TAIPING - Guru bukan opsyen bahasa Inggeris perlu menduduki peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) bagi melayakkan mereka mengajar bahasa berkenaan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memberi peluang kepada guru berkenaan dibenar mengajar bahasa itu selain perlu mempunyai tahap kelayakan penguasaan minimum C1 dalam kelayakan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

Ia juga bagi membolehkan guru berkenaan menukarkan opsyen masing-masing untuk mengajar bahasa Inggeris.

"Ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan guru bahasa Inggeris mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa itu. Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan guru yang berupaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

"Kerajaan juga bersedia memberikan latihan secara praktikal dan ‘online’ bagi meningkatkan tahap penguasaan dalam bahasa Inggeris," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ridwan dekat sini hari ini.

Teo berkata, pihak kementerian boleh memberikan latihan semula kepada guru bahasa Inggeris yang sedia ada bagi meningkatkan penguasaan bahasa itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Harry Tan Huat Hock semalam yang tidak bersetuju dengan arahan guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaan MUET dan meminta campur tangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

[ARTIKEL BERKAITAN: NUTP tidak setuju guru bahasa Inggeris duduki MUET]

Sebelum ini, Tan (NUTP) juga mengeluarkan kenyataan agar kementerian perlu melihat isu utama yang melanda sekolah adalah melibatkan masalah kekurangan guru bahasa Inggeris selain menggunakan guru bukan opsyen bahasa itu.

Arahan supaya guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET itu dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dalam satu pekeliling pada 14 April lepas, bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Mengenai lawatan di SMK Darul Ridwan, Teo telah meluluskan peruntukan berjumlah RM80,000 bagi membaik pulih dua blok bangunan dan sebuah kantin di sekolah itu yang uzur.

"Saya juga berterima kasih kepada Anggota Parlimen Taiping Teh Kok Lim dan Anggota Dewan Undangan Negeri Aulong Nga Kor Ming yang memperuntukan RM250,000 untuk membaiki laluan pejalan kaki dan kantin sekolah serta bangunan Blok B dan E yang sedang dibaikpulih," katanya. - Bernama    

Artikel lain:

Pelajar SMK Kompleks KLIA juara dunia pertandingan robotik antarabangsa di Turki

'Ayah hanya kerja kampung.. saya tak sangka doa dimakbulkan.' - Pelajar 10A dapat biasiswa MB Pahang

Teater Muzikal Aladdin SK Putrajaya Presint 8(2) projek PBD tonjol bakat murid (41 foto)