KUALA SELANGOR - Dua pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari Siti Rahmah Md Mokthar, 42, selepas mendapati anaknya, Syafiqah  Adawiyah Jumri, 15, tiada di dalam bilik di rumah mereka.

Siti Rahmah yang menetap di Taman Desa Parit Mahang berkata, sebelum kejadian anaknya bersama rakan, Siti Nurbaiyah Sidek, 15, pulang ke rumah dari sekolah.

“Syafiqah kemudian menghantar Siti Nurbaiyah ke rumahnya di Bukit Kuching dan apabila sampai ke rumah dia (Syafiqah) terus masuk ke bilik. Ketika itu saya sedang melipat kain. Selepas selesai saya ke bilik Syafiqah tetapi dia sudah tiada dalam bilik,” katanya.

Menurut Siti Rahmah, seorang rakan anaknya dikenali sebagai Aidil memberitahu dia menghantar Syafiqah dan Siti Nurbaiyah menaiki bas di Klang Sentral.

Sementara itu, Ibu Nurbaiyah, Haslina Hassim, 47, terkejut apabila pihak pengurusan Klang Sentral menemui beg pakaian anaknya di surau.

Ujarnya, dia tidak menolak kemungkinan Siti Nurbaiyah dilarikan individu berdasarkan perbualan WhatsApp anaknya bersama rakan sekolah.

Haslina memberitahu, dia dan Siti Rahmah membuat laporan kehilangan anak mereka di Balai Polis Kuala Selangor jam 11 pagi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan dua remaja berkenaan Ahad lalu.

Artikel lain:

Cemerlang setiap kali peperiksaan, guru ini gariskan tujuh panduan untuk diikuti

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi

Guru ini perkenal teknik ‘ulat beluncas hijau’ bantu murid menulis karangan dengan baik