KECENDERUNGAN ibu-bapa menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz untuk meneruskan pelajaran peringkat sekolah menengah merupakan fenomena yang biasa di era zaman Revolusi Industri 4.0.

Menurut Guru Cemerlang Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Ustaz Ismail Salleh, segelintir ibu-bapa mengambil inisiatif menghantar anak mereka ke kelas hafazan dan kem teknik menghafaz anjuran pihak tertentu sebagai persediaan menghadapi temuduga bagi kemasukan ke sekolah-sekolah tahfiz terpilih.

"Antara sekolah tahfiz pilihan ibu-bapa adalah MRSM Ulul Albab, Sekolah Imtiyaz, Maahad Tahfiz Negeri dan sekolah SMKA Ulul Albab,"  katanya.

Ustaz Ismail

Atas kesedaran itu, Ustaz Ismail berkongsi beberapa tip dalam menghafaz al-Quran.

Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada penghafaz dan pembaca al-Quran sepertimana Hadis Nabi Riwayat At-Tarmizi yang bermaksud: Daripada Ibnu Mas’ud R.A katanya, Rasulullah SAW telah bersabda; "sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan di ganda sepuluhو Aku tidak bermaksud (alif-lam-mim) itu satu huruf, akan tetapi ALIF itu satu huruf, LAM satu huruf, dan MIM itu satu huruf."

"Di sini saya akan kongsikan satu tip atau kaedah penting untuk seseorang itu apabila hendak menghafaz al-Quran iaitu menggunakan pendekatan DTHT.

"DTHT bermaksud (Dengar, Talaqi, Hafaz, Tasmik) iaitu satu pendekatan hafazan menurut teori pengajaran al-Qabisi, iaitu seorang ulama Islam yang menekankan konsep pembelajaran hafazan menggunakan pancaindera iaitu mendengar (dengar), melihat (talaqi), hafaz (membaca) dan tasmik," katanya.

Tip dan kaedah menghafaz al-Quran

1) Konsep Mendengar (Dengar - D)

- Seseorang pelajar yang ingin memulakan menghafaz semestinya menggunakan pancaindera mendengar dahulu sesuatu surah atau ayat sebelum memulakan hafazan. Konsep mendengar ialah melalui audio seperti mendengar bacaan qari atau imam seperti Syeikah Masyari Rasyid, Imam Syeikh Sudais, Syeikh Abdullah Awwad Al-juhaini dan sebagainya. Melalui kaedah ini, seseorang penghafal itu akan terbiasa mendengar ayat-ayat yang akan dihafaz dan seterusnya bacaan itu akan terlekat dalam ingatan kita dalam tempoh yang lama. Justeru itu proses hafazan sesuatu surah atau ayat akan menjadi mudah kerana kita terbiasa mendengar rentak dan gaya bacaan Imam atau qari  berkenaan.

 

2) Konsep Talaqi (T)

- Menggunakan pancaindera melihat iaitu pelajar akan membaca sesuatu ayat yang ingin dihafaz sambil dibetulkan bacaan yang salah oleh guru. Proses talaqi ini amat diwajibkan untuk seseorang yang ingin menghafaz al-Quran supaya kalam suci ini terpelihara segala sebutan makhraj huruf dan sifatnya.

 

3) Konsep Hafaz (Membaca - H)

- Proses setelah proses mendengar dan talaqi (melihat) itu selesai. Para pelajar bolehlah membahagikan satu muka surat yang ingin dihafaz kepada dua bahagian. Contohnya jika muka surat mushaf al-Quran tersebut mengandungi sepuluh ayat, pelajar hendaklah memfokuskan untuk menghafaz lima ayat yang teratas dahulu secara sedikit demi sedikit. Apabila hafazan lima ayat yang teratas sudah diingati, pelajar bolehlah berpindah kepada lima ayat yang bawah dan seterusnya mengulangi semula ayat pertama sehingga selesai satu muka surat.

 

4) Konsep Tasmik (T)

- Proses di mana proses terakhir dalam hafazan al-Quran. Tasmik ialah seseorang pelajar memperdengarkan semula bacaan yang telah dihafaz kepada guru tasmik anda.

Tip lain:

Teknik Putaran Waktu bantu murid memahami kepentingan ‘masa’ - Ustaz Quszaini

Skor A semua subjek UPSR daripada sekarang - Cikgu Ahmad Safarman kongsi enam tip mudah

Hafal formula 'Memori Mengarang', murid pasti skor Bahasa Melayu UPSR