KUANTAN - MENJADI guru pendidikan khas bermula pada tahun 1996 apabila bertukar mengikut suami ke Kuantan.

Ditempatkan di sebuah sekolah yang tidak kurang gahnya di Kuantan yang pada masa itu sangat kekurangan tenaga pengajar dalam bidang berkenaan.

Setelah dinasihatkan oleh guru besar yang bersungguh-sungguh meminta saya mencuba dulu sebelum menolak daripada mengajar murid-murid Pendidikan Khas. Saya terima cabaran itu kerana saya tidak pernah mengenali murid-murid seumpama itu. Juga saya tidak pernah membayangkan bagaimana keadaan murid-murid yang bakal saya hadapi.

Apabila berbual dengan guru-guru Pendidikan Khas yang sedia ada ketika itu, mereka memberikan kata-kata semangat supaya berkenalan dulu dengan murid-murid.

Saya mengambil masa hampir tiga bulan untuk menyesuaikan diri. Adakala menitis juga air mata dan merintih dalam hati kenapalah murid-murid begini yang perlu saya hadapi. Jauh di sudut hati tidak berbaloi menjadi seorang guru kalau beginilah murid-muridnya. Begitulah kata hati.

Saya memerhati rakan sekerja yang lain mengajar dan cuba berdampingan dengan mereka, jauh di sudut hati saya tidak mampu hendak berbuat demikian.

Hari demi hari rasa kecintaan datang berputik sedikit demi sedikit. Murid-murid itu tidak ada rasa malu, murid-murid itu mahu belajar rupanya, murid-murid itu punya perasaan rupanya dan murid-murid itu sangat peramah orangnya jika kita bersedia menerima mereka dengan baik.

Dalam kesuraman rasa dan kegundahan lara saya mula mengorak langkah, belajar, bertanya dan membaiki diri dari semasa ke semasa. Pada masa itu hubungan dengan rakan guru sangat baik, seperti adik beradik. Apabila seorang terluka semuanya akan terasa pedih. Apabila kata-kata tak sama dengan apa yang dibuat semua orang akan kena tempiasnya.

Pada zaman 90an itu belum banyak program yang di buka dan muridnya tidak ramai. Pada masa itu juga kadangkala hubungan baik itu akan goyah kalau tidak kena sepakatnya. Dalam kalangan guru Pendidikan Khas ada yang berbeza perwatakannya, ada yang bersungguh-sungguh mengajar dan tidak kurang juga yang sibuk dengan urusan sekolah sehingga mengabaikan anak-anak khas.

Pada masa itu tekanan dari pihak pentadbir dan guru lain sangat hebat. Masih menjadi igauan lagi….” apa yang saya nak nilai awak?...murid-murid awak tidak menyumbang apa-apa kepada sekolah….apa yang awak ajar itu tidak bermakna apa-apa…”. Namun kata-kata itulah pembakar semangat walau pedih terhiris namun digagahi juga demi maruah anak-anak khas.

Betul murid-murid khas kami tidak memberi apa-apa kepada sekolah, tidak menaikkan prestasi sekolah, tidak menjulang nama sekolah dalam kegiatan luar namun mereka ada harga diri dan maruah sama seperti insan lain.

Mereka tidak minta dijadikan begitu. Malah ketika itu jauh di sudut hati masih mampu berkata-kata kalau tidak ada mereka sudah tentu manusia ini akan alpa. Begitu besar ciptaan Ilahi sebenarnya menjadikan mereka untuk menguji hati insan lain supaya insaf dan sedar Allah mengkehendaki ianya berlaku dengan izinnya. Berbuat baik kepada mereka akan mampu menghapuskan dosa-dosa masa lalu kita dan memandang rendah kepada mereka bermakna kita memandang rendah juga apa yang Allah jadikan. Kehadiran mereka bukan sekadar untuk menguji hati manusia malah satu peringatan kepada yang lain.

“Awak bukan mengajar macam cikgu di arus perdana, awak tak ubah macam pengasuh je……”.

Benar…pengasuh inilah yang memberi erti kehidupan kepada murid-murid khas. Pengasuh inilah yang membimbing tingkah laku dan adap sopan yang mana ibu bapa tidak mampu pun mendidik mereka sedemikian kerana kasih sayang yang melimpah ruah. Pengasuh inilah yang menyuapkan makanan tatkala cikgu lain berseronok menikmati makanan. Pengasuh inilah yang mendukung, mengangkat pergi ke tandas kerana tidak mahu mereka dianggap tidak berguna oleh guru lain. Pengasuh inilah yang melenting bila ada guru lain yang memperlekehkan anak muridnya. Pengasuh inilah yang memimpin tangan mereka masuk ke kelas dengan harapan segunung tinggi.

Walaupun murid hanya mampu menyebut sepatah perkataan …” egu…”( cikgu ) maka berderailah airmata pengasuh ini kerana rupanya muridnya ada suara dan memahami apa yang diajarnya. Murid ini akan bertepuk tangan bila nampak guru menuju ke kelas dan murid ini akan lari lintang pukang kerana pengasuh ini sangat tegas kerana menjadikan mereka manusia-manusia yang kenal erti disiplin.

Pengasuh inilah yang menjadikan mereka ramah dan boleh bertegur sapa. Pengasuh inilah yang selalu menjadi sebutan di rumah dan menjadi bualan dengan ibu bapa serta adik beradik. Pengasuh ini jugalah yang menyambut dan menghantar mereka di pintu pagar sekolah setiap hari. Pengasuh inilah yang berlari keliling sekolah kerana takut keselamatan murid-murid mereka sedangkan guru lain hanya ketawa. Pengasuh ini yang setiap hari pakaiannya disalut dengan air liur dan hingusan murid-murid khas. Sedangkan guru lain angkat kaki bila nampak kelibat murid-murid khas ini. Mereka tidak faham apa-apa tetapi yang berkecil hati adalah pengasuh ini, yang menitiskan air mata. Memandang hina kepada muridnya bermakna hina jugalah dirinya.

Pada waktu itu kudrat dan semangat masih kuat. Biarpun cabaran yang mendatang di terima dengan positif dan berusaha membuktikan saya mampu melakukan semua tugas dengan baik. Beban tugas bukan penghalang lagi sekiranya kita mampu berusaha secara positif. ….”Guru Pendidikan Khas perlu menjawat semua jawatan penting dalam sekolah barulah boleh nilai prestasi kerjanya….”. Saya kesal ramai guru sealiran mengambil kesempatan dari kesibukan itu sehingga mengabaikan proses pengajaran dan pembelajaran murid –murid khas. Kesibukan dengan aktiviti luar sekolah pastinya menyebabkan rakan sekerja menerima tekanan dalam mengurus murid-murid khas, pengajaran pun tidak dapat berjalan dengan sempurna.

 

[SAMBUNGAN ARTIKEL DI SINI: DIPANGGIL 'PENGASUH' KERANA DIDIK MURID PENDIDIKAN KHAS..GURU INI NEKAD BUAT APA SAJA DEMI MEREKA]

www.gpsbestari.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.