Hari ini, 22 Februari genaplah 27 tahun Allahyarham Datuk Sudirman haji Arshad kembali ke Rahmatullah. Biarpun penyanyi lagenda kesayangan ramai ini sudah lama meninggalkan kita, namun lagu-lagunya seperti Chow Kit Road, Penarik Beca, Warisan, Salam Terakhir dan banyak lagi masih segar dalam ingatan.

Namun, di sebalik gelaran sebagai ‘Penghibur Nombor 1 Asia’,‘Penghibur Milik Masyarakat’, ‘Seniman Rakyat’, ‘Penghibur Rakyat,’ dan ‘A Genius With Microphone’, sebenarnya masih ramai yang tidak mengenali siapakah penyanyi tersohor kelahiran Temerloh, Pahang ini. Bermula dari zaman sekolah sehinggalah beliau melanjutkan pengajiannya ke peringkat tertinggi.  

Datuk Sudirman Haji Arshad, dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di No. 48, Jalan Ibrahim, Temerloh, Pahang. Beliau merupakan anak kepada Hajah Romlah binti Dahalan dan Haji Arshad bin Haji Hassan.

Bapanya mendapat ilham untuk menamakan beliau sebagai "Sudirman" sempena nama seorang pahlawan dari Indonesia, Soedirman kerana mahukan anaknya itu menjadi seorang pahlawan yang hebat.

Ibu bapanya pernah menjual kain ela dan pakaian. Malah, ibunya juga turut mengambil upah untuk membuat sulaman dan membuka kelas jahitan. Namun pada tahun 1959, ibunya meninggal dunia ketika Sudirman berumur 5 tahun kerana penyakit kanser.

Selepas kematian isteri, bapanya berkahwin dengan Mariam Mohamad yang berasal dari Kampung Dala, Lancang. Pasangan ini telah dikurniakan dua orang anak iaitu Baharom dan Maslina. Bapanya meninggal dunia pada tahun 1978 dan sempat melihat beliau berjaya mengukir nama.

Memang sejak kecil, Sudirman memang suka menyanyi. Malah beliau sering memasuki pertandingan syair, berpidato, berpantun, kuiz dan juga terlibat dalam persembahan teater dan koir di sekolah.

Beliau memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Abu Bakar di Mentakab, Pahang pada tahun 1963. Kemudian ke Sekolah Menengah Seri Bahagia di Temerloh, Pahang sebelum ke Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar di Kuantan, Pahang sehingga tamat tingkatan 6.

Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pelajaran dalam Fakulti Undang-Undang pula di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Di sebalik kepadatan jadual dalam bidang seni, beliau masih dapat membahagi masanya dengan baik antara menyanyi dan kelas tutorial di Universiti Malaya.

Pada tahun 1980 beliau telah menerima Ijazah undang-undang (LL.B) dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga.  Kemudian pada tahun 1983, Sudirman menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai peguam pada tahun 1984. Bagaimanapun, Sudirman meninggalkan bidang guaman kerana memilih bidang seni sebagai kerjayanya.

Beliau mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM peringkat akhir yang diadakan di Dewan Pay Fong, Melaka pada 11 Ogos 1976. Beliau mendendangkan lagu "Seruling Bamboo" dan "Big Spender In The Cabaret".

Kenali Sekolah Seniman Negara

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bahagia - Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bahagia ini terletak di Jalan Bahagia Temerloh, Pahang. Tarikh rasmi penubuhan sekolah (2 April 1962) adalah berdasarkan buku sejarah sekolah-sekolah Pahang (1888-1972).

Sekolah Kebangsaan Abu Bakar - Sekolah Kebangsaan Abu Bakar atau nama ringkasnya SK Abu Bakar,  terletak di Jalan Siantan, Mentakab Pahang.

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar - SMK Sultan Abu Bakar, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Jalan Beserah, Kuantan, Pahang.  Asalnya SMKAB ditubuhkan dengan nama Sultan Abu Bakar School atau lebih popular dengan SABS. Ia dibuka secara rasmi oleh Al-Marhum Sultan Abu Bakar Riayathuddin Al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mukhtasim Billah pada 16 Ogos 1957. Guru besar pertama sekolah ini adalah Encik Idris bin Babjee. Pada waktu itu, SABS hanya mempunyai dua buah bangunan sahaja, iaitu sebuah bangunan ‘H’ (bangunan pejabat sekarang) dan sebuah bangunan bengkel (kerja kayu, kerja elektrik).

 

Kredit Gambar: http://sudirman-arshad.blogspot.com/