BERDEPAN murid yang tiba-tiba bertindak agresif di dalam kapal terbang, perlu sentiasa pegang murid malah berdepan risiko murid mengamuk antara cabaran yang dihadapi guru pengiring ketika membawa murid Pendidikan Khas mengikuti rombongan sekolah ke Sabah.

Bukan perkara mudah tidak kiralah jarak lokasi itu dekat mahupun jauh, cabaran mengendalikan anak-anak istimewa ini memerlukan kesabaran tinggi.

Ia diakui sendiri oleh Cikgu Izyani Hayati Mohd Ruslan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 14 (1), Putrajaya.

Cikgu Izyani Hayati

Beliau yang juga guru Matematik dan Kemahiran Manipulatif berkata, guru-guru pengiring yang membawa rombongan berkenaan, perlu banyak bersabar.

"Ragam mereka kadang-kadang tak sama dengan murid normal yang lain. Jadi, guru-guru yang menyertai sesuatu lawatan, harus memainkan peranan," katanya.

Cikgu Izyani Hayati berkata, ada satu pengalaman menarik berkaitan lawatan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang pernah dikendalikan olehnya.

"Kira-kira 42 peserta termasuk guru, mengikuti lawatan sambil belajar dan lawatan Penanda Aras SK Kolombong, Sabah. Lapan daripada 42 peserta merupakan murid PPKI," katanya.

Ketika di Monsopiad Herittage Culture.

Tambah beliau, sesi lawatan berkenaan memerlukan rombongan menaiki kapal terbang dalam tempoh yang agak lama.

"Bila dalam kapal terbang, macam-macam perangai mereka terdapat tiga murid yang dikategorikan sebagai agresif tetapi masih dalam keadaan terkawal.

"Adam Rayyan Mohd Hafiz misalnya, perlu sentiasa dipegang, jika tidak dia akan berjalan sendirian ke mana sahaja yang dia ingini. Muhammad Wafiq Daniel Haikal David pula suka tentarum (mengamuk) sekiranya keinginan tidak dituruti manakala Muhammad Akif Humaidi Mohd Amin, suka mengkaji perkara baru.

"Saya masih ingat kejadian ketika lawatan ke SK Kolombong, Muhammad Akif Humaidi berlari ke luar sekolah untuk melihat suasana di luar sekolah. Jenuh juga kami mengejarnya. Alhamdulillah, semuanya masih dalam keadaan baik dan anak-anak istimewa ini sememangnya gembira kerana dapat merasai satu pengalaman baru," katanya yang juga Penyelaras Program Lawatan Sambil Belajar dan Penanda Aras PPKI.

Lawatan ke Sabah itu berlangsung tiga hari dua malam, Ogos lalu bertujuan membina keyakinan diri murid PPKI melalui aktiviti sosial yang bersesuaian, membuka minda mereka dengan suasana dan pengalaman yang baru menaiki kapal terbang serta sebagainya.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program berlangsung.

Antaranya, menaiki kapal terbang (terapi sensori dan stimulasi keseimbangan), melawat Muzium Sabah (terapi sosial) dan melawat Pasar Filipine (terapi sosial dan latihan jual beli).

Rombongan juga berpeluang ke Masjid Terapung Kota Kinabalu, Desa Dairy Farm, Mesilau Strawberry Farm dan lain-lain.  

 Murid dan guru ketika di Mesilau Strawberry Farm, Kundasang, Sabah.

Sebahagian murid Pendidikan Khas yang turut serta dalam lawatan tersebut.

 Rombongan singgah di Pekan Nabalu, Kota Belud.

Seronok murid-murid Pendidikan Khas ini dapat sertai lawatan ke Sabah.

REAKSI PESERTA

1) “Seronok sangat. Dapat kawan baru, pengalaman baru dan macam-macam lagilah. Kalau ada peluang, saya nak datang sini lagi.

Ammar Arsyad Nor Azizuddin, 10 tahun, Kelas Jasmin

2) “Dapat melawat tempat best. Rasa macam tak nak balik jer.

Muhammad Iman Firdaus Absar, 12 tahun, Kelas Asoka

3) “Ini kali pertama saya datang Sabah. Singgah di Strawaberry Farm, Desa Dairy Farm, Muzium Sabah dan macam-macam lagi, buat saya jatuh cinta dengan negeri ini.

Shanjev Ram a/l Subaram, 12 tahun, Kelas Asoka

Artikel Menarik:

Guru perlu sentiasa cungkil dan kesan bakat murid

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

I Force hasil inovasi guru Fizik ini menang pelbagai anugerah buatkan subjek Fizik semudah 1,2,3