PASIR MAS - Hasrat seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Kebangsaan (SK) Kelar untuk membuat kelas ulang kaji terakhir buat muridnya menjelang peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) petang semalam tidak kesampaian  apabila dia maut dalam kemalangan.

Mariana Yusoh, 31,  yang ketika itu dalam perjalanan ke SK Kelar maut selepas kereta jenis Proton Iswara yang dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas berhampiran Kampung Kenjong dekat sini jam 8 pagi.

Kemalangan itu turut melibatkan sebuah kenderaan jenis Honda BRV dan  dua buah motosikal. Pemandu Honda BRV, Yusfajuliza Yusuf, 33, patah tangan dan luka di tangan serta muka.

Sementara itu, dua penunggang motosikal dan seorang pembonceng cedera ringan.

Rakan setugas mangsa, Hadri Mohd Suhaimi, 25,  menyifatkan Allahyarham seorang guru yang berdedikasi dalam menjalankan tugas.

“Sebelum pelajarnya  menduduki peperiksaan jam 2.15 petang ini (semalam),  arwah ada beritahu dia mahu buat kelas ulang kaji. Sebab itulah dia pergi awal ke sekolah.

“Bila dapat tahu perkara itu, saya tawarkan diri  untuk membantunya dengan mengambil kertas  soalan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pasir Mas di sini semalam.

Menurutnya, bagaimanapun dia dikejutkan dengan  berita mengatakan rakan setugasnya itu terlibat dalam kemalangan dan  meninggal dunia.

Sementara itu, suami mangsa, Mat Yusof Che Hussin, 43, berkata, dia mengetahui kemalangan yang menimpa isterinya pada jam 8.30 pagi dan terus  bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, jenazah Mariana  akan disemadikan di Kampung Kebor Besar  Manir, Terengganu.

"Arwah sudah 10 tahun bertugas sebagai guru KAFA,” katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Pasir Mas, Superintanden Ismail  Jusoh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, siasatan lanjut masih lagi dijalankan  mengikut Seksyen 41 (1)  Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel lain:

Empat sebab Dr Maszlee menangis - Bimbang ada pegawai tak sehaluan dengan aspirasi yang ditonjolkan

'Kepada rakan saya di KPM, jangan gagalkan anak-anak kita' - Maszlee

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid Tahun Enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau

'Tetap serius dan tegas ketika mengajar walaupun berwajah 'baby face' - Cikgu Ian Francis Manga