KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menegaskan pertambahan 15,000 tempat untuk program matrikulasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) tidak akan menjejaskan pengambilan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke peringkat ijazah pertama di universiti awam.

Beliau berkata terdapat kekosongan tempat di universiti awam setiap tahun, termasuk kira-kira 5,000 tempat dalam bidang sains.

"Tambahan 15,000 tempat untuk memasuki universiti awam melalui matrikulasi tidak akan jejaskan pengambilan lepasan STPM, kerana daripada 40,000 tempat ditawarkan, tidak semuanya mengambil tempat itu (memasuki matrikulasi),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. R. Santhara Kumar (PH-Segamat) yang ingin tahu isu kebimbangan pelajar STPM menghadapi kesukaran mendapatkan tempat di universiti awam ekoran pertambahan jumlah pelajar matrikulasi KPM.

Jelasnya, ruang kemasukan ke universiti awam tidak bergantung semata-mata dengan STPM dan matrikulasi kerana terdapat laluan lain menerusi diploma dan pusat asasi universiti masing-masing.

Pada April lepas, Jemaah Menteri memutuskan bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi KPM ditambah kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini dan mengekalkan kuota 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera.

Menjawab soalan asal mengenai keutamaan antara lepasan STPM dan matrikulasi untuk diterima masuk ke universiti awam, Dr. Maszlee berkata kementerian mengamalkan prinsip meritokrasi dalam semua proses kemasukan pelajar sejak sesi 2002/2003 iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. - Bernama

Baca:

60 peratus kanak-kanak kurang nutrisi, KPM galak sektor swasta sedia makanan berkhasiat kepada murid

Enam strategi berkesan untuk bantu guru galak pelajar fikir secara KBAT - Semoga bermanfaat

KPM siasat sekolah antarabangsa berkaitan aktiviti propaganda anti minyak sawit

'Entah di mana Eman, kami risau' - Ibu murid SK Kuala Besut 2 buntu, anak hilang sejak Isnin

'Saya nak jaga mak, ayah...' - Ini alasan Cikgu Khairul terpaksa tinggal pelajar istimewa