Program Tahfiz Model Ulu Albab (TMUA) mula mendapat perhatian dalam kalangan ibu bapa. Keputusan UPSR belum lagi keluar, sudah ramai ibu bapa mula merancang untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah berteraskan pendidikan Islam itu. Namun, apakah kelebihan sebenar menghafal al-Quran?

Dr Kamilin Jamilin gariskan enam kelebihan menghafal, membaca dan mempelajari al-Quran.

Semoga bermanfaat!

1. Persediaan menjadi ilmuwan Islam di masa hadapan

Jika zaman dahulu, menghafal al-Quran merupakan syarat asas bagi mana-mana ilmuwan Islam baik mereka yang menceburi bidang pengajian Islam mahupun jurusan lain. Malah buat mereka yang bergelumang dalam bidang pengajian Islam, merupakan suatu yang aib jika tidak menghafal al-Quran seolah-olah itu syarat masuk sekolah! Justeru menjadi lumrah zaman keemasan ilmu Islam dahulu, anak-anak berusia tujuh tahun sudah lancar menghafal al-Quran. Namun tatkala tradisi ini kita telah lupakan, kita mula menyalahkan masa, seolah-olah menghafal al-Quran hanya ‘membazir’ masa berbanding mengkaji makna al-Quran!

2. Mendekatkan anak-anak dengan ALLAH secara kerohanian

Anak-anak zaman kini semakin dilekakan dengan pelbagai hiburan yang menjauhkan diri mereka dengan Tuhan. Setidak-tidaknya jika mereka memperuntukkan masa untuk menelaah kalamullah, mereka berpeluang menyelami perasaan ‘hampir’ dengan Tuhan sekalipun mereka barangkali belum memahami apa yang dibaca, namun percayalah mukjizat al-Quran itu sangat mempesona hanya dari membaca atau mendengarnya! Lumrahnya, anak-anak yang tenggelam dalam dunia hiburan biasanya sangat sukar untuk menjiwakan diri mereka dengan al-Quran.

BACAAN BERKAITAN: Guru cemerlang ini kongsi tip lulus temuduga Tahfiz Model Ulul Albab

3. Meningkatkan potensi daya memori

Mempunyai memori yang baik merupakan salah satu dari keperluan hidup dan pengajian di samping daya faham, kreatif dan kritis. Hakikatnya teknik hafazan yang berkesan mampu meningkatkan potensi ini ke tahap yang menakjubkan.
Justeru kita tidak hairan para ulama dahulu, bahkan ilmuwan kini yang mempunyai ‘hardisk’ di kepala mereka. Kita selalu sahaja dengar mereka mampu mengingati suatu maklumat itu dengan sekali dua dengar atau baca sahaja.
Mereka tidak dilahirkan sebagai ‘genius savant’, namun itulah hasil latihan berkesan yang mereka telah lalui sejak dari kecil. Banyak sahaja kita dapati sahabat huffaz kita yang hebat menjadi seorang pelajar dan ilmuwan yang hebat!

4. Bukti kecintaan pada empunya al-Quran

Jika peminat K-pop sanggup menghafal lirik lagu yang tidak difahami sepatah pun untuk dinyanyikan bersama penyanyi kesayangan di pentas konsert atau ketika di tandas berseorangan, apatah lagi seorang Muslim yang mengakui mencintai Tuhannya. Tidakkah kita malu jika kelak kita berhadapan dengan ALLAH di ‘pentas’ mahsyar dalam keadaan kosong dada tanpa sebarang kalam-Nya sebagai bukti cinta?

5. Mengkaji al-Quran dalam keadaan menghafalnya lebih nikmat!

Tidak sama seorang anak yang menulis sejarah ibu kesayangannya yang sentiasa di hati dan ingatan berbanding orang luar yang menulis tentang ibunya. Penghayatan, sentuhan dan hasilnya pasti berbeza. Jangan hanya menoleh ke barat. Di negara Arab seperti Arab Saudi dan Mesir misalnya terdapat banyak pusat kajian khas al-Quran yang telah menghasilkan ribuan penyelidikan yang mengagumkan! Para pengkajinya merupakan huffaz al-Quran, bahkan ilmuwan bidang al-Quran yang terkenal. Namun malangnya kajian mereka kurang dihargai dan kurang mendapat perhatian ramai berbanding barat kerana barangkali tulisan mereka bukan berbahasa inggeris. Barangkali juga kerana mereka bukan orang putih yang disanjungi, dan barangkali tulisan mereka tidak dimerit dalam jurnal kapitalis.

6. Menghafal al-Quran hanya satu proses

Menjadi hafiz bukan kemuncak yang kita kejari, ia hanya merupakan satu jalan untuk kita meneruskan kehidupan menjadi insan cemerlang dalam segenap segi kehidupan baik sesama pencipta mahupun manusia. Boleh saja anak kita ingin menjadi seorang doktor, atau peguam, atau menteri, atau jurutera, atau apa sahaja sekalipun, namun alangkah indahnya jika al-Quran mendiami dada mereka serta menghiasi keperibadian anak-anak yang tercinta. Tidak semesti menghafal al-Quran itu perlu menjadi hafiz 30 juz, namun berapa banyak manfaat yang mampu kita kedok sepanjang proses kita berusaha menghafalnya walaupun hanya tiga juz. Usaha dan manfaat itu yang paling utama baik pada penghafal yang muda mahupun yang tua!

Artikel Menarik:

‘Fahami fungsi sebenar kalkulator’- Ini peringatan penting guru cemerlang Matematik buat calon SPM

‘Bayangkan wajah mak ayah, jika kegagalan yang kau cari…’ - Cikgu Razali

Cikgu SK Ulu Lemanak redah laluan balak 150km selamatkan murid dari jerebu teruk di Lubok Antu

10 Persediaan menjelang peperiksaan - Cikgu Razali kongsi rahsia

Sudah bersedia menghadapi SPM? Guru cemerlang ini kongsi rahsia lulus mudah subjek Matematik

Mahu murid menjadi lebih kreatif...ini ada 17 tip untuk guru-guru jadikan panduan