KUALA LUMPUR - Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) buat murid berkeperluan khas perlu berkonsepkan ‘fun-learning’ walaupun dijalankan secara dalam talian agar mereka tidak tercicir sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Seorang guru pendidikan khas, Ramlan Salim, 57, berkata pendekatan itu perlu memandangkan murid berkeperluan khas cenderung untuk cepat jemu, bosan dan penat dengan sesuatu perkara yang dilakukan.

"Paling lama bertahan mungkin dalam 15 minit. Jadi, kita yang perlu ikut ‘mood’ mereka,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, katanya guru perlu merancang kaedah PdP yang lebih kreatif seperti perbanyakkan latihan dalam bentuk video, muzik mahupun audio visual sebagai terapi fizikal selain pelbagai latihan bertulis yang menarik.

Ramlan, yang mengajar di sebuah sekolah rendah pendidikan khas di Hulu Langat, berkata murid berkeperluan khas ini terdiri daripada banyak masalah pembelajaran seperti sindrom down, autistik, lembam, ‘multiple disabilities’, cerebral palsy dan lambat perkembangan.

Beliau berkata secara asasnya, murid sudah biasa dengan latihan bertulis atau terapi fizikal di sekolah.

"Tetapi, sekarang persekitaran mereka adalah di rumah dan yang membantu mengajar adalah ibu bapa. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan fokus murid berkenaan akan berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Radin Hashimah Radin Hassan, 53, pula memanfaatkan slot program TV Pendidikan yang disediakan Kementerian Pendidikan.

"Ia boleh diikuti oleh mereka yang boleh menerima arahan dan yang memang suka belajar, terutama bagi murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Inklusif dan lembam, dengan arahan mudah daripada guru," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak, Amir Hamidi Abdul Manan, 42, mencadangkan kandungan program TV Pendidikan ditambah baik dengan menyediakan sisipan khidmat jurubahasa isyarat bertauliah di bahagian bawah sudut kanan skrin televisyen seperti yang terdapat dalam siaran berita Nasional 8, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau berkata kemudahan itu akan membolehkan golongan murid berkeperluan khas khususnya orang kurang upaya (OKU) pendengaran tidak tercicir ketika menerima proses pembelajaran dalam tempoh PKP ini.

"Sukatan pelajaran yang disediakan sudah mencukupi dan memadai, namun mungkin perluasan akses itu perlu dilakukan terutamanya untuk dinikmati oleh murid pekak. Jadi, adalah lebih baik sekiranya disediakan penterjemahan bagi setiap kandungan pelajaran dengan menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM),” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan:

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid Tahap Dua kuasai

Bina animasi guna aplikasi FlipaClip. Perkongsian menarik Cikgu Fazli BioSensei

Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video

Hafal dalam masa sehari sepanjang rtempoh PKP,  murid pasti mahir sifir 1 hingga 12

Praktis rutin asas pendidikan digital