Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah akan diedarkan mulai hari ini bagi membolehkan pihak sekolah dan guru-guru membuat persediaan sewajarnya, kata Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, garis panduan berhubung pergerakan pelajar di dalam sekolah bermula daripada setibanya pelajar itu di sekolah hingga mereka pulang telah dihasilkan secara terperinci bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita keluarkan garis panduan ini bagi melihat apakah kaedah yang perlu dilakukan dalam konteks pembukaan sekolah dan persiapan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak sekolah bagi memastikan bila sahaja kita umumkan pembukaan maka setiap sekolah telah bersedia.

“Kementerian sentiasa berbincang dengan pihak sekolah mengenai ruang yang boleh ditambah baik dalam garis panduan itu. Apa yang penting semua pihak mainkan peranan iaitu pengurusan sekolah, guru dan ibu bapa. Misalnya, jika anak bergejala, mereka tidak perlu hantar ke sekolah,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kanan berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Semenyih di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Mohd Rabin Basir dan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.Mohd Radzi berkata, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan memainkan peranan memantau sekolah bagi memastikan garis panduan yang disediakan dipatuhi.

“Saya juga akan singgah di sekolah-sekolah untuk melihat pelaksanaan garis panduan yang telah diadakan dan kita yakin pihak pengurusan sekolah dan juga guru akan bantu kementerian agar garis panduan ini akan dipatuhi,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, ibu bapa tidak perlu risau menghantar anak mereka ke sekolah selain perlu memainkan peranan mendidik anak-anak mendisiplinkan diri sekurang-kurangnya dengan sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial.

Ditanya mengenai bila sesi persekolahan akan bermula, beliau menegaskan, setakat ini masih tiada tarikh yang ditetapkan dan pihaknya bekerjasama rapat bersama KKM dan MKN untuk memutuskan perkara itu.  

“Apabila KKM dan MKN merasakan sudah sampai masanya sekolah dibuka maka kita akan umumkan dua minggu sebelum ia dibuka, kami belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembukaan sekolah,” katanya.

Menurutnya, pembukaan sekolah kelak hanya melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan 6 dengan hampir 3,000 sekolah menengah di seluruh negara yang akan dibuka. - Bernama            
 

Artikel berkaitan:

Kenali 15 guru hebat dan handal, ikuti perkongsian Cikgu Fadhli Salleh tentang mereka

Musim PKP: Gigih Cikgu Nazmi jelajah 13 kampung, hantar kerja sekolah murid

Aktiviti menyeronokkan yang anda boleh buat sepanjang PKP

PKP pun pelajar hantar kek sempena hari lahir cikgu, Cikgu Donze terharu terima kejutan

PKP bulan 'bulan madu' - Guru Cemerlang Matematik kongsi tip mudahnya belajar atas talian

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi