MELAKA - Seramai enam orang murid menerima rawatan di klinik kesihatan selepas mengalami mual dan pening akibat tumpahan raksa daripada satu termometer yang pecah di Sekolah Rendah Islam Seri Ar-Rahmah Solok Gaung, Ayer Molek di sini.

Difahamkan dalam kejadian pada jam 11 pagi itu, terdapat 25 orang murid tahun lima sedang mengikuti mata pelajaran sains di dalam bilik darjah kerana sekolah berkenaan dikatakan tidak mempunyai kemudahan makmal sains.

Termometer yang digunakan ketika sesi pembelajaran telah terjatuh lalu pecah.

Guru terlibat telah bertindak menghubungi pihak bomba untuk memindahkan kesemua murid ke sebuah surau di sekolah menengah berhampiran kerana bimbang kesan yang mungkin berlaku akibat tumpahan merkuri itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil Penolong Kanan Penguasa Bomba Alias Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.17 tengah hari dan sampai di lokasi kejadian 11 minit kemudian.

Menurutnya, sebuah jentera bomba serta van Bantuan Perkhidmatan dan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi.

“Anggota bomba bertindak pantas dengan melakukan kuarantin, sebelum proses menyahcemar bagi memastikan semua mangsa bebas daripada pencemaran raksa.

“Enam murid yang mengalami mual dan pening dihantar ke Klinik Kesihatan Ayer Molek menggunakan jentera EMRS dan ambulans,” katanya.

Katanya, kerja menyahcemar di lokasi kejadian selesai pada jam 12.53 tengah hari.

Baca:

'Sayalah guru pengiring yang didakwa di mahkamah'

Komen bernas Datuk Jalil mengenai isu guru rotan pelajar setelah digekar 'cikgu pondan'

Bekas pelajar berbilang kaum bangkit tunjukkan sokongan, ini pandangan Cikgu Korea

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan