Ramai mengakui subjek Bahasa Melayu adalah mata pelajaran yang disukai oleh semua murid. Ditambah pula, jika murid tersebut mempunyai seorang guru yang petah berbicara, mempunyai kesungguhan, banyak idea, tegas dan adakalanya lucu, pandai mengambil hati, serta mampu melahirkan PDP yang hebat dan berkesan.

Bagi memudahkan murid cepat faham, bagaimanakah cara untuk membina ayat dan membuat karangan dengan baik, Guru Bahasa Melayu Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah ada kaedahnya.

Di dalam kelas, saya sering menggunakan teknik ‘ulat beluncas hijau,’ bagi memudahkan murid menjawab kertas dua iaitu Bina Ayat, Ulasan dan Karangan.

Selain itu saya juga turut memperkenalkan beberapa formula lain seperti, ‘bina ayat bebas dan kaedahnya, memori pendahuluan, memori mengarang sempurna satu perenggan, teknik penutup, peribahasa 'semut', jejari penanda wacana dan banyak lagi.

Formula yang diperkenalkan ini sangat membantu murid untuk menjadikan mereka lebih faham dan tahu kaedah sebenar 'memancing markah'.

Kaedah beluncas

Untuk menyenangkan lagi murid tentang teknik ‘ulat beluncas hijau’ ini, murid perlu sedikit menghafal dan mengingati setiap inci tubuh ulat, barulah boleh membina ayat mengikut urutan. Urutan tersebut merangkumi kepala (Tajuk), Badan (Isi) dan Ekor (Penutup).

Formula Bina Ayat: Murid mesti memahami kehendak tajuk barulah membina lima ayat mengikut urutan ulat beluncas. Murid harus mempraktikkan bagaimana membuat permulaan lima ayat iaitu:-

1. A (Antara) - Tajuk (merujuk kepada kehendak soalan/ tajuk yang ingin dijawab.

2.  P (Perbuatan) - (Contoh: Memakai, mencuci, memimpin dan sebagainya).

3. O (Orang) - (mulakan dengan Pak Kimi, Mak Mimi, seorang lelaki, adik, ayah Alif dan sebagainya)

4. KM (Kita Mestilah) - Mulakan ayat dengan 'Kita mestilah' diikuti dengan kata kerja, huraian atau kata hubung.

5. KP (Kita Perlulah) - Mulakan ayat dengan 'Kita perlulah' diikuti dengan kata kerja, contoh atau huraian.

Formula Membina Ulasan

Setelah memahami tentang cara-cara membuat ayat melalui teknik ‘ulat beluncas hijau’ tadi, murid dengan mudah akan mengetahui cara untuk membuat ulasan. Ulasan ini lebih kepada soalan yang berkaitan dengan cara-cara, faedah, kepentingan, dan kebaikan.

Formula ‘ulat beluncas’ akan digabungkan dengan formula ‘jejari penanda wacana’. Setiap ulasan perlu ada ‘jejari penanda wacana’ iaitu singkatan ASSDAK (Antaranya, seterusnya, selain itu, disamping itu dan akhir sekali).

1.Kepala

Merujuk kepada tajuk soalan contoh: Cara-cara menjaga keselamatan di sekolah, cara-cara menghormati guru, langkah-langkah menjaga keselamatan diri di jalan raya.

2.Badan ulat

Isi yang merujuk kepada penanda wacana permulaan ayat -  Di bahagian isi murid boleh ingat perkataan ASSDA iaitu:

A - Antaranya

S - Seterusnya

S - Selain Itu

D - Di samping itu  

A - Akhir Sekali.

3. Ekor - Merujuk kepada K- Kesimpulan.

Teknik ulat beluncas ini merangkumi tiga bahagian yang boleh diingati dalam membina ayat dan ulasan. Bahagian tersebut ialah Kepala, Tubuh dan Ekor ulat tersebut yang boleh merangsang murid menulis serta mencari isi dengan lebih baik.

Membina Karangan

Setelah mengetahui cara-cara membina ayat melalui kaedah ‘ulat beluncas dan gabungan ‘jejari penanda wacana’ maka dengan mudah murid mampu membina karangan dengan lebih baik.

Murid akan fokus dengan formula ‘memori mengarang satu perenggan,’ di dalamnya terdapat gabungan fakta, huraian dan contoh.

Selain itu, murid boleh juga memasukkan elemen seperti kesan, akibat, isu semasa, peribahasa, slogan, kata-kata indah dan sebagainya untuk melengkapkan satu perenggan mengarang dengan sempurna.

Apabila murid menggabungkan elemen bina ayat ‘ulat beluncas hijau’ dan ‘jejari penanda wacana’ dalam ulasan, maka dengan sendiri akan dapat menjawab soalan karangan dengan baik dan cukup enam perenggan untuk menghasilkan markah keseluruhan karangan berjumlah 25 markah.

Diharapkan teknik ‘ulat beluncas hijau’, ‘jejari penanda wacana’ dan ‘memori mengarang satu perenggan’ dan gabungan-gabungan formula  lain mampu menjadikan murid dapat menjawab dengan cemerlang soalan Bahasa Melayu Kertas Dua sekaligus mencapai impian semua murid memperoleh A dalam subjek Bahasa Melayu.

ARTIKEL MENARIK:

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi

'Tariklah saya ke syurga' - Pesan Cikgu Khairul dalam video tular peluk murid Pendidikan Khas

‘Saya nak jaga mak, ayah…”- Guru ini dedah kisah sebenar tinggalkan pelajar istimewa

Patutlah beliau dinobat Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia.. niatnya murni, usahanya tanpa batas

Tragedi bot terjunam ke dasar tasik - 'Perginya' Cikgu Fauzi buat Cikgu Rahman rindu kenangan lalu

Sejarah nama lima sekolah yang terkenal di Malaysia - Ini faktanya