KUALA LUMPUR: Siapa sangka kegagalan dalam peperiksaan dalaman yang diadakan oleh pihak kolej menjadi titik tolak kepada dua pelajar ini untuk berusaha dengan lebih keras sehingga berjaya menempatkan diri dalam 10 Pemenang Terbaik Dunia bagi peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) untuk Mac 2021.

Dua pelajar di bawah tajaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu ialah  Nurul Fatin Nabihah Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid yang berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia, masing-masing bagi subjek Laporan Perniagaan Strategik serta Audit dan Jaminan.

Nurul Fatin Nabihah atau lebih mesra dipanggil Fatin berkata, beliau tidak pernah menjangkakan akan lulus dengan cemerlang subjek berkenaan apatah lagi tersenarai sebagai 10 terbaik dunia kerana pernah gagal dalam ujian yang diadakan oleh pihak kolej.

Katanya, markah yang diperoleh bagi subjek itu juga adalah yang tertinggi pernah direkodkan sepanjang mengikuti program ACCA ini tetapi beliau percaya ia adalah hasil kerja keras serta bimbingan berterusan daripada pensyarahnya.

"Memandangkan saya terpaksa belajar secara atas talian kerana kekangan pandemik Covid-19, penguasaan terhadap subjek itu sangat lemah ditambah pula masalah capaian internet yang menyebabkan saya sering gagal mengikuti kelas dalam talian.

"Meskipun begitu, pensyarah saya tidak pernah putus asa dalam membantu supaya saya dapat memahami subjek yang diajarkan dan merakam setiap sesi kuliah supaya saya dapat membuat rujukan," katanya kepada GPS Bestari.

Fatin (dua dari kiri) bersama ibu dan adik beradiknya.

Anak sulung yang berasal dari Terengganu itu adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan memilih untuk meneruskan pengajian profesional ACCA sebagai nilai tambah kepada dirinya apabila menempatkan diri dalam dunia pekerjaan kelak.

Kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian di peringkat ijazah di tambah pula dengan permintaan daripada bakal majikan, telah mendorong Fatin untuk meneruskan pengajian di peringkat profesional.

“Saya telah diberitahu akan peluang untuk meneruskan pengajian di peringkat ACCA di bawah kelolaan MyPAC melalui seorang rakan. Saya bersyukur dengan bantuan MyPAC, pengajian saya kini dibiayai penuh oleh Yayasan Sime Darby.

"Saya berharap dengan adanya kelayakan ACCA nanti, ia akan membolehkan saya mendapat pekerjaan di firma-firma audit terkemuka," katanya lagi.

Dengan hanya berbekal telefon mudah alih bagi mengikuti pembelajaran atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fatin juga berjaya lulus di dalam satu lagi kertas yang diambilnya iaitu Advanced Taxation (ATX).

Fatin masih perlu menduduki dua lagi kertas di peringkat “Strategic Professional” sebelum dijangka menamatkan pengajian ACCA pada bulan September nanti.

Siti Naziah (kanan) bersama ahli keluarganya.

Berkongsi rahsia kejayaan dalam subjek Audit dan Jaminan, Siti Naziah juga berkata pencapaian itu adalah diluar jangkaan tetapi bersyukur kerana komitmen dalam membuat perbincangan bersama rakan dan latihan berterusan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

"Seperti kebanyakan pelajar lain, saya juga berdepan masalah apabila perlu belajar secara atas talian sehingga gagal menguasai subjek yang diajar dan dua kali gagal dalam ujian dalaman yang diadakan oleh pihak kolej.

"Saya sangat kecewa dengan pencapaian itu tetapi berkat dorongan dan sesi pembelajaran secara berkumpulan dengan sahabat karib secara atas talian serta nasihat berterusan daripada kaunselor di MyPAC, saya gagahkan diri untuk terus fokus dan sentiasa membuat latihan," kata beliau.

Sehubungan itu, anak sulung daripada dua adik beradik itu terkejut dan tidak percaya dengan kejayaan yang diperoleh bagi subjek berkenaan.

Siti Naziah perlu menghabiskan empat lagi kertas dan dijangka akan menamatkan pengajian ACCA pada bulan Mac 2022.

Selain daripada pencapaian akademik, beliau juga merupakan seorang yang aktif dalam penglibatan kokurikulum dengan memegang jawatan sebagai biro kelab “Professional Student Society”.

Artikel menarik

'Saya ingat emak bergurau' - Anak terkejut ibu hadiahkan nanas ketika konvokesyen USIM

Dua pelajar Malaysia terpilih ke Harvard College, bukti keberkesanan sistem pendidikan kebangsaan