Program Didik Mahir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Damai, Kuantan Pahang merupakan program melahirkan pelajar Pendidikan Khas yang mampu berdikari sebaik sahaja tamat persekolahan.   

Didik Mahir yang diasaskan oleh Cikgu Asmaiani Nan dan dibantu Cikgu Rohainizan Abu Bakar itu mendapat reaksi positif dalam kalangan semua pihak malah ia menjadi projek jalinan antara sekolah dan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK).

Menurut Cikgu Asmaiani, Didik Mahir melibatkan pelajar daripada kelas Pendidikan Khas pembelajaran di sekolah itu.

“Mengendalikan pelajar Pendidikan Khas bukan perkara mudah. Banyak perkara yang memerlukan kesabaran dan ketabahan. Namun, kerana kasih dan sayangnya kami pada mereka, segala-galanya menjadi senang buat kami,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Didik Mahir ini sebenarnya terletak pada kekuatan program itu sendiri.  

“Ada lapan kekuatan yang ingin kami kongsikan pada semua.

“Jika lapan kekuatan ini tiada, mana mungkin program ini dapat berjalan dengan lancar,” jelas Cikgu Asmaiani.

Lapan kekuatan yang dimaksudkan guru ini adalah

1) Kerja berpasukan

Program Didik Mahir ini memerlukan kerja berpasukan dan mempunyai tujuan yang sama. Semua ahli jelas tentang hala tuju dan bersedia untuk mengambil tanggungjawab masing-masing. Program jalinan dan jaringan diperkukuhkan bagi mencapai tujuan yang telah dipersetujui bersama.

2) Inovasi

Inovasi dibuat dan proses dilakukan mesti memacu kepada kepentingan pelajar. Inovasi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.Inovasi dalam Program Didik Mahir adalah perubahan dalam aktiviti PdPC bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar.

3) Integriti

Sentiasa bersungguh-sungguh dalam mengerjakan satu perkara. Dalam memastikan Program Didik mahir ini berjaya, kami sentiasa setia kepada kerja sebagai amanah dan bebas daripada pengaruh yang memesongkan matlamat kerja.

4) Pembelajararan aktif

Program Didik Mahir juga menerapkan kaedah pembelajaran aktif. Memandangkan idea ini idea baru,  semua ahli (guru dan ibubapa serta komuniti) yang terlibat perlu memahami  setiap proses atau prosedur yang telah ditetapkan.

Semua ahli terlibat secara langsung dan aktif dalam proses pelaksanaan Didik Mahir. Sesiapa sahaja boleh memberikan idea untuk tambah baik semasa perbincangan.

5) Profesionalisme

Seorang guru sentiasa bermotivasi dan boleh menjalankan tugas tambahan untuk perkembangan profesionalisme masing-masing. Saya juga bersedia untuk menjalankan tanggungjawab berkaitan tugas harian yang berhubung dengan profesionalisme perguruan. Kebolehpasaran adalah sebahagian daripada KPI yang mesti dicapai. Oleh itu, saya bersedia meneruskan program ini hingga berjaya.

6) Kecemerlangan

Apabila kita hendak melakukan sesuatu tugasan, pasti cemerlang atau berjaya itu sentiasa meniti dibibir kita. Impian saya juga begitu, mahu program atau tugasan meraih kejayaan dan kecemerlangan. Itu adalah harapan dan hala tuju saya cuma yang pasti kejayaan itu tidak pernah berakhir. Kita akan mulakan lagi tugasan baru dan pasti harapan tetap sama. Untuk berjaya, jangan pernah berputus.

7) Disiplin diri  

Melatih displin diri harus datang daripada hati sendiri. Suka atau tidak menyukainya, saya mesti mengubah sikap positif menjadi sebuah kebiasaan.Saya mesti fokus kepada sasaran jangka panjang. Kenapa mesti sasaran jangka panjang? Kerana untuk meraih sasaran dan kejayaan itu tidak boleh dalam masa yang singkat. Macam-macam boleh berlaku.

8) Kejayaan pelajar

Setiap pelajar menghasilkan satu produk dan dijual di Kedai Didik Mahir atau penghantaran kepada pelanggan di luar. Ini memberikan pelajar memperoleh pendapatan sendiri.

“Menerusi lapan kekuatan ini, pihak sekolah melihat yang peratus keboleh pasaran murid kefungsian rendah meningkat.

“Ibu bapa pula gembira dan mengucapkan terima kasih kepada sekolah kerana anak-anak Pendidikan Khas mereka telah mempunyai pekerjaan yang baik sebaik saja tamat sekolah,” kata Cikgu Asmaiani.

Artikel menarik

11 tip penting untuk kembalikan hubungan dengan anak, ibu bapa wajib baca!

Elak wajah ditumbuhi jerawat, ini 8 langkah pencegahan yang guru dan pelajar wajib tahu