Pelabuhan Klang - "Dulu, abang saya tak pernah lulus Bahasa Melayu dan Sejarah, tapi dia berubah mendadak setelah ikuti program ini dan lulus subjek itu dalam SPM."

Mungkin ada yang ingat ini iklan suplemen minda atau program berbayar ribuan ringgit apabila baca ayat di atas, sebenarnya sangkaan itu, tidak benar sama sekali. Itu adalah pengakuan seorang pelajar yang menyertai Program Kristal, Perkampungan Ilmu SMK Dato’ Hamzah dengan hanya yuran penyertaan RM30.

Program yang diadakan itu memberi kesan besar kepada pelajarnya, hingga pihak sekolah anjurkan lagi tahun ini. Bertempat di Kompleks Rakan Muda Sementa, 40 pelajar Tingkatan Lima yang dikategorikan sederhana menyertai Program Kristal, Perkampungan Ilmu SMK Dato’ Hamzah, selama tiga hari bermula 28 Jun lalu.

Pelajar ketika diberikan penerangan dan pendedahan berkenaan cara menjawab soalan dengan betul.

Program yang diadakan setiap tahun itu anjuran Unit Kurikulum SMK Dato Hamzah, dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu turut disertai 14 guru.

Penyelaras program yang juga guru Bahasa Inggeris, Kanga Devi Kangayatkarasu berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknik menjawab soalan dan cara berkesan belajar dalam suasana kondusif.

"Memandangkan semua peserta dalam kategori sama, pelajar ini tidak malu untuk bertanya. Daripada komunikasi dua hala yang berlaku kami dapat meningkatkan keyakinan pelajar untuk berhadapan dengan peperiksaan, kelak," katanya.

Menurut beliau, program yang diselitkan dengan aktiviti riadah dan kerohanian, selaras dengan falsafah Pendidikan Negara itu memberi kesan besar kepada pelajar.

“Mereka sangat bijak dan pandai berdikari, ada pelajar sanggup menggunakan duit raya untuk membayar yuran penyertaan sebanyak RM30, tanpa mahu membebankan ibu bapa,” katanya.

Pada program tersebut, pelajar telah berikrar untuk belajar dengan lebih gigih dan meningkatkan usaha untuk mengulang kaji pelajaran demi mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Cikgu Kanga Devi Kangayatkarasu bersama Pengetua, Cikgu Sahrudin Kasman.

Kata Cikgu Kanga Devi, salah seorang pelajar turut berkongsi bahasa abangnya yang mengikuti program berkenaan tahun lepas telah berubah dan menjadi seorang yang sangat komited untuk belajar.

"Sebelum ini, abang pelajar tersebut  tidak pernah lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah tetapi dalam keputusan SPM tahun lepas, abangnya berjaya mendapat keputusan yang baik,”jelasnya.

Slot Geografi bersama Cikgu Ramani Muthusamy.

Sementara itu, Pengetua, Sahrudin Kasman dalam ucapan  perasmiannya puas hati dengan keberkesanan Program Kristal, Perkampungan Ilmu SMK Dato’ Hamzah.

"Pada tahun 2017, semua pelajar yang menyertai program ini telah lulus SPM, dan hampir 3/4 daripadanya telahpun berjaya melanjutkan pelajaran ke politeknik dan juga pusat pengajian tinggi.

“Diharapkan program ini menjadi suntikan untuk pelajar berjaya dalam SPM. Ambil iktibar, terus berusaha, dan jangan berputus asa untuk cemerlang dalam SPM,” katanya.