Insan bergelar guru merupakan individu penting dan berperanan sebagai pendidik yang mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid.

Sama ada guru yang mengajar di sekolah atau pensyarah di pusat pengajian tinggi, berperanan kepada  setiap manusia yang berguru mengenal huruf dan erti kehidupan.

Bermaksud guru mendidik dan membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang. 

Sumbangan guru amat bernilai dan mulia dalam mencorak generasi serta legasi. Maka guru adalah katalis yang menggerakkan sesuatu usaha dengan lebih cepat dan berkesan dalam memastikan kejayaan serta pencapaian sasaran.

Bermula dengan aktiviti di kelas atau bilik darjah, guru telah membawa transformasi dengan melakukan perubahan terhadap sifat, tingkah laku, pengetahuan, pandangan dan sebagainya kepada sesuatu yang lebih baik dan sempurna.

Sesuai dengan Tema Hari Guru 2018 “Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”, guru ialah ejen penting dalam merealisasi transformasi melalui peringkat akar umbi  pendidikan.

Untuk melahirkan guru yang produktif, maka sudah tentu pendidik ini telah pun menanamkan budaya mengutamakan produktiviti  sebagai asas hidup (the way of life).

Bermaksud guru produktif mestilah mengutamakan kesihatan, emosi, mental dan fi zikal dalam apa jua tugas atau rutin harian malahan cabaran yang dihadapinya.

Guru kini berhadapan dengan rintangan dan cabaran di generasi Y, yang jauh berbeza dengan zaman lampau. Kalau dahulu ibu bapa akan menyerahkan anaknya  pada hari pertama persekolahan pada guru.

Tetapi kini terdapat segelintir ibu bapa yang memberi amaran kepada guru. Malah menyaman guru dan mengheret ke mahkamah sematamata  tindakan guru membentuk disiplin dan peraturan terhadap anak muridnya.

Guru yang produktif juga mestilah  mempunyai pemikiran masa depan (forward thinking), dengan menerapkan pengajaran dan pembelajaran bersifat kognitif,  pemikiran kritikal dan futuristik.

Dalam era pendidikan moden masa kini yang dimantapkan dengan penggunaan media sosial mampu melahirkan pelajar yang bersifat glokal iaitu global tetapi  berpaksikan lokal atau tempatan.

Penerapan idea inovatif dalam pendidikan juga mampu menghasilkan pelajar dan murid yang inovatif dan kreatif. Bermula di makmal misalnya guru yang produktif dan
mempunyai daya intelektual telah menampilkan ramai saintis sains dan teknologi dan sains sosial.

Namun aspek yang penting bahawa guru produktif semestinya mengutamakan kelestarian dalam apa juga proses pengajaran pembelajaran.

Dalam memastikan agar wujud pendidikan yang berterusan dan mampan, maka memerlukan sumber seperti manusia atau guru-guru yang terlatih dan berpengalaman, serta sumber kewangan dan juga peralatan serta kemudahan pembelajaran.

Sudah tentu guru produktif mempunyai nilai terbaik seperti amanah, harmoni atau kemesraan, serta seimbang dan kesinambungan dalam memikul tanggung  jawabnya.

Nilai-nilai ini bukan sahaja diterapkan dalam bilik darjah, namun perlu dilaksanakan dalam masyarakat dan menjadi budaya dalam kehidupan.

Maka, guru perlu  memainkan peranan sebagai pemacu dalam memastikan transformasi negara dapat dicapai dengan lebih cepat dan berkesan.

Malahan peranan guru juga terarah kepada menterjemahkan semua dasar dan aspirasi negara melalui pendidikan.

Dalam usaha menuju sebagai sebuah negara maju, guru perlu menanamkan  keinginan dan hasrat yang tinggi bagi memastikan setiap murid mempunyai  pengetahuan, kemahiran berfi kir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Dalam usaha menuju sebuah negara maju. Guru memainkan peranan yang penting dalam mendidik modal insan yang bakal menerajui negara ke arah menjadi negara maju yang sejahtera, berinovasi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat global.

Dalam konteks Malaysia, transformasi pendidikan mestilah bertunjangkan kepada hasrat melahirkan warga glokal iaitu warga yang berakar nasional dan berakal  internasional.

Justeru, guru produktif perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfi kiran aras tinggi serta world class thinking.

Selamat Hari Guru.

 

Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman,
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM