Kebanyakan calon SPM beranggapan, menduduki peperiksaan kertas Sains itu umpama perjuangan besar yang perlu ditempuhi. Subjek penting ini bukan sahaja dianggap susah, bahkan sukar difahami oleh segelintir mereka. 

Walau bagaimanapun, calon SPM masih mempunyai harapan cerah untuk lulus cemerlang subjek Sains ini.  Guru Sains Kimia SPM dari  SMK Kinarut Papar, Sabah, Cikgu Norazri Mat Piah ini ada lima tip penting yang boleh calon ikuti.

Selamat mencuba…

1.KUASAI KEMAHIRAN PROSES SAINS

Penguasaan kemahiran Proses Sains memudahkan menjawab soalan. 13 kemahiran Proses Sains yang utama perlu dikuasai. Bagi menguasai pembolehubah, hipotesis, inferens dan pemerhatian, aplikasi Teknik MIRROH ( Manipulating – Inferens – Responding – Observation – Hyphotesis) oleh Guru Cemerlang Cikgu Salbiah Ninggal dari Melaka dapat membantu pelajar.

Teknik “Terlajak Garis” yang diperkenalkan oleh Guru Cemerlang Sains, Cikgu Che Ahamad Che Daud dari Kolej Vokasional Kulim dalam seminar Skor A+ Sains amat membantu pelajar menguasai graf dan soalan berkaitan dengannya.

Saya  bersama Cikgu Ahamad Che Daud dalam Seminar Skor A+ Sains Teknik Terlajak Garis KPS Sains

Penguasaan 11 kemahiran proses sains ( KPS ) yang terdiri daripada :

  1. Membat pemerhatian
  2. Mengelaskan
  3. Mengukur menggunakan nombor
  4. Membuat inferens
  5. Meramalkan
  6. Berkomunikasi dengan graf
  7. Menyatakan hubungan ruang masa
  8. Mentafsir data
  9. Membuat definisi secara operasi
  10. Mengawal pemboleh ubah
  11. Membuat hipotesis

Penguasaan KPS ini akan membantu pelajar melengkapkan sasaran markah penuh bagi bahagian A kertas 2 iaitu 20 markah.

Berdasarkan pengamatan, pelajar perlu menguasai pembolehubah dengan mengetahui dengan tepat tiga pemboleh ubah iaitu pemboleh ubah manipulasi ( berbeza ), pemboleh ubah bergerak balas ( hasil eksperimen / pemerhatian ) dan pembolehubah dimalarkan ( yang sama ).

Selain menggunakan tip yang sering dikemukakan dalam seminar kecemerlangan sains, bagi pelajar yang sederhana dengan  menggunakan teknik asas yang kita semua pernah belajar semasa persekolahan rendah dahulu iaitu permainan mencari perbezaaan dan persamaan antara dua gambar.

Dengan menggunakan Teknik Mencari Perbezaan dan Persamaan antara dua gambarajah saintifik dalam soalan pelajar akan mudah menentukan ketiga-tiga pemboleh ubah tersebut dengan menentukan apakah yang sama, berbeza dan hasil eksperimen. Permainan mencari perbezaan gambarajah ini amat santai dan membantu kefahaman gambarajah.

Ilham teknik “Terlajak Garis” amat membantu pelajar untuk menguasai kemahiran proses sains membuat ramalan dan berkomunikasi dengan graf.

Ilham ini mungkin dari  cerita pelajar yang baru belajar menggunakan motorsikal ( remaja kini memang amat terpengaruh dengan aktiviti bermotorsikal ) yang mengatakan bahawa kita tidak boleh terus memberhentikan motorsikal pada garisan penamat perlumbaan dan pelumba perlu bergerak ke hadapan sedikit sebelum berhenti bagi mengelakkan kemalangan.

Situasi ini membuatkan pelajar ingat bahawa, ketika membuat graf garis dalam soalan Sains, usahlah berhenti melukis garis pada titik terakhir, hendaklah “terlajak garis”. Ini pesanan Cikgu Che Ahamad Che Daud.

Ini sebenarnya adalah ekstrapolarasi graf atau pelunjuran graf untuk mendapatkan ramalan atau unjuran bacaan bagi situasi yang baharu.

Istilah ekstrapolarasi graf ini menimbulkan tanggapan sukar pada pelajar yang lemah tetapi bila disebut “terlajak garis” mereka pasti akan memahami. Maka, dapatlah mereka menguasai KPS meramal dan berkomunikasi dengan graf.

Tiga bentuk skrip penting yang sering kali guru Sains lontarkan kepada pelajar, agar pelajar dapat menguasai kemahiran proses Sains membuat hipotesis yang menjadi soalan utama dalam peperiksaan perlu diingat

 “ semakin ……. (manipulasi ) …tinggi/meningkat….. semakin …( bergerakbalas )…rendah/menurun…,” Jika……(manipulasi)….tinggi/meningkat………maka ……( bergerakbalas )…… rendah/menurun …… dan……(pemboleh ubah bergerakbalas ) ………. bergantung kepada ….( pemboleh ubah manipulasi)….

2.BELAJAR DARI GAMBARAJAH

Penggunaan Teknik Lakaran dan Kuasai Gambarajah membantu pelajar mengingati fakta dengan mudah. Perlu disedari bahawa Sains SPM Kertas 1 secara purata 30 soalan simulasi gambarajah, kertas 2 Sains SPM Bahagian A simulasi gambarajah begitu juga bahagian B dan C ia merangkumi lebih enam soalan. Sekiranya pelajar menjawab soalan gambarajah dengan baik, kepujian Sains SPM dalam tangan.

Soalan peperiksaan Sains tidak terlepas dari gambarajah saintifik sama ada gambarajah struktur, organ, radas eksperimen dan ada masanya gambar foto yang sebenar. Apa yang sebenarnya perlu dikuasai lukisan yang cantik atau label dan dari berfungsi.

Sains juga lebih mengutamakan pelajar memahami label dan fungsi gambarajah. Bagaimana membantu pelajar menguasai gambarajah?

Jika kaedah tradisional ketika zaman saya mula mengajar sekitar tahun 1994 dahulu, melukis berulang kali dan menampalnya di dalam kelas adalah satu-satunya kaedah yang ada.

Namun era digital ini menjadikan lebih mudah, pelajar yang berkemampuan boleh melakarkan nya dalam telefon bimbit dengan stylus digital, teknik ini cikgu namakan digital ink.

Lukislah dan label berulang kali.

Pelajar yang sederhana lebih mudah belajar dengan menggunakan lukisan berbanding tulisan seperti kata puitis biar gambar berbicara.

Namun satu tip yang mudah adalah dengan penggunaan IG, Whatapps, FB boleh dimanupulasi. Iaitu pelajar memuat naik gambar dalam aplikasi media sosial dan menjadikan perbincangan ringkas. Setiap gambarajah yang dimuat naik diserta kata kunci eksperimen atau label.

Jika satu gambar rajah sehari, pasti pelajar dapat menguasai dengan mudah. Boleh juga dijadikan wallpaper ( kertas dinding ) pada telefon. Dengan ini membantu pelajar menggunakan gadget untuk pembelajaran selain permainan e-games dan “bawang digital – sembang kosong di media sosial”.

Penggunaaan kad lakaran dan pandanan gambar seperti bermain puzzle juga dapat membantu pelajar menguasai gambarajah sains.

Kita pernah mendengar perumpamaan biar gambar berbicara. Selain pengunaan aminasi, video yang disediakan, guru boleh juga mengunakan  teknik simulasi atau VR, pelajar dapat menguasai kaedah eksperimen dengan padanan gambarajah dan kata kunci ( akan diperhalusi dalam segmen Teknik Lipat 4 Dapat Sains SPM ).

Penggunaan Kad Lakaran dapat membantu pelajar menguasai gambarajah eksperimen

3.INGAT SECARA KREATIF

Pengalaman mengikuti Pecutan Kognitif Sains bersama tokoh Guru Kebangsaan 2018, Cikgu Hamzah Othman yang menggunakan kod, tubuh badan, tulisan kreatif dan lagu membantu pelajar mengingati fakta Sains dengan cara menyeronokan.

Penulis bersama Cikgu Hamzah Othman Tokoh Guru Kebangsaan 2018 (tengah, di hadapan) dalam ceramah Pecutan Kognitif Sains dan Ingat Cara Kreatif Sains SPM

Pecutan Kognitif Sains bersama tokoh Guru Kebangsaan 2018, Cikgu Hamzah Othman yang mengasaskan Modul Ingat Cara Kreatif ( ICK ) pada tahun 2002, amat relevan dengan pdpc yang menyeronokan pada masa kini.

Penggunaan tubuh badan seperti gengaman tangan dan tapak tangan membantu pelajar mengingat sistem saraf ( sukatan Sains tingkatan empat ) adalah antara contoh yang mudah dari ratusan tip yang ada.

Namun saya tertarik dengan kaedah yang menjadi kebiasaan amalan negatif pelajar yang suka menulis ala graviti di dinding sekolah, meja bahkan pada pakaian sendiri, alangkah baik jika dapat ditransformasikan kepada pembelajaran.

Tulisan graviiti atau gaya tulisan kreatif pelbagai boleh membantu pelajar mengingati fakta yang diperlukan dalam peperiksaan.

Contohnya tulisan TIROID membantu mengingatkan pelajar T = kelejar tiriod , T = tali leher = kelenjat tiroid di leher, I = iodin R = respirasi meningkat  O = dilukis bentuk bola mata, D = denyutan jantung.

Pemberian makna pada huruf, lukisan, akronim amat dapat membantu pelajar dalam mengingati fakta sains. Memanipulasi minat pelajar dalam muzik K-pop dengan menggunakan lirik baharu “ Lii Naa Gaa Ka Cu Maag Zee Fee ….” Yang dinyanyikan ala K-Pop membantu pelajar mengingat siri kereatifan logam yang melibatkan logam Litium, Natrium, Kalsium, Kuprum, Magnesium, Zink dan Ferum.  

Penggunaan tulisan ala graviti dan gaya tulisan kreatif merupakan pilihan yang seringkali pelajar minat dengan gabungan guru pendidikan seni hiasan dinding sekolah menjadi medan ilmu dan tidak ada lagi vandalisme.

Dipetik dari Modul Ingat Cara Kreatif Cikgu Hamzah Othman Tokoh Guru Kebangsaan 2018.

4.TEKNIK LIPAT 4 DAPAT SAINS SPM

Bagi pelajar golongan sederhana, kemampuan menjawab soalan kemahiran mengeksperimen Sains SPM Kertas 2, soalan bahagian C no10 yang membawa 10 markah mampu memberikan kesan pada pencapaian.

Keyakinan menjawab soalan no 10 kemahiran mengeksperimen ini boleh dipertingkatkan dengan aplikasi Teknik Lipat 4 Dapat SAINS SPM.

Teknik Lakaran dan Petua CHEF serta penggunaan kata kunci memudahkan menjawab penuh keyakinan dan mampu merancang masa dan format jawapan.  Ini memberikan pelajar peluang untuk mencapai keputusan yang baik.

Apa itu Teknik Lipat 4 Dapat Sains SPM?

•Pendekatan pengajaran yang menarik.

•Kombinasi Teknik Lakaran, Petua CHEF dan KAD KATA KUNCI  untuk membantu pelajar menjawab  BAHAGIAN C NO. 10 SAINS SPM  dan KIMIA KERTAS 2 BAHAGIAN C dan KERTAS 3 SOALAN MENGEKSPERIMEN.

•Memudahkan dan memberi KEYAKINAN kepada pelajar semasa menjawab soalan peperiksaan.

MUAT TURUN PDF DI SINI

Bengkel Teknik Lipat 4 Dapat Sains di SMK TAMAN TUN FUAD

Bengkel Teknik Lipat 4 Dapat Sains SPM di SMK KEMABONG

Penerangan Teknik Lipat 4 Dapat Sains SPM di Pameran Karnival PA21K Sabah pada 03 OGOS 2019

Bengkel Teknik Lipat 4 Dapat SPM di SMKA Tun Datu Mustapha Papar pad 19.09.2019

5.USAHA DAN TAWAKAL

Dengan pelbagai Teknik, tips dan kaedah terbaik dari guru Sains seluruh negara memerlukan Usaha gigih pelajar disamping berdoa bertawakal pada Nya agar dipermudahkan dalam peperiksaan. Memelihara adab dan hubungan baik dengan guru, ibu bapa, rakan sebaya merupakan azimat terbaik untuk ilmu yang diberkati.

Semoga beroleh kejayaan dan keberkatan pelajar yang dikasihi. Pencapaian terbaik adalah untuk anda semua. Selamat menduduki peperiksaan SPM.