Insan hebat ini punya syarikat sendiri.

Syarikatnya yang dikenali Dstrike Solution itu merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pemasangan permaidani yang sudah 10 tahun beroperasi di Bangi, Selangor.

Beliau juga seorang penceramah motivasi yang dikenali semua orang.

Dalam masa yang sama, insan istimewa ini juga seorang penulis buku dan yang terbaharu, beliau turut mengusahakan perniagaan wangian untuk lelaki dan wanita menggunakan jenama `Sukur’.

Melihatkan kejayaan demi kejayaan yang diraih, Mohd Sukur Ibrahim, 35 yang kini berketinggian kira-kira 100 sentimeter berkata, tidak mudah sebenarnya untuk capai kejayaan seperti sekarang.

Dia perlu harung segala cabaran demi cabaran apatah lagi dengan keadaan fizikalnya yang sebegitu, yang sangat membataskan segala pergerakan harian.

"Saya terima dan redha dengan ketentuan Ilahi. Ada hikmah atas semua ini," katanya yang berasal dari Kampung Sungai Udang, Melaka.

Sedari kecil lagi, anak kepada pasangan Ibrahim Samad, 68 dan Aishah Harun, 65 itu, sudah berdepan dengan ejekan kawan-kawan.

"Masa darjah 1, saya bersekolah di SK Kem Terendak 1, Melaka.

"Hari pertama ke sekolah, ayah pimpin tangan saya. Bawa beg saya dan ajak saya masuk kelas. Masa tu, semangat sangat berkobar-kobar untuk belajar.

"Ayah pun dah pesan, belajar rajin-rajin dan jadi orang yang berjaya," kata Sukur.

Selepas ayah pulang, rakan sekelas semuanya perhatikan Sukur.

Mereka cakap Sukur macam alien atau makhluk asing. Ada juga yang cakap macam hantu dan terus menangis kerana takut.

"Lagi satu, ada kawan pergi tanya cikgu, tanya kenapa saya pendek, kenapa tangan dan kaki macam tu, kenapa jari saya bulat-bulat dan macam-macam lagi," katanya.

Masa nak beli makanan di kantin pula, Sukur diekori oleh rakan-rakan yang mahu melihat lebih dekat cara dia berjalan dan juga makan.

"Ramai ikut saya dari belakang. Terkejut juga. Nak tak nak, saya kena jalan juga.

"Kemudian, bila nak beli makanan, saya cakap kat makcik kantin nak nasi satu, kemudian makcik tu pandang kiri kanan dan nampak dia macam gelabah, suara ada, tapi tuan tak de. Rupa-rupanya, dia tak nampak saya kat bawah kaunter," ujarnya.

Bawa bekal

Balik ke rumah, Sukur ceritakan pada maknya tetap situasi di kantin.

"Saya cakap kat mak, saya nak bawak bekal sebab susah nak pergi ke kantin. Lepas tu, kalau beli makanan di kantin, nak bawa makanan ke meja, susah sangat.

"Pernah dulu, tengah berjalan sambil bawa nasi dan air, makanan jatuh. Saya pun tak makan hari tu sebab duit habis. Sudahnya, saya tersangat lapar pada hari berkenaan," kata Sukur.

Walaupun diejek oleh kawan-kawan, Sukur menerimanya dengan hati terbuka.

"Sekejap jer saya kena ejek. Mungkin masa tu, semuanya masih budak-budak.

"Selepas itu, saya dapat belajar dengan baik. Kawan-kawan yang suka ejek dulu pun dan boleh terima saya. Cikgu pun begitu. Mereka sangat sayang dan layan saya sama seperti murid lain," katanya yang masih berhubung dengan beberapa orang guru dari sekolah itu.

Tinggal di asrama

Ketika di tingkatan 1, Sukur tinggal di asrama SMK Ghafar Baba, Masjid Tanah Melaka.

"Masa mak ayah saya hantar ke asrama, saya fikir mereka dah tak sayang saya

"Rupa-rupanya, mereka nak saya belajar berdikari dan sebab itulah saya dihantar ke asrama.

"Mula-mula dekat sini, memang susah jugaklah. Semuanya kena buat sendiri. Basuh baju sendiri, buat itu sendiri dan semuanya sendiri. Nasib baiklah ramai rakan yang bantu saya dan paling saya berterima kasih kepada Mahathir, yang sentiasa ada di sisi waktu saya susah," katanya.

Mahathir merupakan rakan baik Sukur. Dialah yang angkat Sukur, ambil makanan di dewan makan, bawa Sukur ke masjid sambil menggendong dan sebagainya.

Kerana keikhlasan Mahathir itu, dia menerima Anugerah Pelajar Prihatin Sekolah dari sekolah, kata Sukur yang kemudiannya berjaya menyambung pengajian ke UKM.   

Akhir sekali, sedikit nasihat daripada Sukur kepada insan yang senasib.

"Untuk golongan istimewa macam saya, kita sebenarnya kena belajar terima diri dengan seadanya.

"Macam saya, saya terima diri saya begini dan tak pernah rasa diri sebagai OKU. Belajarlah redha dan insya-Allah, proses kehidupan akan berjalan lancar.

"Lagi satu, jangan bandingkan hidup kita dengan orang lain..kebahagiaan adalah hak milik setiap insan dan kita kena bahagia dengan cara kita," ujarnya bersungguh-sungguh.

Sukur kini telah mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Wan Nurul Syazwani Mohd Yen, 32.

Mereka dikurniakan bayi lelaki berusia lapan bulan, Anas Wafiy.

Sukur bersama isteri, Wan Nurul Syazwani dan anaknya, Anas Wafiy. 

Meluangkan masa bersama anak, Anas Wafiy.