ALOR LINTANG - Gangguan histeria yang berlarutan hampir dua minggu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud 2, di sini, berakhir  kelmarin.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab Halim Hassan berkata, kali  terakhir kejadian pelajar dan guru sekolah itu diserang histeria pada waktu persekolahan ialah pada Isnin lalu melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan 2.

Menurutnya, sehari sebelum itu, hanya seorang  pelajar perempuan diserang histeria berbanding sebelumnya membabitkan antara lima hingga lebih
sepuluh orang pada satu-satu masa.

"Perkembangan positif ini berlaku selepas pihak sekolah  mengadakan solat hajat disertai guru dan ibu bapa  yang diadakan di surau sekolah pada hari Khamis malam Jumaat minggu lepas,” katanya.

Ab Halim berkata, beliau  dimaklumkan kejadian terakhir pada hari Ahad dan  Isnin juga hanya berlaku untuk tempoh singkat iaitu sekitar satu hingga dua minit sahaja.

Menurutnya, pihak sekolah mengambil tindakan membawa keluar pelajar terbabit dari kawasan sekolah iaitu ke kawasan pondok pengawal dan didapati  masalah tidak berjangkit kepada pelajar lain selain pelajar terkena histeria kembali pulih dalam tempoh yang singkat.

Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan laporan mengenai kejadian  histeria yang menyerang pelajar dan guru sekolah tersebut minggu lepas.