SHAH ALAM - Dua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 yang pernah menggemparkan negara akibat kesilapan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kini berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menerusi panggilan kedua hari ini.

Nur Ilham Sofiyah Mohd Fauzilan, 18, dan Nur Syahirah Natasha Mohd Nor, 18, yang sebelum ini disahkan gagal dalam subjek Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah masing-masing mendapat A- dan A dalam subjek berkenaan setelah semakan semula dibuat.

Dua pelajar itu kini akan mengikuti jurusan Tamhidi Perakaunan dan Muamalat selama setahun.

Bapa Nur Ilham Sofiyah, Mohd Fauzilan Mat Nor, 57 berkata, anaknya sangat gembira kerana berjaya masuk ke universiti idamannya.

"Walaupun ini panggilan kedua, tapi saya sebagai bapa sangat bersyukur. Berkat doa tak putus daripada semua pihak, akhirnya Nur Ilham Sofiyah dapat ke USIM.

"Alhamdulillah dan jutaan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan pihak USIM kerana memberi peluang kepada anak saya dan rakannya," kata Mohd Fauzilan.

Berkongsi serba sedikit mengenai proses pendaftaran di USIM, Mohd Fauzilan berkata, segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.

"Pendaftaran bermula jam 9 pagi hari. Mahasiswa senior cukup membantu mahasiswa yang baru melaporkan diri. Selesai pendaftaran, kesemua mahasiswa baru di bawa ke asrama dan kemudiannya mengikuti sesi orientasi," ujarnya.

Nur Ilham Sofiyah berharap, dia dan rakannya memperoleh biasiswa kerajaan atau tajaan swasta.

Nur Ilham Sofiyah (kanan) bersama sahabatnya, Puteri Nur Natasha Adila Maskuri, juga dari SMK Seksyen 18 yang turut berjaya melanjutkan pelajaran ke USIM.

Sementara itu, bapa Nur Syahirah Natasha, Mohd Nor Sapian berkata, pihak USIM menghubunginya pada pagi Khamis, 27 Jun dan menyatakan bahawa anaknya itu sudah boleh membuat semakan keputusan pengambilan pelajar USIM di laman web USIM.

"Bila dapat panggilan tu, saya memang sangat terkejut.

"Saya terus beritahu Nur Syahirah Natasha agar cepat-cepat buka laman web dan semak keputusan," katanya.

Nur Syahirah Natasha yang bakal mengikuti pengajian Tamhidi Perakaunan dan Muamalat selama setahun di USIM akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah selama empat tahun kelak.   

"Saya amat berterima kasih kepada USIM kerana menerima anak saya untuk belajar di sini.  

"Juga saya berterima kasih kepada GPS Bestari kerana menyiarkan isu 'Dua lepasan SPM ini terkejut subjek Gagal, rupa-rupanya A setelah semakan semula dibuat' sehingga mendapat perhatian KPM dan USIM. Terima kasih banyak-banyak," ujarnya.

Sementara itu Nur Syahirah Natasha ketika dihubungi berkata, dia sangat gembira dapat melanjutkan pengajian dalam bidang yang dicita-citakan.

"Saya sangat gembira diterima masuk ke USIM, saya juga harap dapat tajaan daripada mana-mana agensi untuk menyambung pengajian," katanya.

Terdahulu, GPS Bestari pernah menyiarkan dua artikel bertajuk 'Dua lepasan SPM ini terkejut subjek Gagal, rupa-rupanya A setelah semakan semula dibuat' bertarikh 30 April 2019 dan 'Saya harap pihak USIM timbang kemasukan anak.. keputusan SPM dia dah berubah.' - Bapa bertarikh 1 Mei 2019. Kedua-dua artikel tersebut telah mendapat liputan meluas.  

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua lepasan SPM ini terkejut subjek Gagal, rupa-rupanya A setelah semakan semula dibuat

'Saya harap pihak USIM timbang kemasukan anak.. keputusan SPM dia dah berubah.' - Bapa