SHAH ALAM - Pemain pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 digesa untuk mempamerkan komitmen 100 peratus dalam pentas akhir Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari edisi keenam 2019 pada 12 Julai ini.

Pengurus dan Jurulatih pasukan berkenaan, Tahirul Azwan Tahirul Arifin berkata kejayaan anak buahnya melangkah ke peringkat akhir kejohanan itu sememangnya tidak dijangka dan para pemain perlu memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaiknya. Mentelahan pula mereka membawa nama Petaling Perdana yang pertama kali melangkah sejauh ini.

Tahirul berkata, walaupun lawan mereka mempunyai kelebihan di atas kertas, namun pihaknya percaya anak buahnya bakal mempamerkan aksi yang bersemangat seperti perlawanan separuh akhir sebelum ini.

"SMK Tinggi Kajang sememangnya mempunyai kelebihan memandangkan mereka adalah sekolah sukan berbanding kami yang hanya sekolah harian biasa.

"Namun saya percaya pemain kami mempunyai kelebihan dalam aspek semangat berpasukan dan bakal mencipta kejutan nanti,"katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Tahirul berkata pihaknya juga turut membuat persiapan bagi perlawanan akhir itu dengan menyusun strategi terbaik dan mengadakan latihan pada setiap hari.

Selain itu, dia berkata pasukan berkenaan juga kerap mengadakan perlawanan persahabatan bagi memantapkan barisan jentera dalam pertemuan tersebut. Turut membakar semangat ialah pasukan penyokong yang padu.

"Kita juga mahu tanam mentaliti kepada pemain agar tidak mengalah sebelum wisel penamat kerana peluang mereka untuk menang dalam kejohanan ini hanya selangkah sahaja lagi," katanya sambil mengakui saingan pada suku akhir menentang SMK Sekyen 9 yang dipimpin bekas pemain kebangsaan, Khalid Jamlus adalah yang paling mencabar namun lega dengan kemenangan penentuan penalti.

Aksi final kejohanan ini dijadualkan berlangsung di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada jam 8 malam 12 Julai ini.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah akan berangkat untuk menyaksikan perlawanan dan seterusnya berkenan menyampaikan hadiah.

Johan bakal merangkul piala dan membawa pulang wang tunai RM10,000 manakala naib johan RM8,000.

Kejohanan berprestij ini dikendalikan Jawatankuasa Induk kejohanan yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Maha Bijaya, Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir.

Kumpulan Perangsang Selangor merupakan penaja utama yang turut disokong Jabatan Pendidikan Selangor manakala Sinar Harian adalah akhbar rasmi kejohanan.

Berita lain:

Bagi mereka yang masih kurang jelas mengenai 1BestariNet - Ini penjelasan Ketua Setiausaha KPM

Lumpuh separuh badan, bekas pelajar SMK Sungai Abong cemerlang SPM ini nekad sambung di UTHM

'Pihak sekolah, ibu bapa perlu periksa bas sebelum sewa' - PPIK