KUALA TERENGGANU - Dalam membina kecemerlangan pendidikan, aspek hubungan baik dan mesra antara pendidik dengan anak didiknya harus diambil berat.
Menyedari keperluan tersebut, Unit Kaunseling dan Bimbingan SMK Sultan Sulaiman, di sini menjadikan program Mentor-Mantee sebagai aktiviiti tahunan.
Bertempat di Dewan Gemilang sekolah itu majlis disempurnakan pengetuanya, Hashim Abd Rahman.
Program Mentor-Mantee pada tahun ini melibatkan pelajar tingkatan lima dan enam atas.
Dalam ucapannya, Hashim memberitahu hubungan erat dan sikap prihatin guru terhadap pelajar melahirkan situasi kondusif sekali gus mampu membentuk motivasi tinggi untuk mengejar kecemerlangan dalam pelbagai lapangan di sekolah.
Menariknya program kali ini, pengetua sendiri menerima lima anak angkat.
Demikian juga semua guru pengurusan yang diamanahkan menerima amanah untuk menjaga dan mengendaliikan program tersebut bersama-sama para guru yang lain.
Inilah bentuk muafakat kental yang telah sekian lama terbina di SMK Sultan Sulaiman dalam apa kegiatanpun demi menjayakan visi sebagai sekolah yang hebat bukan sahaja dalam aspek pemerolehan ilmu yang tinggi, tetapi penggayaan watak dan sahsiah pelajar yang berterampilan unggul.
Sementara itu, menurut ketua kaunselor pelajar sekolah itu, Zaini Sulaiman, pihaknya berharap program tahun ini lebih meninggalkan impak positif dan semua guru mengambil bahagian secara aktif dengan mengadakan sesi pertemuan lebih kerap.
“Sebenarnya program ini sangat berkesan untuk kekalkan hubungan baik dan saling hormat guru dan pelajar.
“Malah, program sebegini dapat memacu kecemerlangan akademik dan membentuk karakter pelajar yang berdaya dinamik,” katanya.
Seramai 110 pelajar tingkatan enam dan 238 pelajar tingkatan lima menyertai program Mentor-Mantee kali ini.
Selepas pelancaran, kesemua guru dan anak angkat itu mengadakan sesi perkenalan dan bual mesra mengikut kelompok masing-masing.