Tatkala guru tiba di sekolah, sudah pasti Hajar merupakan orang pertama yang akan berlari-lari menerpa guru…

“Cikgu…!” Hajar berlari kencang memeluk guru. Kepalanya hanya mencecah perut guru sahaja kerana Hajar merupakan anak yang mengalami Sindrom Down, kecil orangnya.

Hajar memeluk erat guru. Guru menjadi serba salah.

“ Hajar, tidak boleh peluk cikgu…kena ada penjarakkan sosial,” guru cuba menerangkan pada Hajar.

“Tak nak…tak nak….,” kata Hajar. Pelukan itu tidak dilepaskan, malah semakin erat!

“Hajar, sekarang ni, musim Covid19. Kita perlu adakan penjarakkan sosial,” ujar guru perlahan.

“Tak nak. Hajar nak peluk juga cikgu. Dah lama sekolah tutup. Hajar rindu kat cikgu. Hajar nak peluk juga,” kata Hajar sambil matanya telah berkaca.

Apakah cikgu tega menepis Hajar untuk mengelakkan daripada jangkitan Covid19?

Tidak. Mustahil. Sudah pasti hatinya akan terguris dan bukan mudah untuk mereka memahami. Hati mereka begitu sensitif dan mudah rapuh! Guru telah dilahirkan untuk menyebarkan kasih sayang. Tidak tega untuk melakukan sedemikian dan bukan mudah untuk menerangkan padanya. Namun, guru perlu!

Guru bergerak ke dalam kelas dan melihat kuku Afiq yang mengalami masalah Palsi Serebrum, begitu panjang dan kotor sekali.  Ini bukan bermakna semua ibu-bapa tidak mempedulikan kuku anak masing-masing.

Namun, adakalanya perkara  kecil, boleh terlepas pandang. Mungkin kerana kesibukan ibubapa menguruskan rumah tangga dan anak-anak yang lain. Mungkin juga ibu bapa tunggukan kehadiran hari Isnin, Khamis atau Jumaat untuk memotong kuku hingga akhirnya bila tiba hari tersebut, terlupa pula untuk memotongnya. Begitulah. Kesibukan adakala membuatkan kita lupa.

Guru mengambil pengepit kuku dan menyuruh Afiq memotongnya. Afiq masih terkial-kial kerana tidak mahir menggunakan pengepit kuku. Afiq masih memerlukan latihan dalam kemahiran memotong kuku. Memegang pengepit kuku dan menekannya sudah menjadi suatu masalah untuknya.

Lalu, guru terpaksa memegang tangan Afiq dan membantunya. Adakalanya sesetengah murid yang terlalu lemah  kemahiran motor halusnya, guru akan membantu memotong kuku murid-murid tersebut.

Guru menganggap mereka adalah anak-anak mereka sendiri.  Guru harus mengelakkan diri  untuk menyentuh murid semasa pandemik ini. Apakah guru boleh menutup mata dan tidak mengendahkan kuku murid yang panjang dan kotor itu? Atau guru perlu memakai sarung tangan? Atau mungkin juga guru boleh menghubungi ibu bapa dan memaklumkannya pada mereka? Namun, ia mungkin mengambil masa.  Adakala, jika ibu bapa dihubungi, keesokan harinya, kuku masih belum lagi dipotong.

Tiba-tiba Ridzwan menjerit kuat. Mungkin ada sesuatu yang membingitkan perasaannya. Ridwan kadangkala menunjukkan ‘tantrum’nya apabila perasaannya membuak-buak. Ridzwan yang mengalami masalah ADHD (Attention Deficit Hyperactive Disorder) perlu ditenangkan, jika tidak riuh rendah jadinya.

Bagaimana Ridzwan  ditenteramkan? Ridzwan akan dihampiri guru dan dipujuk. Selalunya guru akan  menenangkan, memegang bahu Ridzwan atau memeluknya, agar dia merasa tenteram. Namun, musim Covid19 ini, sudah pasti sentuhan sedemikian perlu dielakkan? Aduh, Ridzwan, aku harap kau memahaminya! Ya Allah..kuatkan semangat guru-guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) Pendidikan Khas.

Alif, murid yang Sindrom Turner, tidak membutangkan bajunya dengan betul. Mungkin lupa atau ingin cepat. Bajunya herot. Lalu guru menyuruhnya membetulkannya. Adakalanya terdapat murid yang masih belum boleh membutang baju dengan baik. Bagi murid yang lemah, guru perlu memegang tangan mereka untuk membimbing mereka membutang dengan baik dengan menggunakan baju mereka sendiri atau bahan bantuan mengajar. Itulah guru. Sentuhan adalah cukup penting dalam pengajaran anak-anak istimewa. Jika tidak menyentuh, bagaimana untuk mengajar ya?  Aduh! Sukar memikirkannya!

Eh, Hafiz! Kasut yang dipakai terbalik. Guru harus memujuknya untuk menukar kasut dan meletakkan di posisi yang betul. Untuk memujuk Hafiz yang mengalami Kecelaruan Emosi, bukanlah mudah. Perlu ada kemahiran, perlu ada kasih sayang dan pastinya sentuhan. Namun di musim pandemik begini, guru harus bijak menggunakan cara lain, seperti senyuman, anggukan, pujian, kerlingan ataupun kerdipan mata. Cubalah guru sedaya upaya. Usah kita menjangkiti ataupun dijangkiti.

Apatah lagi Khairunnisa! Jika tidak dipegangnya, tidak disentuhnya, tidak dipeluknya, Khairunnisa tidak akan bergerak. Dia akan melabuhkan punggungnya di situ hinggalah kelas berakhir. Untuk ke kantin, Khairunnisa yang mengalami Kerencatan Akal Ringan, perlu diajak dan disentuh barulah dia akan mula bergerak. Bukan apa…Khairunnisa memerlukan perhatian dan kasih sayang. Itu sahaja!

Air liur yang mengalir daripada mulut Rita, tidak sanggup dibiarkan. Semasa Rita tidak membawa sapu tangan, tisu harus diletakkan di tangannya. Adakalanya tisu itu dibuang merata-rata. Adakalanya terlepas daripada genggaman dan bertaburan di lantai. Guru sering memesan pada ibu agar sapu tangan dibekalkan untuknya, namun adakala ibu lupa.

Rita sering diajar untuk menelan air liur. Itulah perkara yang paling penting. Jika Rita gagal mendengar arahan untuk menelan air liur, guru akan menyuruh Rita mengesatnya. Adakala Rita, yang mengalami Autisme, khayal dan berada di dunianya sendiri. Rita tidak memahami sebarang arahan. Guru akan memegang tangan Rita untuk membantunya mengesat air liur yang mengalir.  Pegang lagi!

Jika anak-anak istimewa yang masih mengeluarkan air liur dan membuka mulut sepanjang masa, perkara itu yang perlu dititik beratkan. Mengapa?  Jika itu tidak ditumpukan, perkara itu tidak dididik, dikhuatiri apabila mereka meningkat dewasa, ia akan berlarutan.  

Guru perlu mengajar mereka menelan air liur dan sediakan pelbagai ganjaran untuk mereka agar mereka sentiasa berusaha untuk melakukannya.  Apabila mereka mendapat gajaran, sudah pasti hati mereka membuak-buak keseronokan! Apa tah lagi jika ganjaran itu berbentuk coklat!

Tersentuh pula mengenai ganjaran!  Tiba-tiba terlintas di fikiran mengenai desas desus agar gaji guru dipotong. Guru sememangnya tidak pernah gunakan wang gaji mereka untuk diri mereka sendiri. Di samping mereka, sentiasa ada murid-murid mereka, mustahil mereka akan dilupakan! Tidak perlulah disenaraikan segala bagai wang yang telah dibelanjakan kerana khuatir jatuh tidak ikhlas.

Namun, bagi guru, untuk memudahkan sesi pengajaran, guru perlu mengeluarkan wang poketnya sendiri untuk bahan pengajaran dan pembelajaran dan juga sediakan ganjaran untuk murid. Ganjaran ini pelbagai, samada dalam bentuk permainan, buku ataupun makanan. Bukan tidak ada peruntukan di sekolah, ada….siapa cakap tidak ada….tetapi peruntukan tidaklah terlalu banyak dan terlalu banyak prosedur atau kerenah birokrasi.  

Lebih mudah guna wang sendiri, tidak perlu  menyiapkan kertas kerja, mengisi Nota Minta atau sediakan L.O bagai, di samping boleh dijadikan sebagai sedekah untuk murid-murid.  Wang yang banyak pun tidak boleh dibawa ke kubur.  Bila kita meninggal, wang yang berjuta dan harta yang menimbun bukan milik kita, milik waris kita, tetapi wang yang diinfaqkan itulah yang sebenarnya milik kita.

Ahli korporat yang mengatakan gaji penjawat awam perlu dipotong agar boleh membantu mereka yang mengalami kesusahan semasa musim ini. Tahniah! Tahniah kerana mengajar kami untuk membantu.

Tahniah kerana mengingatkan kami! Untuk pengetahuan, kami telah lama melakukan kerja-kerja sedemikian. Cuma kami tidak canang serata dunia, tidaklah banyak sangat kerana gaji penjawat awam bukanlah sehebat tuan.

Lainlah Ustad Ebit Liew. Dia dermawan terpuji. Tidak salah juga memberitahu orang ramai mengenai sedekahnya kerana terdapat dua cara dalam soal ini. Satu, secara bersembunyi dan satu lagi ialah secara berterang-terangan.

Cara Ustad Ebit Liew bagus juga kerana ia menggalakkan orang lain agar turut bersedekah sama di samping menggerakkan ahli korporat dan hartawan yang sembunyi di sebalik pintu agar turut turun berjuang semasa ramai yang berada dalam kesusahan ini.

Walaupun penjawat awam ini, gajinya cukup makan, tetapi kami tidak pernah lupa untuk berkongsi dengan orang lain. Lebih-lebih lagi murid-murid dan keluarga mereka. Mereka di depan mata. Kami tidak perlu mencari merata dunia, sebab kami tahu dan kenal siapa mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Guru turut ke rumah murid-murid untuk memastikan murid-murid sihat dan menghantar bekalan pada murid-murid yang tidak berkemampuan.  

Keluarga murid adalah juga tanggungjawab kami. Tidak perlulah kami ceritakan apa yang telah kami lakukan pada mereka, kerana biar Allah yang menilai kami.   Kesukaran menghimpit ramai manusia semasa pandemik ini.   Perkara ini boleh dilihat apabila deretan manusia beratur di luar kedai pajak gadai. Aduh! Sungguh simpati! Semoga Allah berikan kekuatan dan rezeki pada mereka tanpa henti-henti! Amin. Anggaplah ia ujian dari Allah taala semasa musim PKP ini. Kita perlu kuat. Ingat, Allah sentiasa bersama kita. Kita mesti menang!

Di dalam soal sedekah ini, kami sedar harta yang ada di muka bumi ini adalah milik Allah taala. Bukan milik kami. Kami juga memberikan sedekah tanpa sebarang resit pun untuk potongan cukai kelak. Tidak perlu. Jika kami berbuat demikian, ertinya tidak ikhlaslah. Walau apapun, segala kerja buat kita, Allah taala sentiasa memerhati dan malaikat sentiasa mencatatnya.

Yang susah ialah untuk meletak diri kita agar menjadi seorang yang ikhlas. Itu yang paling susah. Kita beritahu bahawa, kita telah ikhlas. Tetapi bagaimana penilaian Allah? Ikhlas ada tiga bahagian. Ikhlas di peringkat awal, ikhlas di peringkat pertengahan dan ikhlas di peringkat akhir. Jika pincang sedikit, atau terbabas dari  laluan, hilanglah iikhlas. Aduh! Sia-sia! Allahualam! Hanya Allah yang Maha Mengetahuinya…

Pada musim ini pun, guru bukanlah duduk lepak di rumah sebagai yang digembar-gemburkan! Malah mereka masih bekerja. Sama ada melalui pembelajaran online, menghantar  lembaran kerja ke rumah murid-murid atau pun melalui kumpulan wassap. Walaupun bukan semasa PKPK, guru tidak pernah berhenti bekerja.

Tahukah mereka semua bagaimana kehidupan seorang guru yang sebenarnya? Pada waktu pagi, guru ke sekolah dan di waktu petang terdapat pelbagai tugasan kokurikulum. Jika tidak  persatuan beruniform, persatuan dan kelab  ataupun sukan dan olahraga. Pada malamnya pula, terdapat kelas tambahan. Kadangkala anak isteri di rumahpun terabai.

Percayalah. Itu belum lagi kira pada hujung minggu, ada pelbagai jenis program dan perkhemahan. Bak kata, hanya guru sahaja yang mengetahui penat jerih mereka. Namun, mereka tidak bersuara kerana mereka seronok dan bahagia dengan kerja mereka.  Belum lagi diperkatakan mengenai tugas-tugas yang bukan mengajar yang kini sudah menjadi lumrah bagi guru untuk mengemaskini pelbagai data di komputer.  Bukan satu perisian, pelbagai jenis perisian yang cukup meletihkan, namun reda sahajalah.

Kami Reda…

Tiba-tiba Aiman mencuit guru. Sudah menjadi lumrah anak-anak istimewa menyentuh guru untuk memberitahu sesuatu.  Guru memandangnya sambil tersenyum. Aiman yang mengalami masalah pendengaran menunjukkan ke arah seluarnya. Guru memahami maksudnya dan segera membawanya ke tandas. Apabila PPM ada bersama, beliau akan turut membantu. Tibanya di tandas, Aiman yang masih belum mahir membuka zip dan cangkuk perlukan bantuan. Kemahiran itu belum lagi dikuasai oleh Aiman dan masih di dalam proses latihan.  

Siapa lagi yang akan membantunya? Apakah tega kita biarkan Aiman terkial-kial sendirian? Atau kita ingin lihat Aiman membasahi seluarnya? Tidak jijikkah guru? Mengapa perlu kita jijik? Mereka adalah anak-anak syurga. Mereka seolah-olah anak-anak kita. Bagaimana kita ajar anak-anak kita di rumah, begitulah cara kita ajar anak-anak kita di sekolah. Jika kita tidak sanggup melakukan sedemikian, ertinya kita tidak layak menjadi guru Pendidikan khas ataupun PPM yang menguruskan anak-anak istimewa.

Bagaimana dengan murid yang masih belum menguasai kemahiran ke tandas? Walaupun ibu bapa sering diingatkan agar membantu mendidik anak-anak membersihkan diri masing-masing, namun masih ada lagi yang belum mahir. Sebagai seorang guru, perkara ini tidak boleh diketepikan. Jika murid tidak boleh membersihkan dengan baik, dia akan dewasa dengan begitu. Apakah kita rela menanggung dosa sepanjang hayat?

Jea, adalah murid yang sudahpun berusia 19 tahun. Namun, hingga kini Jea masih belum tahu bagaimana untuk membersihkan diri dengan betul. Badannya yang besar, berat hampir 90kg yang mengalami masalah Kerencatan Akal tidak mempunyai ibu. Tinggal bersama ayah dan kakak-kakaknya. Namun kesemua kakaknya telah berumah tangga.

Setiap kali Jea keluar dari tandas, pakaian sekolahnya akan basah. Guru hairan. Bagaimana agaknya Jea membersihkan dirinya apabila ke tandas. Suatu hari, apabila Jea ke tandas, guru memerhatikannya. Pintu tandas tidak dikunci. Guru menolak perlahan-lahan. Rupa-rupanya Jea membersihkan diri sambil berdiri. Jea mengambil cebok yang berisi air dan menyimbahnya. Oh, begitu rupanya. Patutlah pakaian sekolahnya turut basah. Itulah Jea.

Bagaimana pula Kang? Setiap kali selepas ke tandas, terdapat bau yang kurang menyenangkan. Guru memberitahu  Kang, apabila ingin ke tandas, beliau harus memaklumkan pada guru. Guru ingin meninjau bagaimana caranya  Kang membersihkan dirinya. Seperti yang diduga, Kang gagal melakukan dengan baik. Guru perlu membantunya dan membimbingnya. Jika ibu bapa tidak mendidiknya, adalah menjadi tanggungjawab guru.

Itulah guru Pendidikan khas. Mereka lebih mendidik anak-anak itu agar boleh berdikari dan menguasai kemahiran yang boleh diguna pakai apabila dewasa kelak. Walaupun terdapat antara mereka yang boleh menguasai pelbagai kemahiran dengan betul namun masih ramai lagi yang memerlukan bimbingan.  Murid-murid Pendidikan Khas ini, memerlukan sentuhan dan belaian dalam mendidik mereka.

Guru-guru perlu bijak bagaimana untuk menangani mereka. Bagaimana untuk mengubahsuai kaedah agar sentuhan itu dikurangkan, jarak itu diwujudkan. Mampukah? Berjayakah? Saya sendiri kurang yakin. Mengapa kurang yakin? Rasanya tidak sampai hati untuk melihat anak-anak itu seolah-olah dipinggirkan. Mungkin terdapat anak-anak yang memahaminya namun ada juga antara mereka yang sudah pasti tidak faham.  Sudah pasti mereka akan mengalami gangguan sosio-emosi.

“Apakah guru membenciku? Apakah guru tidak mahu duduk di sebelahku lagi? Jika dulu, guru selalu memegang tanganku untuk menulis, mengapa sekarang guru tidak berbuat demikian? Aku rindukan sentuhan guru, setelah sekian lama tidak ketemui!”

Guru pun!

Guru rindukan tawa riang kamu. Guru rindukan keriuhan kamu dan guru juga rindukan kemesraaan kamu. Namun, disebabkan masalah yang mengganggu dunia masa kini, kita semua perlu berhati-hati agar kita semua sihat dan selamat.

Terdengar juga keluhan ibu bapa agar kelas untuk anak-anak istimewa dibuka segera. Mereka sudah tidak boleh mengawal anak mereka. Apakah mereka tidak peka mengenai Covid 19 yang berleluasa sekarang ini?

Seharusnya ibu bapa mengambil peluang untuk memberikan didikan yang terbaik untuk anak-anak. Inilah masa untuk melihat kebolehan dan keupayaan anak-anak. Semak tentang amalan pengurusan diri mereka. Apakah mereka sudah boleh membersihkan diri dengan baik, makan dengan sempurna atau memakai baju dengan betul?

Cuba perhatikan, apakah anak-anak boleh memakai kain sarong atau pelikat dengan betul? Sudah pasti tidak kerana kebanyakan murid hanya memakai seluar di rumah. Inilah masanya untuk melatih mereka.

Namun ibubapa jangan lupa, berikan pujian pada mereka. Walaupun kejayaan itu kecil di mata anda, namun bersyukurlah kerana ia cukup besar bagi mereka. Pujian adalah sesuatu yang tidak perlu dibayar. Usah kedekut dengan pujian  kerana pujian memberikan semangat pada mereka agar melakukan dengan lebih baik lagi.

Terdapat juga ibu bapa yang berjaya melatih anak-anak membuat karipap tanpa bantuan dan juga boleh memakai baju sendiri. Syukur Alhamdulillah. Berkat didikan ibubapa di rumah!  Lebih menggembirakan, apabila ada yang berjaya ke tandas sendiri semasa musim PKP ini. Alhamdulillah! Gembira guru mendengarnya!

Tidak ada keseronokan yang lebih membahagiakan apabila mendengar kejayaan murid-murid. Sekurang-kurangnya ibu bapa tidak perlu lagi memikirkan perbelanjaan untuk membeli lampin pakai buang. Saya pernah mengenali seorang murid, yang telah berusia 25 tahun, tetapi masih lagi memakai lampin pakai buang. Aduh! Sungguh simpati. Walaupun guru mengajarnya di sekolah, tetapi ibu bapa tidak melatihnya di rumah, objektif tidak tercapai. Ibu bapa harus bersama-sama berganding bahu dengan guru, barulah kejayaan akan dinikmati.   

Pada masa lain, mungkin ibu bapa sibuk mengejar masa, namun sekarang semuanya terpaksa berada di rumah. Ibu bapa harus merebut peluang untuk melatih kemahiran pada anak-anak. Mereka anak tuan puan. Sudah tentu tuan puan ingin anak tuan puan berjaya. Anda boleh memberi latihan yang terbaik pada anak-anak agar mereka boleh menjadi seorang anak yang berupaya, berdikari dan boleh menyumbang pada masyarakat apabila dewasa kelak.

Virus ini dikatakan tersebar melalui ‘droplets’ antaranya melalui bersin dan juga batuk. Mustahil anak-anak istimewa kita tidak ada yang bersin atau batuk bila berada di sekolah. Kerana mereka adalah kanak-kanak yang mudah alahan. Adakalanya habuk sedikit pun, sudah terbatuk atau terbersin. Adakala, kelas untuk murid-murid ini adalah sempit dan penjarakkan sosial agak sukar. Adakala jika di dalam sebuah kelas terdapat ramai murid kerana kekurangan guru, sudah pasti bermasalah. Reda. Semoga Allah melindungi kita semua.

Sebagai guru, kita harus bijak berkongsi dengan murid-murid kita. Nyatakan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa menghadapi situasi ini. Guru perlu sering menjelaskan penjarakkan sosial ini berkali-kali agar mereka benar-benar faham. Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali. Batu yang besar pun boleh lekuk, dek air, tentu murid-murid ini pun bisa memahaminya.

Jarak bukan bererti benci, tetapi ia bererti aku menyanyangimu dan ingin hidup terus bersamamu. Menutup hidung bukan bererti bencikan baumu tetapi untuk menyelamatkan kamu dan rakan-rakan. Hidup perlu diteruskan dan anak-anak istimewa perlu juga menang!

Walau apapun, ingin dinyatakan bahawa guru Pendidikan khas dan juga PPPM bukannya malas atau cuak untuk pergi ke sekolah. Tidak sama sekali. Malah, kami cukup gembira apabila boleh ke sekolah, bertemu murid-murid  istimewa yang dirindui. Telah begitu lama pandemik ini memisahkan fizikal kami, namun dalam diri kami tidak pernah lekang dengan kasih sayang dan rindu yang berpanjangan. Kami masih berhubungan bila rindu, walaupun adakala sewaktu jam dua belas tengah malam atau sewaktu sahur, masih ada yang mengejutkan guru!

Hanya mereka yang berdamping dengan anak-anak istimewa ini yang memahami pertalian jiwa antara kami. Kehadiran mereka cukup membahagiakan hati dan perasaan, kerenah mereka yang melucukan cukup menghiburkan kami, tingkahlaku mereka mengajar kami erti kesabaran dan kewujudan mereka mendidik kami erti syukur yang berpanjangan. Cinta kami terhadap anak-anak istimewa tidak pernah gersang, percayalah! Merekalah rahmat Allah yang cukup indah!

Alhamdulillah!

Coretan:

K.A Razhiyah

SMK Panji,

Kota Bharu, Kelantan