KUALA TERENGGANU - Dua sahabat baik terpaksa menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran  Malaysia (SPM) di hospital kerana terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan kedua-duanya patah tulang kaki.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Razali Ismail, Nur Anis Mardiyyah Rosli, 17, dan rakan baiknya, Nor Aisyah Hanna Kamaruddin, 17,  bersama-sama menduduki peperiksaan pada hari pertama semalam bagi subjek teras di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Nur Anis Mardiyyah berkata, dia sedih kerana  terpaksa menjawab peperiksaan dalam keadaan dirinya ‘bertarung’ dengan  kesakitan ekoran kejadian menimpanya minggu lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, kehadiran ibunya,  Nor Hafizah Karim, 39, yang sentiasa di sisi menemaninya sepanjang berada  di hospital menguatkan semangat untuk dia mendapatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan itu.

“Memang sedih sebab terpaksa jawab periksa dalam  keadaan sakit lagipun saya tak pernah terfikir untuk jawab SPM di hospital.

“Sebelum ini saya hanya membayangkan berada di dewan yang luas bersama  rakan lain untuk menduduki peperiksaan ini. Namun saya bersyukur dan reda atas   ketentuan ALLAH SWT, mungkin ada rezeki lebih baik yang diaturkan kepada saya,” katanya ketika ditemui di HSNZ di sini semalam.

Mengimbau insiden yang berlaku pada Rabu  minggu lalu, Nur Anis Mardiyyah berkata, ketika kejadian  dia yang dari Kampung Bukit Bayas menunggang motosikal

bersama Nor Aisyah Hanna untuk ke rumah rakan mereka di Kampung Teluk Paku di sini.

Malangnya motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah kenderaan menyebabkan mereka berdua terjatuh. 

“Selepas kemalangan saya sukar untuk bangun,  menulis dan memegang buku. Saya juga masih trauma dengan kejadian itu. 

“Kejadian itu memang tidak disangka sebab masa itu tarikh periksa dekat sangat, seminggu lagi nak menduduki peperiksaan,” katanya.

Katanya, rakan baiknya sejak Tingkatan Satu, Nor  Aisyah Hanna yang berasal dari Kampung Tualang,  Manir juga berkongsi perasaan yang sama.

Bagaimanapun, dia berkata,  mereka menganggap ia sebagai ujian dan meletakkan  sasaran untuk mendapat keputusan terbaik sekurang-kurangnya 4A dalam peperiksaan itu.

Hari pertama peperiksaan bagi subjek teras SPM  di Terengganu semalam  menyaksikan seramai enam pelajar menduduki SPM di hospital iaitu lima di HSNZ manakala seorang lagi di Hospital Kemaman.

Artikel Menarik:

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

“Semoga ustaz sihat dan masuk syurga”- Ustaz ini sanggup menari demi murid Pendidikan Khas

'Banyak kali dia minta maaf, risau jika saya tak selesa' - Cikgu ini kongsi sikap bekas muridnya