KUALA KUBU BHARU - Seramai 33 pelajar dan guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu di sini dijangkiti Influenza B.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, kes pertama direkodkan pada 14 Jun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun tiada kes baharu dilaporkan sehingga kini dan status kesemua kes dilaporkan stabil sehingga 30 Jun lalu.

Beliau berkata, sebelum ini pelajar dan guru terlibat mengalami simptom demam, batuk, selesema, muntah, cirit-birit dan pening.

“Seramai 13 orang mendapatkan rawatan pesakit luar namun tiada dimasukkan ke hospital,” katanya semalam.

Menurutnya, langkah kawalan diambil termasuk pembasmian kuman.

Kata beliau, pihaknya akan terus memantau keadaan itu bagi memastikan tiada jangkitan baharu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, tindakan penutupan sementara sesi sekolah hanya dilakukan sekiranya Jabatan Kesihatan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Menurutnya, keadaan di sekolah dan asrama terbabit masih terkawal malah ibu bapa dibenarkan membawa pulang pelajar yang mengalami simptom.

“Saya belum terima laporan berapa ramai pelajar yang sudah dibawa balik dan sekarang kita masih bergantung kepada siasatan Jabatan Kesihatan.

“Kita tunggu sama ada ada keperluan untuk merehatkan pelajar atau tidak.

“Pada hari inipun (semalam), kakitangan Jabatan Kesihatan ada datang ke sekolah untuk memeriksa kesihatan dan mengambil sampel darah pelajar,” katanya.

Muhamad Radzi berkata, ibu bapa juga masih menunggu keputusan siasatan dan buat masa ini, pihaknya mengambil ketetapan untuk tidak menutup sesi persekolahan.

Menurutnya, ibu bapa dibenarkan membawa anak yang tidak sihat pulang ke rumah.

Baca:

'Beri saya masa untuk semak' - Nie Ching jawab dakwaan guru mengenai silibus Tahun Empat makin berat

Murid SK Kuala Besut 2 yang hilang dua hari ditemui di sempadan Thailand, guru bantu bawa pulang

60 peratus kanak-kanak kurang nutrisi, KPM galak sektor swasta sedia makanan berkhasiat kepada murid

'Saya nak jaga mak, ayah...' - Ini alasan Cikgu Khairul terpaksa tinggalkan pelajar istimewa

Dr. Maszlee jamin peningkatan jumlah tempat di matrikulasi tak jejas lepasan STPM ke Universiti Awam