Gagal hari ini, tak bermakna akan gagal selamanya. Ternyata kesedihan masa lalu menjadi pemangkin kejayaan kepada penerima Anugerah Inspirasi 60 Wanita Nona 2016 ini untuk berjaya.

Berada di tingkatan 4, Sekolah Menengah Teriang Hilir Jelebu, Negeri Sembilan

Kisah inspirasi wanita bernama Norhawaty Mansor ini cukup mengujakan. Baginya, kegagalan dan kepayahan dahulu adalah permulaan untuknya kecapi kejayaan hari ini.

Dulu, wanita asal Pahang ini pernah diketawakan oleh rakan sekolah kerana sebutan bahasa Inggerisnya yang berbunyi pelik. Malah, setiap kali peperiksaan, markah subjek bahasa Inggerisnya juga sering kali gagal, termasuklah ketika keputusan SPMnya.

Ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sg Marong, Bentong Pahang.

Namun, bekas pelajar SMK Teriang Hilir Jelebu, Negeri Sembilan ini tidak pernah patah semangat. Sebaliknya dia terus bangkit dan berusaha semampu boleh.

Menurut Norhawaty atau lebih mesra dengan sapaan Waty ini, dia tidak pernah malu dengan pendidikannya yang hanya SPM. Bahkan, dia akan menjawab dengan tenang, sekiranya ada yang datang bertanya tentang tahap pendidikannya.

Ujar ibu kepada empat cahaya mata ini lagi, walaupun keputusan SPMnya agak baik, namun disebabkan dia GAGAL dalam subjek Bahasa Inggeris, impiannya untuk ke menara gading terpaksa dilupakan. Kegagalan itu sama sekali tidak membolehkannya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Norhawaty bersama ayahnya, Mansor Muhammad dan emaknya, Selmah Ismail.

“Keluarga, terutama ayah dan emak memang terkilan pada mulanya, tapi mereka reda dan sentiasa mendoakan serta menyokong apa yang saya buat. Biarpun saya tidak berjaya ke universiti, tapi saya ada cara tersendiri untuk cipta kebahagiaan dan kejayaan. Salah satunya adalah dengan berniaga… Saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang, dan ingin membuktikan hanya dengan SPM, seseorang itu juga boleh berjaya setanding orang lain,”katanya.

“Perniagaan pertama saya adalah membuka butik pakaian pada tahun 2000-2006, kemudian pada tahun 2007 - 2012, saya beralih arah dengan membuka pusat jualan kereta baru dan terpakai. Terkini, pada tahun 2013 sehingga sekarang, saya cabar kemampuan diri dengan membuka sebuah pusat bahasa pula,”jelas Pengasas dan juga Presiden Pusat Bahasa Premium, yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Suaminya, Hosiny Mohamed Hosiny Saad banyak memberikan kekuatan dan juga sokongan

Ya Pusat Bahasa Premium, satu-satunya wanita Melayu, yang dahulunya pernah ditertawakan kerana tidak tahu berbahasa Inggeris kini berjaya membuka sebuah pusat bahasa khas untuk pelajar dalam negara dan luar negara.

“Saya memang minat Bahasa Inggeris, cuma ketika bersekolah di kampung, saya mempunyai kekangan untuk berani bercakap. Selepas berhijrah ke kuala lumpur, dan rata-rata orang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, barulah saya ada keberanian untuk menuturkannya,”ujarnya.

Bersama kakitangan Pusat Bahasa Premium

Menurut Norhawaty, ‘Language is a skill’ perlu sentiasa dipraktikkan sepanjang masa. Malah, dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama ketika komunikasi, membuatkan wanita kelahiran Bera ini kini mampu menuturkannya dengan baik.

“Pelajar-pelajar saya terdiri daripada pelajar asing, dan ia mewajibkan saya untuk bercakap dalam bahasa Inggeris ketika bersama mereka. Malah, dalam urusan kerjasama dan kolaborasi bersama Universiti-universiti awam juga, saya lebih senang berbahasa Inggeris ketika berbincang dan bermesyuarat. Tambahan pula suami saya, Hosiny Mohamed Hosiny Saad, berbangsa Egypt, maka sudah tentulah bahasa itu menjadi bahasa utama kami di rumah,”jelas beliau panjang lebar.

Tandatangan MOU dengan Fujairah

Bercerita tentang tercetusnya ilham untuk mewujudkan pusat bahasa, Waty berkata, ilham itu muncul ketika masih berkecimpung dalam bisnes jualan kereta baru dan terpakai.

“Client-client saya terdiri daripada pelajar-pelajar Antarabangsa yang kebanyakkannya menggunakan bahasa perantara iaitu bahasa Inggeris. Pada masa itulah timbulnya minat untuk belajar bertutur dalam bahasa Inggeris, seterusnya mendapat idea untuk memulakan perniagaan pusat bahasa,”ujarnya.

Pusat bahasa milik wanita berusia 41 tahun ini bukan sahaja menjalinkan kerjasama dengan beberapa IPTA/IPTS tempatan, bahkan turut mendapat sokongan penuh daripada kedutaan dari timur tengah bagi kemasukan pelajar asing ke Malaysia.

“Saya rasa amat bersyukur kerana pusat bahasa saya ini telah diberi penarafan empat (4) bintang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, iaitu Pemeriksaan Standard Kualiti Institusi Pendidikan Swasta (SKIPS) Pusat Bahasa.

“Malah, sepanjang tempoh penubuhannya, kami juga turut mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyediakan kelas bahasa Melayu kepada pelajar Antarabangsa,”katanya.

Ujar wanita ini lagi, untuk berjaya, dia perlu melalui pelbagai cabaran dan halangan. Misalnya ketika menjalankan perniagaan kereta terpakai beberapa tahun dulu. Ketika itu, perniagaannya yang 100% bumiputera terpaksa berhadapan dengan pesaing yang terdiri daripada foreigner. Bahkan, waktu itu tidak ramai orang Melayu, khususnya Wanita berani untuk menerajui perniagaan sepertinya.

"Saya merupakan bumiputera pertama yang menjalankan perniagaan kereta terpakai di Selayang. Jatuh bangun saya dalam perniagaan waktu itu adalah pengalaman yang tak ternilai dan saya jadikan semangat untuk saya lebih berusaha dan maju ke hadapan,"katanya.

Untuk melahirkan pusat bahasa yang gah seperti sekarang ini bukanlah mudah, lebih-lebih lagi untuk mewujudkan pusat bahasa yang mengajar Bahasa Malaysia kepada pelajar asing yang ingin menyambung pengajian di sini. 

"Saya pernah dicabar dan ditanya oleh seseorang yang mengajukan soalan kepada saya “mengapa buka pusat bahasa dan ingin mengajar bahasa Melayu kepada pelajar asing?” Hal ini meyakinkan saya bahawa, untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan pelajar tempatan, dan juga menjadi keperluan kepada pelajar ini jika ingin melanjutkan pelajaran ke IPTA/IPTS tempatan, saya harus realisasikan impian untuk wujudkan pusat bahasa.

"Bahkan kini, Pusat Bahasa Premium adalah yang pertama mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyediakan kelas Bahasa Melayu kepada pelajar Antarabangsa. Tambahan pula, kerajaan telah meletakkan syarat, semua pelajar asing yang mahu belajar di sini perlu ada basic yang baik dalam Bahasa Melayu sebelum melanjutkan pengajian ke universiti tempatan,"katanya

Pusat Bahasa Premium miliknya bukan sahaja mendapat pengesahan sebagai pusat pendaftaran pemeriksaan dan juga ejen bagi IDP ( IELTS Australia – Test Centre, IDP Education Ltd, Malaysia). Malah turut mendapat kelulusan sebagai pusat pemeriksaan dan persediaan MUET (Malaysian university English test) daripada Majlis Peperiksaan Malaysia.

 

Link Berkaitan:

Hanya praktis sehari, pelajar ini tak sangka jadi johan pidato peringkat dunia

Murid lain bersesak untuk pulang ke rumah tetapi dia bergegas ke surau untuk solat..Allahuakbar

"Cikgu, ni parut kawan mak cucuh dengan besi panas.. hampir setiap malam saya tidur di bilik air"

Kebolehan Faris dapat respon guru bahasa Arab - Ini komen mereka

'Budak ni biar betul?' - Hadiah hari guru buat cikgu ini terus capai minyak cap Kapak