Lokasi sekolah yang terletak jauh di pedalaman tidak mematahkan semangat guru-guru untuk memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dapat dilaksanakan dengan sebaiknya sekali gus bagi mengelakkan murid tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Kuala Muput, Tatau, Bintulu, Sarawak, Cikgu Mohd Nizar Abd Latib berkata, PdPR dijalankan sekolahnya adalah secara luar talian dengan menggunakan modul pembelajaran yang diberikan kepada murid.

Beliau berkata, pendekatan tersebut adalah kaedah terbaik untuk dipraktikkan memandangkan murid yang berada di rumah panjang tidak memiliki akses perhubungan seperti talian telefon dan internet.

“Pada bulan lalu hingga awal bulan ini, sekolah kami berhadapan dengan situasi banjir sebanyak lima kali berikutan hujan lebat sepanjang hari dan ia sedikit menyukarkan proses PdPR ini kerana tidak dapat edarkan modul ke rumah panjang.

“Pada waktu ini, pihak pentadbir memaklumkan kepada ibu bapa mengambil modul PdPR di sekolah. Namun, kami mendapati hanya sebilangan kecil ibu bapa mengambil modul disebabkan jalan balak (jalan akses ke sekolah) licin kerana kerap hujan serta banjir,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Bagi memastikan murid tidak tercicir dalam pelajaran, Cikgu Mohd Nizar berkata, guru-guru komited menghantar modul PdPR ke rumah murid meskipun lokasinya agak jauh dari kawasan sekolah.

“Disebabkan rumah-rumah panjang ini jauh, kami bahagikan kepada tiga zon iaitu satu zon menggunakan jalan air (perahu) dan dua zon jalan darat yang dibahagikan kepada rumah panjang serta kem balak.

“Sokongan ibu bapa dan komuniti di sini sangat baik. Ada yang turut bercerita pengalaman mereka menjadi guru di rumah, mengajar anak-anak mereka. Ada juga yang memasang generator pada waktu siang untuk memberi laluan anak-anak menonton saluran TV Pendidikan,” ujarnya.

Menurut Cikgu Mohd Nizar, kekangan dan cabaran dilalui tidak sekali-kali mematahkan semangatnya dan guru-guru lain untuk memastikan murid dapat terus belajar serta memperoleh ilmu pengetahuan dengan sebaiknya.