TERKEJUT dan tergamam.

Itulah reaksi pertama yang dapat dilihat pada wajah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Noor Hayati Embong apabila membuka pintu biliknya di sekolah tersebut, 30 Ogos lalu.  

Dialog seperti

"Allahuakbar, Allahuakbar, eh betul ke ni sekolah ni? Betul ke SMK Saujana Utama ni? Saya salah sekolah nie...saya salah sekolah nie. Ya ALLAH, Subhanallah".

Beliau yang baru sahaja pulang daripada menyertai Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke 26 Tahun 2019 Institut Aminudin Baki pada 27 hingga 29 Ogos lalu, di Universiti Putra Malaysia, Serdang, tidak mampu untuk berkata apa-apa.

"Saya sangat hargai apa yang dilakukan ini. Doa saya, agar ALLAH memberi kerahmatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat buat kita semua, insya- Allah," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Panitia Bahasa Inggeris, Rosilawati Muanam ketika dihubungi GPS Bestari berkata, kejutan 'makeover' bilik Cikgu Noor Hayati itu, sememangnya sudah dirancang daripada awal lagi.   

"Beliau seorang pengetua yang sangat disayangi oleh warga sekolah. Seorang yang cakna kepada sebarang permasalahan di sekolah dan cukup dihormati dan disegani.

"Sebagai tanda penghargaan, kami sepakat untuk buat kejutan ketika beliau pergi 'out station' selama tiga hari di UPM. Harapnya pengetua gembira," katanya.

Ubahsuai bilik pengetua diketuai Ketua Unit 3K, Cikgu Siti Rubiahtuliza Ahmad Tajudin dan beberapa rakan guru yang lain.

Masing-masing telah dibahagikan tugas seperti mencari tukang cat, membeli perabot dan perhiasan serta menjahit skirting kusyen.

Antara barangan yang telah ditukar adalah cat, susun atur, sofa dan meja banquet.

Cikgu Rosilawati yang bertindak sebagai perakam video pada hari penuh makna itu, sangat berharap Cikgu Noor Hayati akan lebih lama berkhidmat di SMK Saujana Utama.

"Dan terus mengekalkan sifat kasih sayang, cemerlang, tegas, prihatin atas apa jua perkara yang berlaku di sekolah dan terus diberikan kesihatan yang baik agar boleh menyumbang kepada dunia pendidikan," katanya.

Artikel Menarik:

'Mak, lepas balik New Zealand ni ingat nak duduk rumah baru' - Kata terakhir Cikgu Anita buat ibu

'Pak Din 'trending' di Twitter' - Ini jawapan pengetua SMK Convent Bukit Nanas

Cikgu ini wujudkan kebun sayur depan rumah hingga buat ramai tak sabar nak petik

Hebat betul Cikgu ni, hasil mekapnya bagaikan juru mekap kesan khas profesional

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma