Seramai 36 mahasiswa dari Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menjalani latihan praktikum 15 Februari ini, di sekolah-sekolah terpilih seluruh Semenanjung Malaysia.

Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, UUM, Prof Madya Dr Yahya Don berkata, kesemua mahasiswa telah diberitahu tentang perkara ini dan ia sememangnya perlu dilakukan juga walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.  

“Sudah dua semester tertangguh. Jadi saya kira, kita perlu hantar juga mereka menjalani latihan praktikum.

“Alhamdullilah, penuntut yang berkenaan telah diberi kebenaran oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menjalani latihan praktikum dan ini adalah berita yang sangat menggembirakan,” katanya ketika majlis Penyerahan Buku Rekod Pengajaran kepada mahasiswa, baru-baru ini.

Turut hadir, Penyelaras Program Praktikum, Dr Nor Hasmimah Ismail dan Dr Mohamad Syawal Narawi.

Dr Yahya berkata, siswa yang bakal menjalani latihan praktikum disaran menumpukan perhatian kepada calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pada 22 Februari ini.

“Mereka perlu menyesuaikan diri dan mencari kaedah baru untuk mengajar dengan lebih berkesan seterusnya menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara,”ujarnya.

Sementara itu, beberapa mahasiswa yang ditemui melahirkan syukur dan berterima kasih kepada UUM kerana berjaya mendapatkan kebenaran dari KPM dan JPN untuk menempatkan mereka di sekolah terpilih.

‘Sangat bertuah kerana setelah dua semester tertangguh, kini kami dapat menjalani latihan praktikum,” kata Izzah Mohamad Zaki 26 dari Pendang, Kedah.

Manakala rakannya, Nur Hazirah Azhar pula berjanji akan menjaga nama baik UUM dan membantu pihak sekolah untuk meningkatkan jati diri pelajar terutamanya, kerana kebanyakan mereka mungkin memerlukan semangat dan bimbingan setelah setahun pembelajaran di sekolah tertangguh dan tidak dapat dijalankan pengajaran secara bersemuka.

Artikel menarik

Peperiksaan dijadualkan semula: Hanya calon ada pengesahan akan dibenarkan

Pelajar cemerlang ACCA UITM intai peluang kerja di empat firma perakaunan terkemuka