KUALA BESUT - Keluarga murid tahun dua yang dilaporkan hilang sejak Isnin baru-baru ini berharap tidak ada perkara buruk berlaku dan semoga dapat ditemui dengan segera dan selamat.

Saifuddin Mohammad, 15, abang kepada Muhammad Saiful Aiman Mohammad berkata, dia dan beberapa anggota keluarga telah cuba menjejaki adiknya yang dipanggil ‘Eman' itu hampir di seluruh kawasan Kampung Gertak Seratus, di sini tetapi masih belum menemuinya.

"Entah di mana Eman, kami sekeluarga terlalu risau, moga cepat ditemui dan tiada perkara buruk berlaku,” katanya.

"Saya tahu dia tidak pergi ke sekolah hari itu… jadi Eman tinggal seorang diri kat (di) rumah tu sebab mak kerja, saya pulak pergi ke sekolah.

"Bila saya sampai rumah (pulang dari sekolah)… Eman tak ada di situ dan saya anggap dia bermain di rumah kawan-kawannya tetapi rupa-rupanya sampai sekarang tak muncul-muncul,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, ibu mereka, Siti Ruziana Sidek, 35, berkata jirannya ada melihat kelibat Eman, yang bersekolah di sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut 2, keluar dari rumah kira-kira jam 9 pagi dan membeli nasi di gerai hadapan rumah pada hari kejadian.

Ibu tunggal, yang kematian suami tiga tahun lepas itu berkata, pelbagai maklumat telah disampaikan kepadanya susulan kehilangan Eman, namun bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan bimbang akan keselamatan anaknya, dia bertindak membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut , kira-kira jam 11 malam, Isnin lalu.

Katanya, ada juga pihak yang memaklumkan terlihat Eman menaiki sebuah kereta menghala ke arah Tok Bali, Pasir Mas, Kelantan.

Anaknya dikatakan berada di sebuah kafe siber di sekitar kampung kira-kira jam 5 petang hari kejadian, sebelum menaiki sebuah kereta Perodua Kancil.

Pada hari kejadian Siti Ruziana bekerja di sebuah kilang memproses ikan di Kampung Pachakan, di sini dan hanya pulang ke rumah sekitar jam 4.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi berkata sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada kes kehilangan Eman mempunyai kaitan dengan kes culik atau tidak, namun operasi mengesan mangsa sedang giat dijalankan.

Malam tadi, polis mengeluarkan kenyataan meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan kanak-kanak terbabit, yang dilihat kali terakhir memakai jersi bola sepak Malaysia dengan corak belang kuning hitam.

Muhammad Saiful Aiman berketinggian 135 sentimeter dengan berat 35 kilogram, berambut pendek, mata berwarna hitam, kulit hitam manis, berbulu kening halus, mata sepet dan memiliki bibir nipis.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu diminta menghubungi Balai Polis Besut di talian 09-6956222, atau Inspektor Siti Fatimah Mohd Said di talian 013-4579857. - BERNAMA

Baca:

'Tariklah saya ke syurga' - Pesan Cikgu Khairul dalam video tular peluk murid Pendidikan Khas

Ibu nak anak cepat pandai, mungkin enam teknik orang Jepun didik anak ini boleh bantu

SK Bakong raih keuntungan RM15,000 setahun - Tukar kantin sekolah jadi bangsal cendawan

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Dua pelajar yang berubah keputusan SPM selepas semakan semula daftar masuk ke USIM hari ini