Sebut saja Universiti Harvard, pasti ramai terbayangkan betapa prestij dan sukarnya untuk menempatkan diri dalam universiti Liga Ivy itu kerana persaingan yang diterima sangat sengit membabitkan calon bijak pandai dari seluruh dunia.

Tahun ini menyaksikan Universiti Harvard mencatatkan kadar kemasukan paling rendah dalam sejarah penubuhannya sejak 385 tahun lalu iaitu seramai 1,968 pelajar (3.4 peratus) daripada 57,435 permohonan yang diterima.

Dalam berpuluh ribu pemohon itu, siapa sangka, dua pelajar Malaysia iaitu Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi dan Jarell Cheong Tze Wen berjaya menempatkan diri di universiti berprestij itu apabila diterima masuk ke Harvard College, satu daripada kolej yang terdapat di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Kedua-dua pelajar pintar itu yang merupakan produk sistem pendidikan kebangsaan turut membuktikan pendidikan negara ini juga mampu melahirkan individu yang memiliki ciri-ciri yang menepati kriteria diperlukan universiti bertaraf dunia, berbekalkan bakat dan keinginan yang ada pada diri masing-masing.

Muhammad Hamdi menamatkan persekolah di Sekolah Menengah Sains (SMS) Alam Shah, Kuala Lumpur dan kini menyambung pengajian di peringkat A-Level di Kolej Tuanku Ja'afar sebagai penerima biasiswa Kijang Bank Negara.

Jarell pula adalah bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dan kini mengikuti program A-Level di Kolej Sunway, Petaling Jaya.

Berkongsi mengenai berita gembira itu, Muhammad Hamdi yang berasal dari Kuantan, Pahang itu tidak pernah menjangka akan berpeluang menyambung pengajian ke universiti Liga Ivy itu kerana berasal daripada keluarga yang tidak mempunyai simpanan untuk menampung kos pengajian di universiti.

"Ketika belajar di SMS Alam Shah, barulah saya tahu ada banyak peluang biasiswa yang ditawarkan di negara ini melalui perkongsian daripada guru-guru, rakan-rakan dan pembacaan saya di pelbagai medium yang ada.

"Apabila dipilih sebagai penerima biasiswa Kijang Bank Negara, saya mahu memanfaatkan peluang keemasan ini dengan sebaiknya sekali gus membuatkan saya memilih untuk membuat permohonan menyambung pengajian ke Universiti Harvard," katanya kepada GPS Bestari.

Berikutan itu juga, pelajar yang aktif sebagai pendebat ketika di bangku sekolah itu cuma membuat persiapan selama sebulan untuk memohon ke Universiti Harvard dengan bertanyakan kepada guru dan rakan-rakan di media sosial serta mencari maklumat di Youtube.

Dalam berdepan kesukaran mendapat pelbagai maklumat itu, Muhammad Hamdi bersyukur kerana ada seorang Youtuber yang juga alumni Universiti Yale sudi berkongsi maklumat dan pandangan dengannya menggunakan aplikasi Zoom.

http://gui.sinarharian.com.my:8080/polopoly/polopoly_fs/1.939340.1618474938!/image/image.jpg

Muhammad Hamdi bersama rakan sekolah.

Bakal menyambung pengajian di Harvard College bermula Ogos ini dalam bidang ekonomi, anak sulung daripada tiga adik beradik itu memilih jurusan berkenaan selepas mendapat inspirasi daripada pakar ekonomi terkenal di Malaysia iaitu Dr Muhammed Abdul Khalid yang ketika itu menjadi panel untu satu program di televisyen.

"Saya sejenis yang cepat bosan dengan satu bidang sahaja. Jadi saya memilih jurusan ekonomi kerana ia bidang yang meluas sekali gus membolehkan saya belajar banyak benda termasuklah Matematik, Sosiologi dan Sains komputer.

"Saya berharap ilmu yang diperoleh ini akan dapat membantu saya menjadi seorang yang berguna di masa depan sekali gus kembali memberikan sumbangan kepada keluarga dan juga rakyat Malaysia," katanya lagi.

Meskipun berasal daripada keluarga golongan B40, Muhammad Hamdi tidak pernah menjadi keadaan sekeliling sebagai alasan untuk mencipta kejayaan, justeru itu dia menitipkan pesanan kepada pelajar di luar sana yang berhasrat menyambung pengajian di universiti berprestij dunia di masa depan.

"Jangan biarkan persekitaran menjadi halangan untuk berjaya, sentiasa bersyukur dengan ujian hidup kerana cabaran itu akan lebih mematangkan diri kita di masa depan.

"Dalam berdepan pelbagai kesukaran hidup, tidak semua orang akan menghulurkan tangan untuk membantu kita tetapi percayalah dalam saat getir itu, pasti ada indvidu yang tampil menjadi penyelamat," katanya.

Sementara itu, Jarell yang akan menyambung pengajian dalam bidang Matematik pula pernah mencipta pelbagai kejayaan termasuklah pernah mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2019 dalam acara Dancesport, bertanding di Olimpik Matematik Pasifik Asia dan bersaing dalam kejohanan catur antarabangsa.

Naib Presiden Kelab Harvard Malaysia, Wan Nadiah Wan Mohd Abdullah Yaakob, berkata apa yang menarik tentang Jarell ialah meskipun berdepan kekangan dalam tempoh pandemik Covid-19, dia menemukan cara untuk meneruskan minatnya.

"Tahun lalu, Jarell mula mengajar kelas tarian kepada remaja berusia 7 hingga 14 tahun menggunakan platform Zoom.

"Dia juga meneruskan minatnya dalam Matematik dengan membuat penerokaan di luar ruang lingkup kurikulum A-Level itu sendiri bagi meneroka bidang Matematik berasaskan bukti. Ini jelas menunjukkan bahawa dedikasi, rasa ingin tahu dan tahap intelektual itu  melampaui kurikulum berasaskan sekolah biasa," kata Wan Nadiah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Ketua Penyelidikan di Khazanah Nasional Berhad yang juga alumni Universiti Harvard, Nicholas Khaw, pula berkata kisah Muhammad Hamdi adalah kisah luar biasa yang diharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain.

Katanya, pengalaman hidup yang mencabar, termasuk membuat beberapa pekerjaan untuk membantu memenuhi keperluan keluarga, bersekolah di sekolah asrama untuk mengurangkan beban keluarga telah mengubah pandangan Muhammad Hamdi mengenai keadaan dunia di sekelilingnya.

"Daripada meratapi nasibnya, dia memilih untuk menyalurkan tenaganya kepada pembelajaran termasuklah belajar bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan menyertai aktiviti debat pada usia 14 tahun, mengajar tuisyen dan menjadi mentor dalam bidang debat untuk pelajar sekolah pedalaman.

"Dengan kelebihan dan peluang yang ditawarkan oleh Harvard College ini, kami sangat teruja untuk melihat bagaimana seseorang seperti Muhammad Hamdi dapat benar-benar berkembang dan menjalani kehidupan dengan penuh potensi," kata Nicholas.

Artikel menarik

Hati sebak lihat pelajar terima dua helai tudung sekolah baru. Tak sangka ini kata cikgu...

UMP, PERODUA perkasa program TVET guna model Jerman