SHAH ALAM - KPM sememangnya prihatin terhadap guru-guru yang mengajar bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di semua negeri.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata guru-guru juga seperti penjawat awam yang lain yang layak untuk menerima pelbagai elaun perkhidmatan awam.

"Khusus bagi guru yang berkhidmat di pedalaman, kerajaan memberikan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Elaun Tetap Perumahan (ITP).

"EKMLTK ditetapkan pada kadar RM500 untuk sekolah pedalaman kategori Pedalaman 1, sebanyak RM1000 untuk sekolah pedalaman kategori Pedalaman 2 dan RM1500 untuk sekolah pedalaman kategori Pedalaman 3," katanya ketika menjawab isu berkaitan guru yang berkhidmat di Sarawak dibangkitkan oleh Lukanisman Awang Sauni (Adun Sibuti, Sarawak).

Kata Maszlee, guru-guru di sekolah pedalaman pula menerima BIP pada kadar 10% daripada gaji bulanan berdasarkan kawasan yang diiktiraf oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Selain itu, terdapat juga guru yang layak dibayar ITP pada kadar penuh jika kuarters yang didiami tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri. Kerajaan bagaimanapun akan terus mengkaji elaun-elaun yang diterima oleh pegawai kerajaan dari semasa ke semasa.

"Kadar pemberian EKMLTK bagi sekolah pedalaman juga akan dikaji semula oleh Jabatan Pendidikan Negeri berdasarkan kemajuan di sesebuah kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan perbahasan rang undang-undang perbekalan 2020 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Artikel lain:

Insentif kepada guru yang menyambung pengajian ke peringkat master dan PhD

'Bantuan Umum, Bantuan Khusus dan Bantuan One-Off' - peringkat sekolah rendah dan menengah

KPM akan terus pastikan murid mendapat bantuan dan sokongan pendidikan relevan dengan keperluan

Biasiswa diberikan pelajar yang layak tanpa kira kaum, agama dan geografi

'Kebajikan anak-anak kurang upaya amat dekat di hati saya' - Maszlee