BAHAU – ‘Penulisan yang baik adalah penulisan yang tulus dari hati.’

Itu kata-kata hikmah yang diberikan penceramah Bengkel Penulisan Karangan SPM Bahasa Inggeris, Siti Fatimah Abdul Jalin kepada 50 pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chi Wen, Bahau.

Bengkel yang dihadiri pelajar tingkatan 4 dan 5 itu anjuran Panitia Bahasa Inggeris dengan menjemput Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantu, Pahang sebagai penceramah.

Dalam ceramahnya, beliau berkata, penulisan karangan Bahasa Inggeris adalah satu kemahiran yang sangat penting untuk dipelajari dan dikuasai.

“Bila kita dapat menguasai kemahiran menulis karangan bahasa Inggeris, ia sekaligus dapat melatih pelajar untuk berfikir secara kritikal dan melatih menyusun ayat dengan baik agar segala idea dapat disampaikan dengan lebih efektif kepada pembaca,” ujarnya.

Kata beliau lagi, ilmu adalah cahaya yang dianugerahkan Tuhan kepada insan yang terpilih dan bersih hatinya.

Sementara itu, Ketua Panitia Bahasa Inggeris SMJK Chi Wen Nur Amira Ali Sabuddin berkata, bengkel itu berjaya memberi pendedahan yang sangat berguna kepada pelajar.

“Dengan adanya bengkel ini, pelajar boleh menguasai teknik penulisan karangan yang sistematik, mudah difahami dan efektif, secara tidak langsung berjaya menukar persepsi pelajar yang selama ini menganggap penulisan karangan adalah sesuatu yang membebankan,” katanya.

 

TANG RUI CONG

Pelajar tingkatan 5, SMJK Chi Wen, Bahau, Negeri Sembilan

 

Pelajar menjawab soalan yang ditanya penceramah.

Peserta memberi sepenuh perhatian sepanjang Bengkel Penulisan Karangan SPM Bahasa Inggeris.

Pelajar mengadakan latihan dalam kumpulan.